Firman Allah S.W.T :
وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
Maksud : “dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”. (An-Nisaa :58)
Setelah syara’ menggariskan ketetapan terhadap kewajipan menunaikan amanah disusuli pula dengan tuntutan berikutnya iaitu melaksanakan hukuman yang adil terhadap sesama manusia. Sebagaimana yang kita maklum, bersikap amanah itu merupakan asas utama kepada hukum Islam manakala keadilan itu merupakan asasnya yang kedua. Justeru kedua-kedua ini juga menjadi kesepakatan bagi sekalian umat sebagai natijah kepada sesuatu nilai hukum yang berintegriti.
Ketahuilah jua bahawa keadilan itu merupakan asas kepada sesebuah pemerintahan. Pemerintahan yang adil menjadi factor penyumbang kepada ketamadunan,kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Setiap manusia berbilang agama dan bangsa mengakui bahawa keadilan itu satu elemen yang wajib dipasakkan terhadap sesebuah pemerintahan dan pentadbiran. Produktiviti pemerintahan yang lahir daripada elemen tersebut menjadikan masyarakat di semua saluran mendapat manfaat menerusi peruntukan yang selayaknya tanpa wujud unsur pertikaian dan penindasan. Golongan yang lemah layak menerima bahagiannya tanpa diskriminasi dan birokrasi daripada pemerintah di samping tiada ruang bagi golongan yang berkeupayaan untuk menindas golongan yang lemah. Apabila wujudnya situasi seperti ini di dalam sesebuah masyarakat hasil keadilan yang dipersembahkan oleh sang pemerintah maka tiada sebab keamanan dan kestabilan negara tidak boleh dikekalkan.
Keselarasan agama samawi terdahulu menerusi Risalah Zabur,Taurah dan Injil terhadap kewajipan dalam menegakkan keadilan sekali lagi telah diangkat martabatnya sebagai salah satu daripada tuntutan syara’ yang terkandung di dalam Al-quran. Bahkan telah dipersembahkan tuntutan syariat tersebut oleh Muhammad bin Abdullah dengan penuh cemerlang di zaman kerasulan Baginda. Jika diteliti terdapat banyak potongan ayat Al-Quran secara jelas memerintahkan kepada setiap orang yang beriman supaya menegakkan keadilan dalam kehidupan mereka. Di antara potongan ayat tersebut adalahseperti berikut :
إن الله يأمركم بالعدل والإحسان
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan”
(An-Nahl : 90)
وإذا قلتم فاعدلوا ولو كان ذا قربى
Maksudnya : “Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu)“. (Al-An’am : 152)
Secara jelas kita mendapati bahawa hak sivil ini telahpun diakui dan digagaskan di peringkat antarabangsa sebagai deklasi yang memenuhi tuntutan masyarakat dunia. Kebebasan bersuara atau menyatakan pendapat diiktiraf dalam undang-undang dan hak asasi manusia dunia dan perantauan. Hak ini digariskan dalam Perkara 19 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politikal, Perkara 10 Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia, Perkara 13 Konvensyen Eropah mengenai hak asasi manusia dan Perkara 9 Piagam Afrika mengenai Hak Asasi Manusia dan Rakyat.
Diusia dan diabad ini barulah manusia sibuk membicarakan soal keadilan yang meliputi hak asasi manusia sedangkan Islam terlebih dahulu telah mengagaskan tuntutan ini sejak beribu abad lamanya bahkan sebelum kelahiran Nabi Isa lagi ditugaskan untuk menyebarkan Injil. Ini terbukti dengan perintah Allah S.W.T terhadap Nabi Daud ‘Alahi As-Salam (A.S) menerusi firman-Nya :
يا داود إنّا جعلناك خليفة فى الأرض فاحكم بين الناس بالحق ولا تتّبع الهوى فيضلك عن سبيل الله
Maksudnya : “Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah". (Sod : 26)
Apa yang menarik dalam ayat di atas Allah S.W.T memerintahkan kepada Nabi Daud agar menjadi pemerintah yang yang adil. Keadilan yang wajib ditegakkan oleh Baginda adalah kepada semua golongan yang berada di bawah naunganNya samada yang beriman mahupun yang tidak beriman. Ini kerana penggunaan kalimah النّاس merujuk kepada semua golongan manusia tanpa mengira taraf hidup dan agama. Kenapa tidak digunakan kalimah المؤمنبن yang menunjukkan bahawasanya golongan beriman sahaja yang layak menerima keadilan daripada Baginda Nabi Daud A.S?.
Subahanallah, Maha Suci Allah yang menjadikan Islam itu sebagai satu panduan cara hidup yang cukup sempurna dan agung, maka kerahmatan dan keadilannya meliputi suluruh umat manusia. Justeru ia memperlihatkan kesesuaian meletakkan keadilan itu pada hak yang sewajarnya di perolehi oleh orang yang beriman mahupun yang tidak beriman. Keadilan untuk semua sebagai agenda dakwah Nabi Daud telah dijulang berterusan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W bahkan tidak langsung dipinda (dinasakhkan) dalam Risalah Al-Quran.
