Friday, July 17, 2009

Rumah Muslim itu tiada percampuran tidak syar'ie. (Vol. 2)

Allah Subhanahu Wa Taala (S.W.T) berfirman dalam surah an-Nur ayat ke 30 dan 31 sebagai satu wasiat atau peringatan kepada kaum lelaki dan perempuan yang beriman.

قل للمؤمنين يغضّوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم ذلك أزكى لهم إنّ الله خبير بما يصنعون

Maksudnya: Katakanlah kepada kaum lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannnya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهنّ ويحفظن فروجهنّ

Maksudnya: Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.

Jika kita meneliti dengan sebaiknya terhadap ajaran Islam, kita akan dapati Islam dari awal lagi telah menutup segala pintu-pintu yang boleh membawa kepada fitnah terhadap penganutnya. Kebiasaannya permulaan kepada pintu-pintu fitnah itu adalah bermula dari pandangan mata seseorang. Demikianlah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda :

لا تتبع النّظرة النّظرة فإنّ لك الأولى وليست لك الآخرة ...أو كما قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم

Maksudnya : "Jangan dituruti pandangan itu demi pandangan. Maka sesungguhnya bagi kamu itu adalah pandangan yang pertama dan tidak pada pandangan berikutnya".

Hadith di atas diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi pada hadith yang ke 2777 pada fasal "Adab", bab pada menyatakan hal pandangan secara tidak langsung ( ما جاء في نظرة المفاخأة ). Boleh didapati hadith tersebut dalam kitab Sunan at-Tirmizi cetakan Darul Kutub al-Ilmiah Beirut.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Disebabkan itulah dalam hal ziarah menziarahi ini juga Islam menggariskan panduan yang terbaik supaya perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku. Contohnya perbuatan zina atau sumbang mahram, pergaulan bebas serta perkara-perkara yang boleh membawa kepada fitnah terhadap seseorang individu itu. Ini dikaitkan pula Islam itu memelihara maruah insani.

Demikian juga peringatan yang diberikan Nabi kita kepada Saidina Ali Karamallahu Wajhahu tatkala Baginda ditanya berkenaan dengan pandangan secara tidak langsung atau tidak disengajakan. Rasulullah S.A.W bersabda :

اصرف بصرك

Maksudnya : Abaikanlah / Palingkanlah pandanganmu!

Hadith di atas diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dalam kitab sunannya pada hadith yang ke 2148. Dirujuk pada fasal "Pernikahan", bab "Apa yang diperintahkah dengannya menundukkan pandangan" ( ما يؤمر به من غضّ البصر ). Sahabat-sahabat boleh temui hadith ini dalam kitab Sunan Abi Daud cetakan Daaru Ahyaa at-Turaasi.

Bagi kaum lelaki beberapa peringatan telah diberikan supaya berhati-hati dengan wanita. Wanita adalah perhiasan dunia dan kita bagi kaum lelaki perlu mengakui bahawa seindah perhiasan itu adalah wanita solehah. Satu kebahagian dan kemuliaan bagi seorang lelaki jika dunia ini di hiasi oleh wanita-wanita solehah. Lihatlah bagaimana kebahagian dan kemuliaan yang dimiliki oleh Nabi apabila hadir Siti Khadijah Radhiallahu 'Anha dalam hidup Baginda.

Berpasakkan keimanan yang mendalam serta akhlak yang terpuji menjadikan Siti Khadijah ini sebagai Serikandi yang sungguh berjasa terhadap suaminya dan perjuangan Islam itu sendiri. Lihatlah bagaimana pula Isteri kepada Yasir bernama Sumayyah, yang mana kekuatan ruh Islamnya menjadikan ia tidak gentar dan tidak takut dengan ugutan serta ujian yang dikenakan oleh orang musyrik supaya ia murtad dari agama Islam. Tragedi hitam yang berlaku terhadap Sumayyah ini menjadi sanjungan umat Islam ketika itu dan sehinggalah hari ini.

Namun begitu, jika perhiasan dunia ini tidak dipelihara dan dibiarkan suasana jahilyah membentuknya, maka satu kecelakaanlah bagi seisi dunia khususnya bagi kaum lelaki. Fitnah yang besar mampu menggugat kemuliaan seorang lelaki itu antaranya ialah fitnah wanita. Allah S.W.T juga menjadikan wanita ini sebagai ujian kepada lelaki bagi melihat kemampunnya dalam meletakkan kurniaan itu di atas kehendak dan keredaan Allah. Antaranya disebutkan di dalam ayat-ayat suci al-Quran dalam surah Ali Imran ayat yang ke 14 :

زيّن للنّاس حبّ الشهوات من النّساء والبنين والقناطير المقنطرة من الذهب والفضّة والخيل من الصسوّمة والأنعام والحرث ذلك متاع الحيوة الدنيا والله عنده حسن المئاب

Maksudnya : "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaaan terhadap apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik"

Perkataan " زيّن " pada ayat di atas membawa maksud dihiasi atau dijadikan indah. Persoalannya siapakah yang menghiasi dunia tersebut? Ada pendapat mengatakan perbuatan tersebut ialah syaitan. Namun Imam an-Nasafi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Jumhur Ulama menganggap perbuatan menghiasi dunia itu ialah Allah. Ini kerana ia bertujuan untuk menguji hamba-hamba Nya sebagaimana yang mereka sandarkan pada surah al-Kahfi ayat yang ke 7 :

إنّا جعلنا ما على الأرض زينة لّها لنبلوهم

Maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya".


Sahabat-sahabat ku sekalian.

Bila bicara soal fitnah wanita ini Rasulullah pernah bersabda:

ما تركت بعدي فتنة أضرّ على الرجال من النساء

Maksudnya : "Tidak Aku tinggalkan selepas pemergian Ku ini satu fitnah yang lebih memudaratkan ke atas seorang lelaki melainkan terhadap wanita-wanita". (atau sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda S.A.W).

Hadith di atas diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari pada hadith yang ke 5096 pada fasa (Pernikahan), bab ( Perkara-perkara yang ditakuti daripada kesialan wanita). Hadith tersebut boleh didapati pada kitab Fathul Bari Bi Syarhi Sohihil Bukhari jilid ke 9 cetakan Daru at-Takwa. Ini satu peringatan yang perlu diambil berat oleh semua pihak bukan sahaja kaum lelaki malahan kepada kaum wanita.

Jelas kepada kita beberapa suasana yang mula menular di kalangan umat Islam pada hari ini tanpa segan silu melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Contohnya seorang lelaki muslim yang tinggal bersendirian membenarkan wanita bukan muhrim masuk ke rumahnya sesuka hati. Kadang-kadang sengaja dibawa balik ke rumah untuk tidur dan sebagainya, sedangkan itu adalah perkara yang diharamkan di sisi Islam.

