Thursday, September 25, 2008

Ramadhan hampir ke penghujungnya.......

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.....

Dalam tak sedar ramadhan dah pun berada di penghujungnya.Beberapa hari lagi gema takbir akan berkumandang bagi mengagungkan Allah dan sebagai tanda syukur di atas segala kurniaan nikmat yang diberikan kepada kita. Disamping itu juga kita melafazkan rasa syukur di atas keizinan yang diberikan oleh Allah untuk kita menyempurnakan ibadah puasa pada tahun ini dengan jayanya.

Namun pernahkah kita termenung seketika, memikirkan sejauh mana kesempatan yang kita ambil dalam bulan ramadhan kali ini. Adakah rutin seharian kita dibulan yang mulia ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain, atau lebih buruk lagi perjalanan kehidupan kita berbanding dengan bulan-bulan yang lain?

Pengklasifikasian yang sangat cantik telah Allah hadiahkan kepada umatnya di dalam bulan ini, sebagai satu medan untuk mentarbiyah dan memperkasakan lagi iman umatnya. Tiga peringkat telah dibahagikan didalam bulan ini.Peringkat yang pertama ialah Rahmat Allah. Peringkat yang kedua pula ialah Keampunan.Manakala peringkat yang terakhir ialah perlindungan daripada api neraka Allah.

Sejauhmanakah persiapan persenjataan iman kita untuk menangkis segala peluru hasutan yang jahat dibulan yang mana syaitan mahupun iblis tidak dibelenggu. Bayangkan jika sekiranya di medan pertempuran,tentera Islam tidak mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan kekuatan mereka disaat kelalaian tentera musuh. Maka amat malanglah bagi kita apabila disaat tentera musuh kembali sedar,mereka akan menyerang bertubi-bertubi ke arah tentera kita.

Begitulah halnya yang boleh kita misalkan di dalam bulan ramadhan ini.Syaitan dan iblis dibelenggu daripada terus menghasut anak adam di bulan ramadhan supaya memberi peluang kepada anak-anak adam untuk menyucikan hati dan memperkukuhkan lagi iman mereka yang sedia ada.Ini berdasarkan daripada hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam;


Daripada Abu Hurairah R.A,sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabada : "Apabila telah datangnya Ramadhan, maka dibuka pinti-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan".


Oleh itu sama-samalah kita mengambil kesempatan dalam baki beberapa hari sahaja lagi ini untuk kita bersungguh-sungguh melalui ramadhan ini dengan penuh keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.Semoga dengan kesungguhan yang kita persembahkan kepada Allah ini menjadi nilaiannya untuk kita dijauhi api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.