Tuesday, December 21, 2010

Perhiasan dunia yang sering menggugat kita di jalan dakwah.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Dr. Muhammad ‘Ali as-Sobouni dalam tafsirannya memperincikan penerangan tentang ayat 14 dari surah Ali Imran.

Beliau menafsirkan: “Diperelokkan pandangan mereka (manusia itu) dan dihadirkan rasa cinta ke dalam hati mereka kecenderungan nafsu syahwat terhadap perhiasan dunia. Allah memulakan perhiasan itu melaui firmannya dengan menyebutkan tentang wanita. Ini kerana wanita adalah ujian (fitnah) yang sangat dahsyat dan keseronokan bersama wanita terlalu banyak. Nabi pernah bersabda : Tidaklah aku meninggalkan satu ujian yang lebih berbahaya terhadap kaum lelaki selepas kematianku melainkan dengan wanita.

Kemudian Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyenaraikan lagi perhiasan dunia itu selepas daripada golongan wanita. Ia adalah apa yang dilahirkan daripada kaum wanita yang dinamakan sebagai anak. Allah berfirman dengan menyebutkan anak adalah perhiasan yang kedua terhadap manusia. Ini kerana anak-anak merupakan buah hati serta penyejuk mata bagi seorang isteri dan suami. Sebagaimana seorang penyair pernah menukilkan : “Hanya sesungguhnya anak-anak kami yang bersama-sama kami, seumpama hati-hati kami yang berjalan di atas muka bumi, walaupun angin bertiup ke arah mereka, nescaya tidak menghalang mata kami untuk melihat mereka dek tiupan angin yang mengkaburkan penglihatan…” Sesungguhnya manusia itu akan mendahulukan anak-anak mereka berbanding dengan harta. Ini kerana kasih sayang manusia itu terhadap anak-anaknya melebihi kasih sayang mereka terhadap harta-harta mereka.

Seterusnya Allah berfirman dengan menyebutkan “Harta yang banyak dari emas dan perak”. As-Sobouni menjelaskan bahawa ia adalah harta yang terlalu banyak dan berlambak-lambak bersumber dari emas dan perak. Hanya sesungguhnya harta juga merupakan satu benda yang amat dicintai oleh manusia. Ini kerana dengan sebab emas dan perak keinginan nafsu syahwat manusia itu mengatasi segala-galanya. Seseorang manusia itu lebih rela menanggung bahaya demi mendapatkan emas dan perak. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Fajr ayat ke 20 dengan maksudnya : “dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan…”. Ketahuilah emas dan perak adalah punca bagi segala jenis perkiraan dalam urusan manusia. Oleh sebab itulah Allah Ta’ala mengkhususkan dalam ayat ini dengan menyebutkan tentangnya.

Dr. Muhammad ‘Ali as-Sobouni menjelaskan lagi apakah yang dimaksudkan dengan “Kuda Pilihan”. Kuda pilihan yang dimaksudkan adalah kuda-kuda yang terbaik dan cantik. Tambahan dari saya (nuruddin), suatu ketika dahulu kuda merupakan satu kebanggaan serta kelebihan bagi golongan bangsawan dan pahlawan. Sebab itu bagi tentera-tentara yang memiliki kuda, mereka akan diberikan upah atau gaji yang lebih daripada tentera pejalan kaki bagi membeli makanan untuk kuda-kuda mereka. Ini bagi memastikan kuda-kuda mereka sentiasa dalam keadaan baik. Kemungkinan bagi dunia hari ini kereta-kereta mewah yang dimiliki merupakan fitnah atau ujian dari Allah. Tapi kalau beli kereta mewah untuk kepentingan urusan dakwah yang memerlukan perjalanan jauh dari satu destinasi ke satu destinasi mungkin boleh dipertimbangkan.

Manakala binatang-binatang ternakan juga adalah salah satu dari perhiasan dunia yang senaraikan oleh Allah Ta’ala melalui firmannya. As-Sobouni menyenaraikan unta,lembu dan kambing merupakan binatang ternakan yang dimaksudkan. Maka daripada haiwan-haiwan inilah ia menjadi tunggangan, makanan dan perhiasan (perhiasan yang memperlihatkan kekayaaan seseorang dengan ternakan tersebut). Tambahan dari saya : “maka berhati-hatilah kita semua dengan pemilikan harta daripada sumber haiwan ternakan ini. Jangan kekayaan kita dari sumber ini menjauhkan kita dari jemaah dan kerja-kerja jemaah. Apatah lagi menjadikan kita orang yang bakhil dalam menginfakkan harta di jalan Allah”.

Yang terakhir menjadi perhiasan bagi manusia itu adalah ladang tanaman berupa sawah bendang dan kebun tanaman. Ia juga disenairkan oleh Allag sebagai perhiasan dunia yang juga menjadi ujian bagi manusia. Ini kerana padanya terhasillah sumber makanan yang mengenyangkan mereka. Yang demikian itulah kesemua perhiasan itu menjadi kecantikan dan keelokan bagi kehidupan dunia yang bersifat fana dan pasti akan lenyap. Bagi Allah lah sebaik-baik tempat dikembalikan.

No comments: