Thursday, June 18, 2009

Pohonlah Nusrah Allah.

Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Saya yakin dan percaya sahabat-sahabt seperjuangan dalam PAS semestinya dalam keadaan gusar dan gundah gulana melihat kepada perkembangan terbaru dalam PAS.

Berbagai kenyataan-kenyataan yang merisau dan menghairankan kita telah keluar di dada akhbar dan media arus perdana. Tidak terlepas juga daripada lidah rasmi dan TV PAS kita. Perkembangan terbaru semalam melihat amaran daripada Timbalan Mursyidul AM terhadap Timbalan Presiden kita Ustaz Nasharudin Mat Isa agar beliau meletakkan jawatan dalam parti dan sebagai ahli parlimen Bachok sekiranya beliau menyokong Kerajaan Perpaduan ini. Walaupun saya sedia maklum bahawa itu adalah sekadar gagasan dan perbahasan ilmiah sebagaimana menurut kenyataan Presiden kita.

Sebentar sahaja tadi 10 orang ahli Parlimen PAS yang terdiri daripada Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) mengisytiharkan beramai-ramai menoloak Kerajaan Perpaduan.

Pelik dan hairan saya bagaimana mereka memahami isu ini. Tindakan susulan mereka ini seolah-seolah gagasan tersebut telah dipersetujui oleh pimpinan tertinggi parti dan melanggar dasar dan polisi parti. Hakikatnya belum ada apa-apa kenyataan rasmi pun daripada pihak Presiden untuk menyokong dan ingin melaksanakan gagasan tersebut hatta Timbalan Presiden kita sendiri.

Apakah kesemua ahli parlimen ini tidak mendengar respon daripada Naib Presiden PAS YB Datuk Mahfuz Omar sendiri ketika ditemui media di lokasi parlimen semalam. Beliau telah menyatakan supaya semua pihak harus bersabar dan memberikan kepercayaan kepada parti untuk menguruskan persoalan ini dan perlu menunggu sehingga kepulangan Dato' Seri Presiden dari London. YB Mahfuz juga yakin bahawa Dato' Seri Presiden mempunyai kebijaksanaan tersendiri dalam menyelasaikan masalah yang berlaku ini.

Sahabat-sahabat sekalian

Dalam keadaan yang sebergitu rumit ini perlunya kita merujuk kepada pimpinan kita. Jikalau boleh saya bertanya adakah kesepuluh ahli parlimen ini telah berbincang dan meminta pandangan daripada Timbalan Presiden dan Naib Presiden kita kewajaran mereka membuat kejutan seperti ini? Sebab itulah secara peribadi saya berpandangan dalam kekalutan ini segala-segala apa pun yang berlaku diminta untuk merujuk terlebih dahulu pada pimpinan tertinggi PAS khususnya Kepada Timbalan Presiden dan Naib Presiden kita.

Marilah sejenak kita ikuti coretan daripada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat melalui blognya terhadap peristiwa peperangan Bani Mustholik. Banyak faedah dan pengajaran yang perlu kita ambil dariapada sejarah dan tulisan itu. Sahabat-sahabat boleh membacanya melalui link ini ;

Vol 1 :

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/06/peristiwa-mustaliq-jadikan-iktibar-vol.html

Vol 2 :

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/06/kisah-mustaliq-jadikan-iktibar-vol-2.html

Saya menyokong seratus peratus di atas cadangan Timbalan Mursyidul AM PAS untuk mengadakan pertemuan khas dengan Dato' Seri Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa pimpinan PAS yang lain dalam menyelasaikan isu ini. Beliau juga turut menamakan pertemuan yang bakal diadakan tersebut sebagai mesyuarat ukhuwah (persaudaraan). Semoga dengan pertemuan tersebut menatijahkan sesuatu yang positif demi kesinambungan kegemilangan PAS yang berterusan serta menjalinkan ukhwah yang lebih erat di antara sesama pimpinan kita.