Sebagai sebuah rumah muslim sepatutnya perkara-perkara seperti ini tidak berlaku. Jika berlaku ia boleh membawa fitnah kepada si penghuninya. Adakah kita terlalu yakin dengan iman kita dalam keadaan berdua-duan sedemikian, manakala di tengah-tengahnya ialah iblis yang berusaha mengajak ke arah kemaksiatan dan kemungkaran.

Percampuran yang tidak syar'ie atau pergaulan bebas sebenarnya membuka ruang kepada syaitan untuk membuat fitnah terhadap manusia. Syaitan yang cuba mengelirukan pandangan manusia itu dengan keindahan dan kenikmatan pada perkara-perkara yang haram, dan sedaya mampu yang mungkin membuka pintu-pintu maksiat.

Ditekankan juga dalam hal ziarah menziarahi ini masalah bersalaman atau berjabat tangan dalam bahasa arabnya ialah musofahah. Bagi lelaki, selain daripada ibu, datuk perempuan, adik-beradik perempuan, isteri, dan adik-beradik perempuan (emak saudara) di sebelah ayah dan ibunya adalah haram untuk ia berjabat tangan. Bergitu juga hal keadaannya bagi seorang wanita itu, selain daripada ayahnya, datuk lelaki, adik-beradik lelaki, suami, dan adik beradik lelaki di sebelah ayah dan ibunya adalah haram untuk ia berjabat tangan. Beberapa masalah yang sering kita lihat ialah apabila si adik ipar yang perempuan bersalaman dengan abang iparnya sedangkan perbuatan itu adalah haram sekalipun ia beralasankan sekadar menghormati abang iparnya. Banyak lagi masalah-masalah yang kurang di fahami oleh sebahagian daripada umat Islam kita pada hari ini. Keadaan ini selalunya berlaku dalam hal pengziarahan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Islam memandang berat atas masalah berjabat tangan ini. Dalam masalah wudhu yang digariskan oleh Imam asy-Syafie pun jika tersentuh seorang lelaki itu dengan wanita yang bukan muhrimnya tanpa berlapik sudah batal apatah lagi perkara yang disengajakan dalam hal berjabat tangan. Pasti hukumnya lebih besar. Lihat pengakuan yang dibuat oleh Aisyah Radhaiallahu 'Anha selaku isteri Rasulullah bahawasanya dia telah berkata :

وما مسّت يد رسول الله صلّى الله عليه وسلّم يد امرأة إلا امرأة يملكها

Maksudnya : "Dan tidak sekali-kali tangan Rasulullah S.A.W bersentuhan dengan tangan wanita melainkan perempuan yang Baginda miliki akan perempuan itu".

Telah diriwayatkan juga dalam kitab at-Targhib Wa at-Tarhib bagi Imam al-Hafiz al-Munziri, bahawa Rasulullah telah bersabda :

لأن يطعن فى رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له .....أو كما قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم

Maksudnya : "Nescaya akan ditusuk di kepala salah seorang daripada kamu (Akhirat) dengan jahitan daripada besi, selayak baginya terhadap sesiapa yang menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya". (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam at-Thobrani)

Bagi seorang isteri dilarang membenarkan orang yang halal dinikahinya untuk masuk ke dalam rumah tanpa keizinan dan ketiadaan suaminya. Sebaik-baiknya inilah antara perkara yang perlu dijaga oleh seorang muslim itu terhadap kediamannya. Hal ini bagi mencerminkan nilai-nilai dan contoh yang terpuji terhadap sesebuah rumah muslim itu sendiri.

Rumah Muslim itu tiada percampuran tidak syar'ie. (Vol. 1)

Tuk....Tuk....Tuk....Tuk....Tuk.....Assalamualaikum. ( Bunyi pintu rumah diketuk oleh seseorang sambil lafaz salam mengiringi ke atas tuan rumah)

Setelah dua kali pintu diketuk beserta salam, lalu si tuan rumah membuka pintunya sambil menjawab salam yang diberikan kepadanya.

Tuan Rumah (Din) : Waalaikum Salam. OOOO kau Emii. Baru jer aku ngan zaujah sebut pasal kau, sebab lame kau tak datang rumah aku.

Emii : Yer ke. Sorry la Din. Aku semenjak dua menjak ni sibuk skit kat JB tu. Kuliah aku sentiasa penuh, tu tak termasuk program pemuda yang banyak kene susun ni. Kebetulan aku balik ke Endau ni bercuti. Tu yang aku datang singgah ke rumah kau ni, sebab rase lame sangat aku tak jenguk ko.

Din : Oooo kau bercuti. Yerlah orang duduk di bandar. Ehh ko datang sorang je ke? Mane zaujah ko?

Emii : Ehh tak lah aku datang ngan zaujah aku, dia ade dalam kerete.

Din : Laaa ko ni pun satu, biarkan zaujah duk dalam kerete, kan panas ni. Ajaklah dia
masuk skali. Kau tunggu jap ye aku bagitau zaujah aku.

( Lalu Din mendapatkan isterinya di dapur untuk memaklumkan bahawa Emii sahabat karibnya bersama isteri datang untuk menziarahi mereka sekeluarga)

Din : Zie, kite baru jer sebut nama Emii tadi mase makan tengahari. Tu haaa kat luar, dia datang ngan zaujah dia. Katenye dia bercuti, datang nak ziarah kite berdua. Jom kite gi sambut dia ngan zaujah.

Isteri Din : Oooo ye ker. Baik, tunggu jap, zie nak bertudung dulu. Bang pegi la ajak Emii
ngan zaujah dia masuk dulu, nanti zie datang kemudian.

(Din mengangguk tanda mengiyakan kalam isterinya sambil bergegas menuju ke pintu hadapan untuk menjemput masuk rakan karibnya itu bersama isteri).

Din : Emii, kesian ko tunggu lame kat luar. Jemputlah masuk, ajak isteri kau masuk
skali. Anak kau si Azmi ngan Nadia tu mane? Tak bawak diorang skali ke?

Emii : Time kasih Din. Sori la menyusahkan kau jer waktu petang-petang ni, Oooh, anak aku tu, dua-dua sibuk nak ikut atuk dia gi kebun amik durian katenye. Maklumlah sebulan skali balik ke kampung. Im! Jom kite masuk.

( Sambil menjawab pertanyaan Din tentang anak-anaknya, Emii dan zaujahnya terus menuju ke ruang tamu untuk duduk di sofa empuk di ruang tamu rumah si Din).

Din : Ko cuti bape lame?

Emii : Aku cuti dalam 3 hari jer, pagi luse aku baliklah JB smule. Aku sampai dalam kul 8.30 pagi tadi. Bertolak dari JB lepas subuh tadi. Haa! pe macam program pemuda kawasan ko?

