Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa tuntutan berpuasa itu sebenarnya telah pun
Imam al- Hafiz Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya telah mengambil satu riwayat yang menjadi bukti kepada perlaksanaan puasa sebanyak 3 kali pada setiap bulan oleh golongan terdahulu. Riwayat itu adalah dari Mu'az, Ibnu Mas'ud, Ibnu 'Abbas, 'Athoo, Qothadah, ad-Dhohak bin Muzahim :
Maksudnya : "Telah diriwayatkan bahawasanya adalah ibadah puasa itu pada permulaan Islam sebagaimana perlaksanaannya oleh umat-umat sebelum kami iaitu pada setiap bulan sebanyak 3 hari".
Maksudnya : "Tidak luput pensyariatan (puasa sebanyak 3 kali pada setiap bulan) ini dari zaman kenabian Nuh sehinggalah Allah S.W.T telah meminda perbuatan yang demikian kepada berpuasa (sebulan) pada bulan ramadhan".
Maksudnya : " Wallahi, Bahawasanya telah diwajibkan ibadah puasa ke atas setiap umat yang telah lalu, sebagaimana telah diperintahkannya ke atas kami sebulan penuh iaitu beberapa hari tertentu, bilangan yang dimaklumi".
Secara peribadi pada pemerhatian dan renungan saya terhadap ayat ke 183 dalam surah al-Baqarah ini. Dilihat seolah-olah Allah S.W.T memberi kata kunci kepada orang yang beriman, bahawa dengan melaksanakan kewajipan berpuasa ini mampu menjadikan kita orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah.
Secara zahirnya pandangan orang jahil melihat puasa ini sebagi sesuatu yang menzalimi jasad. Bagaimanakah dengan menahan diri daripada makan dan minum, mampu memberikan tenaga yang maksimum kepada tubuh dalam melaksanakan urusan harian. Namun dengan perkembangan ilmu sains pada hari ini, kajian saintifik menunjukkan berpuasa mampu memberikan faedah pada kesihatan tubuh badan manusia.
Apabila berpuasa sebenarnya ia memberikan kerehatan pada organ yang terdapat dalam tubuh kita, terutama pada sistem pencernaan. Buktinya sistem pencernaan pada hari berpuasa tidaklah seagresif pada hari-hari biasa. Secara tidak langsung tubuh kita tidak memerlukan tenaga yang terlalu banyak untuk menyempurnakan proses tersebut Jika kita tidak berpuasa maka kita akan kerap mengambil makanan dan sistem pencernaan akan sentiasa berfungsi. Akhirnya menyebabkan kita menjadi lemah dan mudah mengantuk jika terlalu banyak mengambil makanan dan banyak tenaga diperlukan untuk melalui proses pencernaan Apatah lagi dalam masa yang sama otak kita sentiasa dikerah untuk berfikir terutama bagi golongan pelajar. Hal yang demikian menyebabkan mereka kurang fokus terhadap pembelajaran mereka. Pengalaman saya di Maahad Johor dulu macam tu. Jika sarapan dengan makanan yang berat seperti nasi apatah lagi jika nasi lemak ia memberi tiket untuk saya tidur terlebih dahulu sementara menunggu masuknya guru ke dalam kelas.
Sahabat-sahabat.
Jika kita merujuk pada kita Tarbiyatuna ar-Ruhiyyah ( تربيتنا الروحية ) karangan Sa'ied Hawa pada halaman ke 157 cetakan Daru as-Salam. Beliau terlebih dahulu menerangkan bahawa kesan daripada solat itu mampu meninggalkan perbuatan keji dan mungkar. Bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Ankabut ayat ke 45;
Maksudnya : "Sesungguhnya solat itu dapat mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar".
Maksudnya : "Ketahuilah dengan mengingati Allah itu akan menenangkan hati".
ِAllah S.W.T memerintahkan umat Nabi Muhammad S.A.W supaya mereka berpuasa. Ibnu Kathir telah memakna puasa ini dengan menahan diri daripada makan dan minum serta meletakkan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. Beliau juga menerangkan kesan daripada perlaksanaan puasa ini mampu menyuci jiwa serta dapat menghilangkan segala unsur-unsur yang boleh mengotorkan hati dan dapat menghindarkan diri daripada tidak berakhlak mulia. Lihatlah bagaimana golongan terdahulu, mereka bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah ini, Kesannya mereka menjadi orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah, hati yang khusyu' mengingati Allah, serta memiliki akhlak yang terpuji.
Sahabat-sahabat ku sekalian.
Selain puasa itu dapat menyucikan jiwa dan menyihatkan tubuh badan, ia juga dapat menyekat dan menyempitkan ruang-ruang bagi syaitan untuk menghasut manusia melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Bertepatan dengan hadith Rasulullah S.A.W bahawa puasa sebagai jalan untuk menundukkan nafsu kebinatangan manusia. Perlulah diambil perhatian khususnya bagi golongan remaja pada hari ini. Riwayat daripada Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda;
Maksudnya : "Wahai golongan pemuda! Sekiranya kamu mampu menyediakan persiapan untuk berumahtangga maka kahwinlah. Jika tidak mampu maka berpuasalah. Maka sesungguhnya puasa itu dapat meredakan keinginan tersebut".
Oleh yang demikian itu, sekali lagi saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dalam bulan yang kurniakan ini untuk kita menggilapkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Lakukanlah sebanyak mungkin ibadah serta amal kebajikan seperti bersedekah, tolong-menolong antara satu sama lain serta menyeru manusia ke arah kebaikan dan bersama-sama dalam mencegah perbuatan mungkar. Bulan ramadhan inilah akan dilipat gandakan segala amalan kita serta dipermudahkan doa kita untuk diterima Allah. Apa yang lebih besar lagi jaminan bahawa dosa-dosa kita yang terdahulu akan diampunkan Allah. Ini menerusi sabda Baginda S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim;
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah bahawasa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Sesiapa yang telah mendirikan bulan ramadhan itu dengan penuh keimanan dan berikhlas diri kepada Allah, nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu".