Insyaallah dengan kehendak Allah selagi PAS melangkah dengan prinsip dan dasarnya, segala apa pun yang berlaku pada PAS saya tetap tidak akan berganjak dalam jemaah mulia ini. Bukan mudah dizaman fitnah ini untuk kita mendapati lorong atau medan yang terbaik untuk kita mati sebagai Syuhadaa (golongan-golongn yang mati dalam menegakkan kalimah Allah).

Sebagai terakhir daripada tulisan yang amat cetek ini, saya sekali lagi secara peribadi mengingatkan agar taatlah kita kepada pemimpian kita selagi pemimpin kita masih menyanjung dan menggalasi perjuangan Rasul, para sahabat dan golongan sesudahnya demi meletakkan Islam itu di mercunya, maka taatilah mereka tanpa berbelah bagi.

Sepanjang krisis ini berlaku, bermula daripada hari esok saya akan berpuasa setiap hari sehinggalah krisis ini selesai. Saya secara peribadi mengajak sahabat-sahabat seprjuangan agar melazimi munajat kita kepada Allah supaya Allah memelihara jemaah kita ini daripada sebarang cubaan untuk melumpuh dan menghapuskannya. Kita juga mohon kepada Allah supaya disatukan kembali hati-hati pejuang-pejuang agama Allah ini untuk terus menikmati nikmatnya persaudaraan dalam berjemaah. Aminn

Monday, June 15, 2009

Unity Government : Mehnah perjuangan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.


Hampir seminggu Muktamar PAS kali ke55 telah berlalu. Namun bergitu kehangatannya masih terasa sehingga ke hari ini khususnya respon pimpinan tertinggi parti mahupun para perwakilan terhadap satu gagasan yang dibawa oleh Dato Seri Presiden kita berkenaan dengan Unity Government.


Semakin deras pukulan angin kecaman daripada pihak tertentu terhadap gagasan yang dibawa oleh Dato’ Seri Presiden kita. Samada kecaman itu daripada pimpinan tertinggi parti, ahli, mahupun pimpinan tertentu dalam pakatan rakyat. Masing-masing dilihat kebingungan dalam memahami kehendak sebenar Presiden melalui gagasan tersebut. Seolah-olah ia difahami bahawasanya PAS akan bersama-sama UMNO dalam masa yang sama mengabaikan prinsip-prinsip dan dasar parti.


Sungguhpun Presiden telah memohon maaf dengan cara menarik balik daripada terus mengutarakan gagasan tersebut walaupun, beliau tidak diberi peluang untuk menjelaskannya. Namun ia masih dijadikan alasan pihak tertentu untuk mengecam presiden kita. Masalah Unity Government ini juga telah beberapa kali diberi penjelasan dan penegasan oleh Timbalan Presiden kita Ustaz Nasharudin Mat Isa. Saya menyimpulkan daripada apa yang disebutkan oleh beliau, bahawa dalam sesebuah parti khususnya PAS, bukan hanya seorang sahaja dalam nak menentukan sesuatu keputusan yang tegas “being able to decide clearly and quickly” apatah lagi sesuatu keputusan itu melibatkan dasar atau polisi parti kita, ia perlu di ketengah dan dikembalikan kepada muktamar.


Saya juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani ketika menjawab pertanyaan wartawan harakahdaily berkenaan dengan "Unity Government" itu. Beliau sebagai menjawab: " Pemuda kena serah dahulu kepada Presiden dan kepimpinan PAS yang baru untuk memberi penjelasan kepada akar umbi dalam parti tentang apa yang dikatakan Kerajaan Perpaduan. Saya rasa Insyaallah apabila konsep kerajaan perpaduan ini difahami baik oleh kepimpinan dan juga ahli-ahli PAS". Kenyataan penuh beliau bolehlah didapati melalui link ini ;


http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21264&Itemid=1


Secara peribadi saya merasakan segala masalah atau usul mahupun gagasan khususnya yang akan melibatkan dasar dan polisi parti tidak perlulah dipolemikkan selagi ia tidak dibawa dan disahkan melalui muktamar yang berlangsung. Berlangsungnya muktamar nanti , di situlah medan untuk kita berbahas, mengutarakan pandangan, serta turut sama berfikir ke arah sesuatu natijah yang amat baik demi kepentingan parti kita. Tapi ingat! Biarlah dengan cara dan adab sebagai orang yang berada dalam jemaah Islam.