Din : Errmmm. Aku pun lebih kurang macam ko juge. Baru-baru ni, baru lepas habis mesyuarat pemuda PAS kawasan. Aku diminta rangka beberapa program khas untuk tarbiyah pemuda kawasan. Ehh,Ustazah Fatimah pun bercuti ke? Tak mengajar ke?

Isteri Emii : Ermmm, ana terpaksa bercuti ikut si abangnya (Emii) bercuti. Lagipun rase rindu
plak kat kampung.

(Sedang rancak Din, Emii dan isterinya berbual lalu datanglah isteri Din sambil salam mengiringi menuju ke tetamu istimewa mereka).

Isteri Din : Pe kaba Ustaz Suhaimi ngan zah Fatimah? Sehat ke? Lama tak datang rumah,
sibuk sangat ke?

Isteri Emii : Alhamdulillah, sehat-sehat je kak zie. Tak lah sibuk mane. Sibuk-sibuk ngan keje
mengajar je kat sekolah tu. Ustaz Suhaimi je yang agak sibuk skit kebelakangan ni.

Isteri Din : Oooo macam tu. Mana Azmi ngan Nadia, diorang tak ikut skali ke?

Isteri Emii : Tak lah kak Zie, diorang tak ikut skali sebab ikut atuk dia gi kebun amik durian. Anak kak Zie si Hanzalah tu mane plak?

Isteri Din : Ye ke, patutlah tak nampak diorang. Ermm..... anak Kak Zie dia gi main hoki kat sekolah. Baru jer dia keluar lepas solat asar tadi. Jom zah Fatimah kita berbual di meja dapur.
Dah agak lama kita tak berpeluang untuk berbual ni.

Isteri Emii : Yer lah dah lama kita tak jumpa ni. Jom.


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Itu adalah sedikit sedutan perbualan yang cuba saya lakonkan kepada sahabat-sahabat sekalian. Apa yang ingin saya tonjolkan daripada perbualan itu adalah satu suasana yang harmoni menepati syara' tanpa sedikit pun ada unsur-unsur ke arah berlakunya satu percampuran lelaki dan perempuan secara tidak syar'ie, iaitu dilarang dalam Islam. Percampuran ini di dalam bahasa arab disebut sebagai Ikhtilat ( إختلاط ).

Adapun Ikhtilat ini terbahagi kepada dua, yang pertama disebut sebagai Ikhtilat Syar'ie
( إختلاط الشرعى ) iaitu percampuran yang dibenarkan di dalam Islam. Contohnya himpunan lelaki dan perempuan dalam satu majlis ilmu atau di dalam dewan kuliah universiti. Namun kedudukan mereka berasingan, lelaki di sebelah kanan dan perempuan di sebelah kiri, ataupun kedudukan lelaki di hadapan manakala kedudukan perempuan pula di sebelah belakang. Suasana ini jika dilihat, ia bersifat harmoni dan tidak berisiko tinggi berlakunya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Ikhtilat yang kedua disebut sebagai ikhtilat yang tidak syar'ie ( إجتلاط غير الشرعي ) iatu satu percampuran yang tidak dibenarkan di dalam Islam. Contohnya disatu-satu majlis atau tempat yang mana terhimpunnya lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, serta berlakunya pergaulan bebas, bertepuk tampar, bergelak ketawa yang melampau sehingga ia tidak dilihat satu suasana yang harmoni. Tempat-tempat seperti ini menjadi himpunan juga bagi iblis dan syaitan untuk menggalak dan menggoda manusia untuk melakukan kemaksiatan. Firman Allah Subhanahu Wa Taala ( S.W.T ) dalam surah al-Baqarah ayat ke 169:

إنّما يأمركم بالسّوء والفحشاء وأن تقولوا على الله ما لا تعلمون

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Sebagai sebuah rumah muslim, maka tidak berlakulah percampuran yang haram dalam hal-hal penziarahan. Dengan maksud tidak berlaku bersekedudukan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Tidak menjadi satu kesalahan di sisi syara' jika hal penziarahan ini berlaku menepati kaedahnya. Contohnya seperti keadaan yang ditunjukkan melalui perbualan di atas. Ia jelas menunjukkan satu keadaan yang disenangi dan harmoni samada dari pihak tuan rumah mahupun tetamu yang bertandang.

Oleh yang demikian itu secara kaedah yang diajar oleh Islam, apabila seseorang itu ingin menziarahi saudaranya, maka perlulah dimaklumkan terlebih dahulu kepada tuan rumah jika kehadirannya itu bersama isteri atau ahli keluarga ataupun sebaliknya. Jika sekiranya tuan rumah dimaklumi bahawa kehadiran saudaranya itu bersama isteri, maka perlulah bagi tuan rumah itu memaklumkan kepada isterinya supaya ia juga turut serta menyambut isteri kepada tetamu suaminya. Kemudian dibawa isteri tetamu itu oleh isteri tuan rumah ke tempat lain samada di bilik tamu atau ke tempat yang agak berasingan sedikit daripada tempat perbualan suami mereka.

Sahabat-sahabat boleh lihat contoh sebagaimana adegan yang ditunjukkan dalam filem Ali Baba yang dilakonkan oleh S.Samsudin dan Ajis Satar. Ketika mana Kasim Baba menjemput Ali Baba bersama isterinya bertandang ke rumah. Lihatlah kedudukan Kasim Baba dan Ali Baba yang berasingan dengan kedudukan isteri-isteri mereka.

Ok...Selesai masalah tu. Kemudian apabila tetamu itu telah selesai penziarahan mereka dan menyatakan hasrat ingin beredar dan pulang. Maka ketika itu si tuan rumah hendaklah memaklumkan kepada isterinya bahawa tetamu ingin beredar dan pulang. Setelah itu dibawalah keluar bersama isteri tetamu tadi dari bilik tamu.

Demikianlah tidak berlakunya di sana percampuran antara lelaki dan perempuan dalam hal-hal penziarahan. Inilah dia keindahan Islam. Namun begitu, masih ramai lagi kita lihat, orang Islam pada hari ini yang membiarkan rumahnya terdedah kepada percampuran yang tidak syar'ie. Budaya barat sudah mula melazimi kehidupan mereka. Ada sebahagian wanita islam pada hari ini mengizinkan lelaki asing masuk ke dalam rumahnya sesuka hati, sehingga berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti rogol dan zina.

Beberapa peringatan daripada Allah S.W.T kepada kita supaya berhati-hati agar tidak terjerumaus ke lembah kemaksiatan dan kemungkaran. Insyaallah dikesempatan yang ada dilain waktu akan asaya sempurnakan tajuk ini pada siri penerangan kali ke dua. Doakan agar saya diberi kelapangan.










Thursday, June 18, 2009

Pohonlah Nusrah Allah.

Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Saya yakin dan percaya sahabat-sahabt seperjuangan dalam PAS semestinya dalam keadaan gusar dan gundah gulana melihat kepada perkembangan terbaru dalam PAS.