Oleh yang demikian tidak timbullah isu hak Melayu yang perlu di pertahankan sebagaimana yang dipekikkan oleh PERKASA dalam keadaan mereka jugalah yang menindas dan menzalimi orang Melayu Islam. Tidak memadai dengan bangsa Melayu yang ditindas dan dinafikan hak, bahkan bangsa lain juga turut menerima nasib yang sama. Adakah ini imej Islam yang sebenar?. Sudah tentu ia menyeleweng dari syariat Islam yang sebenar. Jika apa yang diperjuangkan itu tidak selaras dengan tuntutan syara’ maka ia adalah tuntutan yang bertunjangkan hawa nafsu dan penuh dengan hasad dengki. Berhati-hatilah bagi mereka yang sering mengikuti hawa nafsu dalam tindakan sedang syariat telah tersedia untuk dipandu. Janganlah kita digolongkan seperti apa yang difirmankan oleh Allah Ta’ala dalam surah Sod ayat ke 26 di atas. Firman Allah lagi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa.
Nabi S.A.W juga pernah bersabda :
روى أنس عن النبي صلّى الله عليه وسلّم : { لا تزال هذه الأمة بخير , ما إذا قالت صدقت , وإذا حكمت عدلت , وإذا استرحمت رحمت }
Maksudnya : Telah meriwayatkan Anas daripada Nabi S.A.W : “ Sekali-kali tidak hilang kebaikan terhadap umat ini selagi apabila ia bertutur ia benar, dan apabila ia menghukum ia adil, dan apabila ia memohon kerahmatan ia memperoleh rahmat”.
Sebagaimana yang kita maklum definasi Islam terhadap perbuatan zalim ini apabila meletakkan sesuatu itu bukan pada tempatnya. Justeru menjadi keperihatinan dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk berhati-hati dalam setiap tindakan. Ini bagi memastikan kita tidak tergolong dari kalangan mereka yang digelar sebagai orang-orang yang zalim. Allah S.W.T telah banyak menyebarkan kepada umat Nabi Muhammad tentang kisah-kisah kezaliman dan orang-orang zalim terdahulu di dalam Al-Quran. Di samping peringatan dan pengajaran terhadap orang-orang yang zalim. Firman Allah S.W.T :
ولا تحسبن الله غافلا عما يعمل الظالمون إنما يؤخرهم ليوم تشخص فيه الأبصار
Maksudnya: “Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahwa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak”. (Ibrahim : 32)
Imam Al-Qurthubi mengulas dengan menyatakan bahawasanya ayat ini didatangkan kepada Nabi Muhammad sebagai penghibur hati Baginda. Ini kerana setelah Baginda berasa takjub dengan sikap dan tindakan musyrikin Mekah yang menentang ajaran Nabi Ibrahim. Ketahuilah wahai golongan musyrikin, sesungguhnya kedatangan azab itu terlalu lambat bukanlah kerana Allah meredhai perbuatan mereka. Tetapi ia merupakan fenomenana biasa bagi Allah untuk ditangguhkan kepada suatu hari tertentu. Imam Al-Qurthubi menjelaskan lagi bahawa azab yang menimpa ke atas golongan musyrikin ini adalah pada suatu hari yang mana mereka tidak mampu untuk memejamkan mata mereka kerana gerun melihat hari tersebut.
Di samping itu Allah S.W.T juga mengingatkan kepada golongan yang cenderung mahupun yang turut bersama menjayakan kezaliman bahawa mereka juga akan dihimpunkan di akhirat kelak oleh para malaikat bagi menerima azab-Nya. Firman Allah :
احشروا الذين ظلموا وأزواجهم
(kepada malaikat diperintahkan): "Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka. (As-Soffaat : 22).
Doktor Wahbah Az-Zuhaily menggaris pandukan kepada kita terhadap jenis-jenis kezaliman yang cukup membahayakan terhadap ummah setrusnya bakal memperoleh siksaan azab dari Allah. Jenis-jenis kezaliman tersebut adalah :
1) 1. Sesuatu hukum/ketetapan yang dibuat bersalahan dengan kehendak dan hukum Allah.
2) 2. Pemerintah yang zalim dan menindas rakyat.
3) 3. Hakim/pengamal undang-undang yang zalim.
Beliau juga mengutarakan pandangan beliau terhadap isu ketelusan dan integrity hakim dalam membuat sebarang keputusan, ketetapan dan hukuman. Penyelesaian adalah seperti berikut :
1) 1. Hakim tersebut mestilah memahami sesuatu tuduhan atau dakwaan itu dengan sebaiknya.
2) 2. Hakim dilarang untuk cenderung atau berkompromi terhadap mana-mana pihak samada di pihak yang kanan mahupun kiri.
3) 3. Hakim orang yang sangat arif terhadap hukum-hakam Allah.
4) 4. Hakim mestilah memiliki tauliah dan kesempurnaan yang melayakkan beliau untuk jawatan itu.
Mudah-mudahan peringatan dalam coretan kali ini dapat menambahkan ilmu dan ketakwaan kita kepada Allah seterusnya menjadikan kita mukmin yang istiqamah dan thabat dalam menjunjung keadilan dan menghapuskan kezaliman.