Kadang-Kadang saya melihat ada di kalangan pimpinan bawahan parti seolah-olah sudah hilang adab dalam berjemaah, sehingga seolah-olah ingin menyamakan presiden dengan apa yang dilakukan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan dan pengikutnya terhadap Saidina Ali. Adakah kita sudah cukup hebat dan terlalu yakin dalam memanipulasikan sesuatu isu itu dengan mengaitkan sejarah perjuangan Rasulullah dan para sahabat tanpa kita merujuk kepada banyak kitab-kitab sejarah yang muktabar. Adakah Muawiyah itu bukan di kalangan para sahabat Rasulullah? Apakah kita tidak mengethui kedudukan manusia yang bergelar “ashabul ar-Rasul” para sahabat Nabi Muhammad? Apakah kita berhak untuk menghukum siapakah yang bersalah dalam krisis yang berlaku antara Saidina Ali Karamallahu Wajhah dengan Muawiyyah bin Abu Sufyan?


Pernahkah kita terfikir kenapa tiba-tiba Dato’ Seri Presiden mengutarakan gagasan ini? Adakah beliau tidak pernah mengkaji atau meneliti gagasan ini sebelum ia dilafazkan dikhalayak umum. Apakah kita merasakan beliau begitu bodoh dan telah kehabisan modal untuk mencari alternatif dalam memperkasakan PAS dan perjuangannya? Kenapa kita tidak melenting dan memberi kecaman terhadap janji pihak tertentu yang beria-ia untuk merampas kuasa kerajaan pusat melalui jalan melompat parti?


Jika kita meneliti episode sebelum ini, kelihatan Dato’ Seri Presiden kurang bersetuju dengan penubuhan kerajaan melalui jalan melompat parti ini. Ini kerana ia dilihat mampu memberi implikasi buruk kepada perlaksanaan agenda PAS sepenuhnya kepada negara jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah. Kita takuti bahawa ahli parlimen Barisan Nasional yang akan melompat parti itu lebih ramai dikalangan orang bukan Islam. Apabila ahli parlimen PR terdiri di kalangan ramai yang bukan Islam, maka kita khuatiri sesuatu dasar atau polisi atau ketetapan demi kepentingan Islam tidak dapat dilaksanakan kerana kurang mejoriti yang menyokong.


Berikutan penelitian daripada masalah itu Dato’ Seri selaku presiden tidak pernah sedikitpun membuat kecaman terbuka terhadap idea penubuhan kerajaan melalui cara tersebut, bahkan beliau mengajak dan bersedia berbincang dengan pimpinan PR bagi meneliti kembali kewarasan cadangan penubuhan kerajaan melalui jalan tersebut. Hasilnya kita lihat PAS mampu menerima cadangan tersebut dengan meletakkan beberapa syarat yang tegas demi kepentingan Islam dan kesinambungan agenda perjuangan PAS itu sendiri.


Sedikit terkilan juga saya terhadap beberapa pimpinan tertinggi PKR dan DAP yang turut sama melatah bila mendengar gagasan tersebut, seolah-olah gagasan itu mampu memporak-perandakan agenda bersama PR walaupun hakikatnya mereka maklumi gagasan itu belum diterima sebulat suara. PKR dan DAP kene ingat! krisis di Perak berpunca daripada anak buah mereka sendiri yang tiada tarbiyah dan tiada pendirian kukuh terhadap matlamat perjuangan,berbanding anak buah Dato' Seri Presiden yang telah ditarbiyah dan ditapis dengan sebaiknya sebelum menggalas beban amanah yang cukup besar. Hasil daripada pimpinan Dato' Seri Presiden dengan tarbiyah yang dipasakkan ke dalam jiwa ahlinya menatijahkan kepimpinan PAS yang berintegriti tinggi. Ini bukan nak bongkak tapi inilah janji yang Alah beri pada mereka yang ikhlas dalam melaksanakan kerja Islam. Bukan mudah nak dapat sifat ikhlas ini tanpa di sana proses tarbiyah yang sangat ketat.