Berbagai kenyataan-kenyataan yang merisau dan menghairankan kita telah keluar di dada akhbar dan media arus perdana. Tidak terlepas juga daripada lidah rasmi dan TV PAS kita. Perkembangan terbaru semalam melihat amaran daripada Timbalan Mursyidul AM terhadap Timbalan Presiden kita Ustaz Nasharudin Mat Isa agar beliau meletakkan jawatan dalam parti dan sebagai ahli parlimen Bachok sekiranya beliau menyokong Kerajaan Perpaduan ini. Walaupun saya sedia maklum bahawa itu adalah sekadar gagasan dan perbahasan ilmiah sebagaimana menurut kenyataan Presiden kita.

Sebentar sahaja tadi 10 orang ahli Parlimen PAS yang terdiri daripada Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) mengisytiharkan beramai-ramai menoloak Kerajaan Perpaduan.

Pelik dan hairan saya bagaimana mereka memahami isu ini. Tindakan susulan mereka ini seolah-seolah gagasan tersebut telah dipersetujui oleh pimpinan tertinggi parti dan melanggar dasar dan polisi parti. Hakikatnya belum ada apa-apa kenyataan rasmi pun daripada pihak Presiden untuk menyokong dan ingin melaksanakan gagasan tersebut hatta Timbalan Presiden kita sendiri.

Apakah kesemua ahli parlimen ini tidak mendengar respon daripada Naib Presiden PAS YB Datuk Mahfuz Omar sendiri ketika ditemui media di lokasi parlimen semalam. Beliau telah menyatakan supaya semua pihak harus bersabar dan memberikan kepercayaan kepada parti untuk menguruskan persoalan ini dan perlu menunggu sehingga kepulangan Dato' Seri Presiden dari London. YB Mahfuz juga yakin bahawa Dato' Seri Presiden mempunyai kebijaksanaan tersendiri dalam menyelasaikan masalah yang berlaku ini.

Sahabat-sahabat sekalian

Dalam keadaan yang sebergitu rumit ini perlunya kita merujuk kepada pimpinan kita. Jikalau boleh saya bertanya adakah kesepuluh ahli parlimen ini telah berbincang dan meminta pandangan daripada Timbalan Presiden dan Naib Presiden kita kewajaran mereka membuat kejutan seperti ini? Sebab itulah secara peribadi saya berpandangan dalam kekalutan ini segala-segala apa pun yang berlaku diminta untuk merujuk terlebih dahulu pada pimpinan tertinggi PAS khususnya Kepada Timbalan Presiden dan Naib Presiden kita.

Marilah sejenak kita ikuti coretan daripada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat melalui blognya terhadap peristiwa peperangan Bani Mustholik. Banyak faedah dan pengajaran yang perlu kita ambil dariapada sejarah dan tulisan itu. Sahabat-sahabat boleh membacanya melalui link ini ;

Vol 1 :

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/06/peristiwa-mustaliq-jadikan-iktibar-vol.html

Vol 2 :

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/06/kisah-mustaliq-jadikan-iktibar-vol-2.html

Saya menyokong seratus peratus di atas cadangan Timbalan Mursyidul AM PAS untuk mengadakan pertemuan khas dengan Dato' Seri Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa pimpinan PAS yang lain dalam menyelasaikan isu ini. Beliau juga turut menamakan pertemuan yang bakal diadakan tersebut sebagai mesyuarat ukhuwah (persaudaraan). Semoga dengan pertemuan tersebut menatijahkan sesuatu yang positif demi kesinambungan kegemilangan PAS yang berterusan serta menjalinkan ukhwah yang lebih erat di antara sesama pimpinan kita.

Insyaallah dengan kehendak Allah selagi PAS melangkah dengan prinsip dan dasarnya, segala apa pun yang berlaku pada PAS saya tetap tidak akan berganjak dalam jemaah mulia ini. Bukan mudah dizaman fitnah ini untuk kita mendapati lorong atau medan yang terbaik untuk kita mati sebagai Syuhadaa (golongan-golongn yang mati dalam menegakkan kalimah Allah).

Sebagai terakhir daripada tulisan yang amat cetek ini, saya sekali lagi secara peribadi mengingatkan agar taatlah kita kepada pemimpian kita selagi pemimpin kita masih menyanjung dan menggalasi perjuangan Rasul, para sahabat dan golongan sesudahnya demi meletakkan Islam itu di mercunya, maka taatilah mereka tanpa berbelah bagi.

Sepanjang krisis ini berlaku, bermula daripada hari esok saya akan berpuasa setiap hari sehinggalah krisis ini selesai. Saya secara peribadi mengajak sahabat-sahabat seprjuangan agar melazimi munajat kita kepada Allah supaya Allah memelihara jemaah kita ini daripada sebarang cubaan untuk melumpuh dan menghapuskannya. Kita juga mohon kepada Allah supaya disatukan kembali hati-hati pejuang-pejuang agama Allah ini untuk terus menikmati nikmatnya persaudaraan dalam berjemaah. Aminn

Monday, June 15, 2009

Unity Government : Mehnah perjuangan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.


Hampir seminggu Muktamar PAS kali ke55 telah berlalu. Namun bergitu kehangatannya masih terasa sehingga ke hari ini khususnya respon pimpinan tertinggi parti mahupun para perwakilan terhadap satu gagasan yang dibawa oleh Dato Seri Presiden kita berkenaan dengan Unity Government.


Semakin deras pukulan angin kecaman daripada pihak tertentu terhadap gagasan yang dibawa oleh Dato’ Seri Presiden kita. Samada kecaman itu daripada pimpinan tertinggi parti, ahli, mahupun pimpinan tertentu dalam pakatan rakyat. Masing-masing dilihat kebingungan dalam memahami kehendak sebenar Presiden melalui gagasan tersebut. Seolah-olah ia difahami bahawasanya PAS akan bersama-sama UMNO dalam masa yang sama mengabaikan prinsip-prinsip dan dasar parti.


Sungguhpun Presiden telah memohon maaf dengan cara menarik balik daripada terus mengutarakan gagasan tersebut walaupun, beliau tidak diberi peluang untuk menjelaskannya. Namun ia masih dijadikan alasan pihak tertentu untuk mengecam presiden kita. Masalah Unity Government ini juga telah beberapa kali diberi penjelasan dan penegasan oleh Timbalan Presiden kita Ustaz Nasharudin Mat Isa. Saya menyimpulkan daripada apa yang disebutkan oleh beliau, bahawa dalam sesebuah parti khususnya PAS, bukan hanya seorang sahaja dalam nak menentukan sesuatu keputusan yang tegas “being able to decide clearly and quickly” apatah lagi sesuatu keputusan itu melibatkan dasar atau polisi parti kita, ia perlu di ketengah dan dikembalikan kepada muktamar.