Kita juga menyedari bahawa ketokohan Presiden PAS dalam memacu arah perjuangan Islam diakui bukan sahaja di Malaysia bahkan meliputi negara-negara Islam yang lain khususnya daripada pemimpin-pemimpin gerakan Islam sedunia. Beliau juga sering diberi penghormatan untuk berucap dipersidangan-persidangan tertentu bagi mengutarakan pandangan dan cadangan beliau kepada semua pemimpin-pemimpin negara Islam dalam menangani krisis umat Islam pada hari ini. Ia termasuklah dalam hal-hal yang melibatkan hak asasi manusia terutamanya terhadap umat Islam di seluruh dunia, masalah pendidikan, ekonomi, masalah kebuluran,kemiskinan dan sebagainya.


Baru-baru ini, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS telah menghadiri Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 (18th International Congress of Muslim Communities) yang dianjurkan oleh Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi (Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial – ESAM) di Istanbul pada28 – 30 Mei 2009. Beliau juga diberi kesempatan sebagai penyampai ucapan dalam Sesi Protokol, selepas dari ucapan Prof Dr Numan Kurtulmus (Presiden Saadat Party) dan Prof Dr Burhanuddin Rabbani (Mantan Presiden Afghanistan). Dalam ucapan beliau, Tuan Guru telah menjelaskan mengenai krisis ekonomi yang melanda dunia dan penyelesaiannya di kalangan dunia Islam.


Jikalau pun benarlah Dato’ Seri Presiden bersalah dalam hal ini, saya merayu agar beliau tidak dihukum dengan sebegitu rupa. Semakin ramai yang mengecam beliau semakin pedih hati ini untuk menerimanya. Rapatilah beliau, bertemulah beliau di meja rundingan, untuk mendapatkan penjelasan serta membuat perbincangan. Usahlah memberi peluang kepada musuh untuk menghuru-harakan jemaah kita hanya dengan pandangan peribadi yang jauh daripada kehendak parti itu sendiri. Tolonglah, demi kepentingan jemaah Islam ini, hentikanlah suasana suram ini. Kita berteguh dan bersatu kembali membawa tema yang baru ini “Islam Memimpin Perubahan” dan sam-sama kita memperkukuhkan sof perjuangan kita dalam berhadapan dengan tsunami politik yang lebih mencabar lagi.


Sebelum saya mengakhiri tulisan ini saya ingin menyatakan kebersamaan saya dalam menerima isi kandungan ucapan pergulungan daripada Timbalan Mursyidul Am kita iaitu YBhg Dato’ Dr Haron Din khususnya dalam mencadangkan supaya mana-mana ahli yang ingin bertanding dalam mengisi jawatan tertinggi pimpinan pusat perlu dibuat tapisan oleh pihak-pihak yang berwajib contohnya serperti majlis syura atau ahli lembaga disiplin parti. Beliau juga ada menekankan tentang kewajipan mentaati pemimpin, serta mengingatkan kepada semua ahli berhati-hati supaya penyakit-penyakit dalam berjemaah ini tidak berlaku dan perlu dibendung segera jika ada.


Ucapan Timbalan Mursyidul Am PAS itu boleh sahabat-sahabat ikuti melalui link ini;


Part 1 :

http://www.youtube.com/watch?v=wxLvCkv1pic&feature=related


Part 2 :

http://www.youtube.com/watch?v=VbvDxVWkbbQ&feature=related


Saya mengingatkan kepada pembaca tulisan ini, bahawa ini adalah pandangan peribadi saya. Tulisan ini bukanlah untuk mengapi-apikan, tetapi dengan tujuan yang satu iaitu untuk melihat suasana yang harmoni antara pimpinan-pimpinan tertinggi parti walaupun di sana wujudnya perbezaan pendapat.