Saya juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani ketika menjawab pertanyaan wartawan harakahdaily berkenaan dengan "Unity Government" itu. Beliau sebagai menjawab: " Pemuda kena serah dahulu kepada Presiden dan kepimpinan PAS yang baru untuk memberi penjelasan kepada akar umbi dalam parti tentang apa yang dikatakan Kerajaan Perpaduan. Saya rasa Insyaallah apabila konsep kerajaan perpaduan ini difahami baik oleh kepimpinan dan juga ahli-ahli PAS". Kenyataan penuh beliau bolehlah didapati melalui link ini ;


http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21264&Itemid=1


Secara peribadi saya merasakan segala masalah atau usul mahupun gagasan khususnya yang akan melibatkan dasar dan polisi parti tidak perlulah dipolemikkan selagi ia tidak dibawa dan disahkan melalui muktamar yang berlangsung. Berlangsungnya muktamar nanti , di situlah medan untuk kita berbahas, mengutarakan pandangan, serta turut sama berfikir ke arah sesuatu natijah yang amat baik demi kepentingan parti kita. Tapi ingat! Biarlah dengan cara dan adab sebagai orang yang berada dalam jemaah Islam.


Kadang-Kadang saya melihat ada di kalangan pimpinan bawahan parti seolah-olah sudah hilang adab dalam berjemaah, sehingga seolah-olah ingin menyamakan presiden dengan apa yang dilakukan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan dan pengikutnya terhadap Saidina Ali. Adakah kita sudah cukup hebat dan terlalu yakin dalam memanipulasikan sesuatu isu itu dengan mengaitkan sejarah perjuangan Rasulullah dan para sahabat tanpa kita merujuk kepada banyak kitab-kitab sejarah yang muktabar. Adakah Muawiyah itu bukan di kalangan para sahabat Rasulullah? Apakah kita tidak mengethui kedudukan manusia yang bergelar “ashabul ar-Rasul” para sahabat Nabi Muhammad? Apakah kita berhak untuk menghukum siapakah yang bersalah dalam krisis yang berlaku antara Saidina Ali Karamallahu Wajhah dengan Muawiyyah bin Abu Sufyan?


Pernahkah kita terfikir kenapa tiba-tiba Dato’ Seri Presiden mengutarakan gagasan ini? Adakah beliau tidak pernah mengkaji atau meneliti gagasan ini sebelum ia dilafazkan dikhalayak umum. Apakah kita merasakan beliau begitu bodoh dan telah kehabisan modal untuk mencari alternatif dalam memperkasakan PAS dan perjuangannya? Kenapa kita tidak melenting dan memberi kecaman terhadap janji pihak tertentu yang beria-ia untuk merampas kuasa kerajaan pusat melalui jalan melompat parti?


Jika kita meneliti episode sebelum ini, kelihatan Dato’ Seri Presiden kurang bersetuju dengan penubuhan kerajaan melalui jalan melompat parti ini. Ini kerana ia dilihat mampu memberi implikasi buruk kepada perlaksanaan agenda PAS sepenuhnya kepada negara jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah. Kita takuti bahawa ahli parlimen Barisan Nasional yang akan melompat parti itu lebih ramai dikalangan orang bukan Islam. Apabila ahli parlimen PR terdiri di kalangan ramai yang bukan Islam, maka kita khuatiri sesuatu dasar atau polisi atau ketetapan demi kepentingan Islam tidak dapat dilaksanakan kerana kurang mejoriti yang menyokong.


Berikutan penelitian daripada masalah itu Dato’ Seri selaku presiden tidak pernah sedikitpun membuat kecaman terbuka terhadap idea penubuhan kerajaan melalui cara tersebut, bahkan beliau mengajak dan bersedia berbincang dengan pimpinan PR bagi meneliti kembali kewarasan cadangan penubuhan kerajaan melalui jalan tersebut. Hasilnya kita lihat PAS mampu menerima cadangan tersebut dengan meletakkan beberapa syarat yang tegas demi kepentingan Islam dan kesinambungan agenda perjuangan PAS itu sendiri.


Sedikit terkilan juga saya terhadap beberapa pimpinan tertinggi PKR dan DAP yang turut sama melatah bila mendengar gagasan tersebut, seolah-olah gagasan itu mampu memporak-perandakan agenda bersama PR walaupun hakikatnya mereka maklumi gagasan itu belum diterima sebulat suara. PKR dan DAP kene ingat! krisis di Perak berpunca daripada anak buah mereka sendiri yang tiada tarbiyah dan tiada pendirian kukuh terhadap matlamat perjuangan,berbanding anak buah Dato' Seri Presiden yang telah ditarbiyah dan ditapis dengan sebaiknya sebelum menggalas beban amanah yang cukup besar. Hasil daripada pimpinan Dato' Seri Presiden dengan tarbiyah yang dipasakkan ke dalam jiwa ahlinya menatijahkan kepimpinan PAS yang berintegriti tinggi. Ini bukan nak bongkak tapi inilah janji yang Alah beri pada mereka yang ikhlas dalam melaksanakan kerja Islam. Bukan mudah nak dapat sifat ikhlas ini tanpa di sana proses tarbiyah yang sangat ketat.


Kita juga menyedari bahawa ketokohan Presiden PAS dalam memacu arah perjuangan Islam diakui bukan sahaja di Malaysia bahkan meliputi negara-negara Islam yang lain khususnya daripada pemimpin-pemimpin gerakan Islam sedunia. Beliau juga sering diberi penghormatan untuk berucap dipersidangan-persidangan tertentu bagi mengutarakan pandangan dan cadangan beliau kepada semua pemimpin-pemimpin negara Islam dalam menangani krisis umat Islam pada hari ini. Ia termasuklah dalam hal-hal yang melibatkan hak asasi manusia terutamanya terhadap umat Islam di seluruh dunia, masalah pendidikan, ekonomi, masalah kebuluran,kemiskinan dan sebagainya.


Baru-baru ini, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS telah menghadiri Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 (18th International Congress of Muslim Communities) yang dianjurkan oleh Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi (Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial – ESAM) di Istanbul pada28 – 30 Mei 2009. Beliau juga diberi kesempatan sebagai penyampai ucapan dalam Sesi Protokol, selepas dari ucapan Prof Dr Numan Kurtulmus (Presiden Saadat Party) dan Prof Dr Burhanuddin Rabbani (Mantan Presiden Afghanistan). Dalam ucapan beliau, Tuan Guru telah menjelaskan mengenai krisis ekonomi yang melanda dunia dan penyelesaiannya di kalangan dunia Islam.


Jikalau pun benarlah Dato’ Seri Presiden bersalah dalam hal ini, saya merayu agar beliau tidak dihukum dengan sebegitu rupa. Semakin ramai yang mengecam beliau semakin pedih hati ini untuk menerimanya. Rapatilah beliau, bertemulah beliau di meja rundingan, untuk mendapatkan penjelasan serta membuat perbincangan. Usahlah memberi peluang kepada musuh untuk menghuru-harakan jemaah kita hanya dengan pandangan peribadi yang jauh daripada kehendak parti itu sendiri. Tolonglah, demi kepentingan jemaah Islam ini, hentikanlah suasana suram ini. Kita berteguh dan bersatu kembali membawa tema yang baru ini “Islam Memimpin Perubahan” dan sam-sama kita memperkukuhkan sof perjuangan kita dalam berhadapan dengan tsunami politik yang lebih mencabar lagi.


Sebelum saya mengakhiri tulisan ini saya ingin menyatakan kebersamaan saya dalam menerima isi kandungan ucapan pergulungan daripada Timbalan Mursyidul Am kita iaitu YBhg Dato’ Dr Haron Din khususnya dalam mencadangkan supaya mana-mana ahli yang ingin bertanding dalam mengisi jawatan tertinggi pimpinan pusat perlu dibuat tapisan oleh pihak-pihak yang berwajib contohnya serperti majlis syura atau ahli lembaga disiplin parti. Beliau juga ada menekankan tentang kewajipan mentaati pemimpin, serta mengingatkan kepada semua ahli berhati-hati supaya penyakit-penyakit dalam berjemaah ini tidak berlaku dan perlu dibendung segera jika ada.


Ucapan Timbalan Mursyidul Am PAS itu boleh sahabat-sahabat ikuti melalui link ini;


Part 1 :

http://www.youtube.com/watch?v=wxLvCkv1pic&feature=related


Part 2 :

http://www.youtube.com/watch?v=VbvDxVWkbbQ&feature=related


Saya mengingatkan kepada pembaca tulisan ini, bahawa ini adalah pandangan peribadi saya. Tulisan ini bukanlah untuk mengapi-apikan, tetapi dengan tujuan yang satu iaitu untuk melihat suasana yang harmoni antara pimpinan-pimpinan tertinggi parti walaupun di sana wujudnya perbezaan pendapat.

Saturday, June 6, 2009

'Altantuya'

Aku Insan Ajnabi,
Aku Berasal Dari Tanah Tinggi
Bangsaku menjelajah dunia
Bangsaku pernah menguasai dunia
Kecantikanku menawan sesiapa sahaja
Lemah gemalaiku melembutkan lelaki perkasa
Kecerdikanku, kecantikanku boleh diperniaga


Aku wanita Ajnabi merantau kemana=mana
Mencari rezeki merata dunia
Kuala Lumpur, Paris, Hong Kong aku merata
Pembesar negara kuasai ku
Kukuasai pembesar negara
Sebut sahaja apa berniaga aku tetap disana
Kepercayaan dan akidah sama sahaja
Sekejap muslimah sekejap insaniah
Aku tetap manusia beragama


Manisku dijilat, manisku disedut
Aku rela kerana berniaga
Aku berakidah aku insaniah
Ku tahu siapa yang menyedutku
Manisku masih banyak
Manusia rakus menghirupku
Kadang menggilir kadang digilir
Aku berniaga tak kira siapa


Zuriatku ada
Ku tahu siapa bapanya
Masakan tidak, disarangku dia bertelur
Manisku belum habis dihisap
Sepahku dibuang merata
Badanku dihancur luluh
Tubuhku berkecai rapuh
C4 dipanggil untuk memusnahku


Rohku tetap menjalar
Rohku tetap merayau
Setiap dada media ku buka cerita
Ku tahu siapa pemusnahku
Rohku berulang alik
Entah di Mongolia, entah di Paris
Entah di Shah Alam, entah di Putrajaya
Rohku menjalar terus menjalar
Roh suciku diawang-awangan
Menghinggap siapa sahaja
Tak kira pangkat atau kedudukan
Pemusnahku akan musnah


Sajak ini hasil ciptaan :

YBhg Saudara Mohamad Sabu

( Mantan Naib Presiden PAS)

Monday, June 1, 2009

TENTATIF PENUH MUKTAMAR PAS KALI KE 55

* Muktamar PAS Dewan Ulamak Kali ke-48
Tarikh : 10 Jumada Al-Akhir 1430 / 4 Jun 2009 (Khamis)

Tempat : Auditorium Muzium Alam Shah, Shah Alam Selangor Darul Ehsan



* Muktamar PAS Dewan Pemuda Kali ke-50

Tarikh : 9 Jumada Al-Akhir 1430 / 3 Jun 2009 (Rabu)

Tempat : Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, Gombak Selangor Darul Ehsan



* Muktamar PAS Dewan Muslimat Kali ke-49

Tarikh : 10 Jumada Al-Akhir 1430 / 4 Jun 2009 (Khamis)

Tempat : Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor Darul Ehsan



* Muktamar Penuh PAS Kali ke-55

Tarih : 11,12 dan 13 Jumada Al-Akhir 1430 / 5, 6 dan 7 Jun 2009

Tempat : Stadium Malawati Shah Alam Selangor Darul Ehsan


TENTATIF TAMBAHAN

* Forum Perdana Hal Ehwal Islam

Tarikh : 10 Jumada Al-Akhir 1430 / 4 Jun 2009 (Khamis)

Tempat : Stadium Malawati Shah Alam

Ahli Panel : 1) YB Dato' Dr Hassan Bin Mohd Ali
-Pesuruhjaya PAS Selangor-

2) YBhg Dato' Dr Haron Din
-Timb. Mursyidul Am PAS-

3) YBhg Ustaz Dato' Ismail Kamus

Moderator : YBhg Ustaz Kamal Ashaari.

Untuk maklumat lanjut sila ke laman rasmi Muktamar PAS kali ke-55

http://muktamar55.pas.org.my/


"SELAMAT BERMUKTAMAR KEPADA SELURUH PERWAKILAN
DARI BUMI MUSA ALAIHI AS-SALAM"


سيروا على بركة الله

Wednesday, May 27, 2009

Muslimat PAS Ipoh mesti bertindak.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sahabat-sahabat yang dimuliakan.

Dua tiga hari ini kita dikejutkan dengan satu berita yang agak menggusarkan hati kita khususnya di kalangan pendakwah-pendakwah Islam. Berita yang mungkin agak menggemparkan seluruh Malaysia berkaitan isu rumah tangga kepada saudara Akil Hay Rawa. Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada keluarga saudara Akil Hay dan isteri, Puan Maizawati Zainal kerana cuba membawa isu ini masuk ke dalam blog saya. Bukanlah dengan niat untuk merancakkan lagi suasana tegang ini dan bukanlah dengan niat untuk menyalahkan mana-mana pihak. Hakikatnya tulisan ini bertujuan untuk meredakan dan cuba membantu mencari jalan penyelesaian.