Saturday, June 6, 2009

'Altantuya'

Aku Insan Ajnabi,
Aku Berasal Dari Tanah Tinggi
Bangsaku menjelajah dunia
Bangsaku pernah menguasai dunia
Kecantikanku menawan sesiapa sahaja
Lemah gemalaiku melembutkan lelaki perkasa
Kecerdikanku, kecantikanku boleh diperniaga


Aku wanita Ajnabi merantau kemana=mana
Mencari rezeki merata dunia
Kuala Lumpur, Paris, Hong Kong aku merata
Pembesar negara kuasai ku
Kukuasai pembesar negara
Sebut sahaja apa berniaga aku tetap disana
Kepercayaan dan akidah sama sahaja
Sekejap muslimah sekejap insaniah
Aku tetap manusia beragama


Manisku dijilat, manisku disedut
Aku rela kerana berniaga
Aku berakidah aku insaniah
Ku tahu siapa yang menyedutku
Manisku masih banyak
Manusia rakus menghirupku
Kadang menggilir kadang digilir
Aku berniaga tak kira siapa


Zuriatku ada
Ku tahu siapa bapanya
Masakan tidak, disarangku dia bertelur
Manisku belum habis dihisap
Sepahku dibuang merata
Badanku dihancur luluh
Tubuhku berkecai rapuh
C4 dipanggil untuk memusnahku


Rohku tetap menjalar
Rohku tetap merayau
Setiap dada media ku buka cerita
Ku tahu siapa pemusnahku
Rohku berulang alik
Entah di Mongolia, entah di Paris
Entah di Shah Alam, entah di Putrajaya
Rohku menjalar terus menjalar
Roh suciku diawang-awangan
Menghinggap siapa sahaja
Tak kira pangkat atau kedudukan
Pemusnahku akan musnah


Sajak ini hasil ciptaan :

YBhg Saudara Mohamad Sabu

( Mantan Naib Presiden PAS)

Monday, June 1, 2009

TENTATIF PENUH MUKTAMAR PAS KALI KE 55

* Muktamar PAS Dewan Ulamak Kali ke-48
Tarikh : 10 Jumada Al-Akhir 1430 / 4 Jun 2009 (Khamis)

Tempat : Auditorium Muzium Alam Shah, Shah Alam Selangor Darul Ehsan



* Muktamar PAS Dewan Pemuda Kali ke-50

Tarikh : 9 Jumada Al-Akhir 1430 / 3 Jun 2009 (Rabu)

Tempat : Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, Gombak Selangor Darul Ehsan



* Muktamar PAS Dewan Muslimat Kali ke-49

Tarikh : 10 Jumada Al-Akhir 1430 / 4 Jun 2009 (Khamis)

Tempat : Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor Darul Ehsan



* Muktamar Penuh PAS Kali ke-55

Tarih : 11,12 dan 13 Jumada Al-Akhir 1430 / 5, 6 dan 7 Jun 2009

Tempat : Stadium Malawati Shah Alam Selangor Darul Ehsan


TENTATIF TAMBAHAN

* Forum Perdana Hal Ehwal Islam

Tarikh : 10 Jumada Al-Akhir 1430 / 4 Jun 2009 (Khamis)

Tempat : Stadium Malawati Shah Alam

Ahli Panel : 1) YB Dato' Dr Hassan Bin Mohd Ali
-Pesuruhjaya PAS Selangor-

2) YBhg Dato' Dr Haron Din
-Timb. Mursyidul Am PAS-

3) YBhg Ustaz Dato' Ismail Kamus

Moderator : YBhg Ustaz Kamal Ashaari.

Untuk maklumat lanjut sila ke laman rasmi Muktamar PAS kali ke-55

http://muktamar55.pas.org.my/


"SELAMAT BERMUKTAMAR KEPADA SELURUH PERWAKILAN
DARI BUMI MUSA ALAIHI AS-SALAM"


سيروا على بركة الله