Diri ini tidaklah sehebat mana, bahkan masih cetek ilmunya. Namun atas dasar saudara Akil sekeluarga adalah saudara saya seakidah, maka wajib saya membantu pada lapangan ini. Mungkin tulisan ini juga boleh dijadikan pedoman kepada mereka yang lain. Melihat kepada kekalutan ini seharusnya saudara Akil sebagai ketua keluarga perlu mengambil tindakan yang sewajarnya secepat mungkin untuk memulihkan kembali hubungan saudara Akil bersama isteri dan anak-anak. Ini kerana saudara Akil tidak ada masalah untuk medampingi mereka dengan lebih dekat sepenuh masa bagi meleraikan kekusutan dan kerumitan yag berlaku dalam rumah tangga saudara Akil. Saya percaya dan yakin, saudara Akil tentu masih lagi menyayangi isteri saudara apatah lagi anak-anak saudara yang merupakan darah daging saudara Akil sendiri.

Kembalilah kepada manhaj yang Islam telah gariskan kepada kita khususnya bagi golongan suami yang menjadi nakhoda kepada bahtera rumahtangga.
Syariat Islam yang mulia memerintahkan suami berbuat baik kepada isteri serta menggaulinya dengan baik. Syariat mengharamkan perbuatan-perbuatan untuk menyakiti, menganiaya dan memudarati si isteri dalam segala cara dan bentuk. Allah Subahanahu Wa Taala (S.W.T) telah berfirman dalam surah an-Nisaa pada ayat yang ke 19 :

و عاشروهنّ بالمعروف فإن كرهتموهنّ فعسى أن تكرهوا شيئا ويجعل الله فيه خيرا كثيرا

Maksudnya: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu merasai benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu".

Ya, semua orang mengakui dan saya juga turut mengakui, dalam melayari bahtera rumah tangga ini demi mencapai redho ilahi pasti tak lekang daripada musibah mahupun bencana. Ketika bahtera di tengah lautan kadang-kadang ditimpa hujan, kadang-kadang riuh ribut kedengaran, kadang-kadang ombak lautan yang memukul bahtera. Kesemua situasi ini amat menakutkan pengemudi dan anak-anak kapalnya. Namun nakhoda yang bijak pasti mampu menenangkan anak-anak kapalnya dengan tindakan-tindakan yang bijak. Begitu juga halnya dalam rumahtangga, perlu si suami berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada terhadap apa jua kebarangkalian bencana atau fitnah yang boleh mengganggu gugat kestabilan rumahtangganya. Peritnya kehidupan kita apabila terpaksa menghadapi fitnah-fitnah dunia, kerana keperitan akibat daripada fitnah itu lebih pedih dan menderita untuk kita hadapi. Sebab itulah dosa bagi orang yang memfitnah itu sangat besar di sisi Allah. Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Baqarah ayat yang ke 217:

والفتنة أكبر من القتل

Maksudnya: "Dan (ingatlah!) angkara fitnah itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan".

Bagi saya masih belum terlambat untuk memulihkan keadaan rumahtangga saudara Akil. Isteri dan anak-anak masih memerlukan saudara untuk membimbing kehidupan mereka. Jangan biarkan diri saudara untuk lari daripada masalah ini. Melarikan diri daripada masalah tidak memberi kesan positif ke arah penyelesaiannya bahkan makin membarah. Jikapun tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap saudara itu adalah benar, maka masih belum terlambat untuk kembali ke landasan yang kukuh dan landasan yang menuju keredhoan Ilahi. Kita ini manusia pasti tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan. Namun kesilapan itu jangan terus dibiarkan. Perlu diperbetulkan. Kasihanilah isteri dan anak-anak kerana mereka itu adalah cahaya ketenangan dan penyejuk mata bagi diri saudara. Firman Allah S.W.T dalam surah ar-Rom ayat ke 21:

ومن ءاياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودّة ورحمة إن في ذلك لأ يات لقوم يتفكّرون

Maksudnya:" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki),isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu(suami dan isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

Imam al-Hafiz Ibnu Kathir dalam tafsirannya menerusi kitab Sohih Mukhtasor Tafsir Ibni Kathir ( صحيح مختصر تفسير ابن كثير ) cetakan Darul as-Salam helaian 1381 menjelaskan kepada kita berdasarkan ayat ke 189 dalam surah al-A'raf bergandingan dengan ayat di atas dengan merujuk kepada kejadian Hawa.

Imam Ibnu Kathir Rahimallahu Ta'ala 'Anhu menafsirkan Allah S.W.T telah menciptakan Hawa daripada rusuknya adam yang sangat mudah(tanpa perlu mengambil sumber atau ikon lain). Sekiranya Allah menjadikan Bani Adam itu kesemua mereka adalah lelaki, dan jika sekiranya Allah menjadikan perempuan-perempuan mereka daripada jenis yang lain, selain daripada mereka(bukan dari kalangan manusia). Samada kejadian Hawa itu daripada golongan jin atau haiwan, tatkala ketika berlakunya percampuran antara mereka dan isteri-isteri mereka nescaya dengan sebab berlainan jenis akan mencetuskan perselisihan ataupun permusuhan. Oleh yang demikian itulah daripada kesempurnaan rahmat Allah terhadap Bani Adam bahawasanya Allah menjadikan isteri-isteri mereka daripada jenis yang sama.

Manakala al-Imam al-Jalil Abdullah bin Ahmad bin Mahmud an-Nasafi dalam kitabnya Tafsir an-Nasafi ( تفسير النّسفي ) juga menafsirkan ayat yang sama pada helaian 905 cetakan Darul Ma'rifah. Beliau menyatakan Allah S.W.T menganugerahkan rasa kasih mengasihani dan berbelas-kasihan antara lelaki dan perempuan itu dengan sebab perkahwinan. Ada juga pendapat lain mengatakan bahawasanya dalam perkahwinan itu Allah kurniakan al-Mawaddah iaitu kasih sayang terhadap wanita muda dan ar-rahmat iaitu belas kasihan terhadap wanita yang sudah tua.

Merujuk daripada tafsiran kedua-dua imam ini jelas kepada kita mana mungkin berlakunya permusuhan,dendam,irihati,kekhuatiran, dan kecelaruan dalam rumah tangga sedangkan Allah telah memaklumkan kepada kita bahawasanya perkahwinan itu menjanjikan kebahagian dengan kurniaan kasih dan sayang ke atas si suami dan isteri. Jika permusuhan dan segala perkara-perkara yang buruk itu berlaku juga dalam rumahtangga, ini bermakna perkahwinan yang telah disyariatkan oleh Allah itu tidak diletakkan pada kehendak Allah yang sebetulnya. Mungkin di sana hak-hak Allah tidak ditunaikan contohnya bila berkahwin solat waktu tidak dijaga. Mungkin juga di sana hak-hak antara suami juga isteri tidak dijaga, menyebabkan hal-hal yang tidak diingini berlaku dalam rumahtangga.

Berbalik kepada kes yang berlaku ke atas keluarga saudara Akil Hay, bagi siisteri juga perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi maslah yang berlaku ini. Jangan terus membiarkan sisuami tertekan dengan masalah yang terpaksa dihadapi kalaupun memang benar maslah itu berpunca daripadanya. Sebagai seorang isteri yang solehah, sentiasa bersangka baik terhadap suami dan memberi keprcayaan kepadanya. Jika sisuami tidak diberi kepercayaan, bagaimana dia mahu memimpin keluarganya dengan penuh keyakinan.

Jika memang benar ia melakukan kesalahan bersangka baiklah dahulu,mungkin dia tersilap dengan hambatan nafsu dan belaian dunia. Berikan dia harapan dan kata-kata semangat untuk dia kembali kepangkal jalan dan terus yakin untuk memacu arah tuju rumahtangga dengan berlandaskan manhaj Rabbani. Jika sisuami tidak mampu pulang untuk bertemu dengan siisteri bagi menyelesaikan maslah ini, siisteri yang mampu seharusnya segera menemuinya dimana sisuami berada. Mungkin sisuami malu untuk kembali ke kediamannya kerana tohmahan dan fitnah-fitnah yang dilemparkan kepadanya.
Dimanakah lagi tempat suami bergantung harapan dan kekuatan selepas Allah yang menjadi tunggak utama melainkan siisteri di dalam sesebuah rumahtangga. Bertemulah dengan sisuami itu lebih baik didahulukan daripada bertemu dengan mereka-mereka yang fasik (yang tak sepatutnya dia bertemu) yang suka mengapi-apikan dan melaga-lagakan antara pasangan tersebut, sedang keadaan mereka sendiri dalam hal keagamaan masih belum sempurna. Nasihat saya agar sisuami mahupun siisteri bertemulah dengan orang-orang yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat terutamanya dalam hal-hal kekeluargaan untuk mendapatkan teguran dan nasihat. Contohnya seperti Tuan Guru Haji Hadi yang sedia kita maklumi bahawa beliau mampu memimpin keluarga walaupun beristeri lebih daripada seorang atau mana yang lebih baik sebagai rujukan dan tempat nasihat. Teringat saya satu syair arab yang mungkin bertepatan dengan pesanan saya tadi :

فكل خير فى اتباع من سلف وكلّ شرّ فابتداع من خلف

"Segala kebaikan diperolehi dengan mengikuti kaum salaf (orang-orang soleh), dan segala keburukan diperoleh dari ikut-ikut aliran yang jelik"

Kepada Puan Maizawati Zainal jika masih lagi menaruh harapan serta kasih sayang daripada suami sudilah kiranya memaafkan sisuami di atas kesilapan yang telah beliau lakukan. Sedangkan Allah memaafkan dosa-dosa dan menerima taubat hambanya apatah lagi kita sesama manusia yang sangat lemah di sisi penciptanya. Jadilah isteri yang mampu menyenangkan hati sisuami, jadilah isteri yang mampu membahgiakan suami. jadilah isteri yang mampu meringankan beban sisuami. Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam (S.A.W) pernah bersabda:

"الدنيا متاع وخير متاعها المرأة الصالحة"
أو كما قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم

Maksudnya: Dunia ini adalah kesenangan, dan sebaik-baik kesenangan dunia ialah wanita (isteri) yang baik.

Bahkan Baginda S.A.W memandang isteri yang solehah itu sebagai suatu pusaka yang bernilai yang perlu dijaga dengan sebaikmungkin bagi diri seorang suami. Sebagaimana sabda Baginda S.A.W lagi:

ألا أخبركم بخير ما ينكز المرء؟ المرأة الصالحة إن نظر إليها سرّته وإن أمرها أطاعته وإن غاب عنها حفظته فى نفسها وماله أو كما قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم

Maksusnya:"Sukakah kalian jika ku khabarkan tentang sebaik-baik pusaka yang dapat disimpan oleh seseorang? ialah isteri yang baik, yang jika suaminya memandang kepadanya, maka ia menyenangkan suaminya, dan apabila ia disuruh suaminya maka ia patuh kepada suaminya, dan ketika keberadaan suaminya jauh darinya, maka ia dapat memelihara suaminya dengan memelihara maruahnya dan harta suaminya"

Ingatlah bagi kaum adam mahupun hawa terhadap firman Allah S.W.T dalam surah an-Nur ayat yang ke 26:

الخبيثات للخبيثين والخبيثون للخبيثات والطيّبات للطيّبين والطيّبون للطيّبات

Maksudnya: " Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji dan adalah wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik".

Jika mampu kedua-dua pasangan ini bertemu, ambillah kesempatan yang diizinkan Allah itu untuk menyelesaikan kerumitan yang ada. Natijahnya terserahlah kepada diri masing-masing demi segala-galanya adalah yang terbaik demi kebaikan rumahtangga khususnya terhadap anak-anak mereka. Seandainya natijah itu berakhir dengan penceraian, diharap itulah yang dianggap jalan yang terbaik bagi kedua-dua mereka. Islam membenarkan penceraian namun, dalam masa yang sama ia adalah suatu perkara halal yang dibenci oleh Allah. Penceraian sebagai satu keharusan yang tidak dapat dielakkan dalam keadaan situasi yang darurat. Jika sesuatu kerumitan di dalam rumahtangga itu berterusan dan semakin membarah dan ia hanya akan pulih dengan mengambil langkah untuk ke arah penceraian. Maka haruslah sisuami untuk mengambil langkah tersebut. Sebagaimana sisuami mengambil siwanita itu dengan cara yang baik maka ceraikanlah ia dengan cara yang baik.

Sebagai tambahan sebelum mengakhiri tulisan saya yang serba dhoif ini, sedikit cadangan daripada saya jika natijah kedua-dua pasangan itu berakhir dengan penceraian, maka saya sarankan Muslimat PAS Ipoh supaya mendampingi Puan Maizawati Zainal untuk memberikan kekuatan dan sokongan moral terhadap beliau. Perwatakan zahirnya menampakkan beliau seorang muslimah yang baik namun mungkin pengetahuan agama yang sedikit menyebabkan beliau agak kecelaruan dan kekeruan dalam mencari penyelesaian ini. Dengan cara ini bolehjadi Muslimat Pas Ipoh mampu memberi kekuatan dan dorongan yang positif terhadap beliau untuk tabah dan terus kuat untuk membimbing anak-anak beliau dengan berlandaskan ajaran Islam. Jangan terus biarkan ia terdedah dengan golongan-golongan fasik mahupun golongan-golongan yang cuba mencerminkan Islam itu tidak mampu mengatur kehidupan umatnya serta golongan yang suka melihat ke arah permusuhan dan saling domba-mendomba antara satu sama lain.