Tuesday, April 27, 2010

90 peratus pelajar-pelajar Johor di Mesir adalah Pembangkang?

Baru-baru ini beberapa orang ahli Johor telah memaklumkan bahawa Khairi Jalaludin (KJ) bersama beberapa orang sekutunya telah membuat satu pertemuan tertutup bersama Menteri Besar Johor dan beberapa orang ahli exco kerajaan negeri . Kesempatan bertemu itu diambil ketika keberadaan MB Johor ke Mesir bagi menghadiri majlis perasmian Rumah Johor Rabaah.

Antara sumber yang diperolehi, KJ telah menghantar surat kepada MB dengan isi kandungan surat menyatakan bahawa sebanyak 90 peratus pelajar-pelajar Johor di Mesir adalah Pro Pembangkang. Saya pelik dan hairan bagaimana KJ begitu berani membuat kesimpulan sedemikian sedangkan kehadirannya di Mesir tidak sampai lima bulan. Adakah KJ memiliki data keahlian keseluruhan ahli BKPJM? Adakah dia telah membuat bancian menyeluruh terhadap fahaman politik anak-anak Johor di Mesir?.

Ahli BKPJM khususnya tidak begitu senang dengan tuduhan yang tidak berasas itu. Sudahlah kita bersusah payah membantu Majlis Agama Islam dan Kerajaan Negeri melancarkan program perasmian tersebut ,dengan tidak semena-mena mood MB berubah terhadap kami hasil daripada pertemuan KJ bersama dengan kuncu-kuncunya. Difahamkan ada seorang ahli BKPJM yang bernama Rafi atau gelarannya Katad turut sama hadir mengiringi KJ ke pertemuan tersebut. Dikatakan kehadiran Katat itu sebagai wakil Kelab Nadi UMNO Johor, sedangkan ada dikalangan ahli Vateran UMNO yang tidak mengakui Katat itu sebagai wakil Kelab Nadi UMNO Johor.

Ada dikalangan ahli yang mengeluh dengan tindakan Katat dengan mengatakan bahawa Katat telah menikam BKPJM dan Pegawai Johor dari belakang. Mereka mengatakan “Sampai hati kau Katat, depan kami kau begitu baik, bergelak ketawa bersama tapi dalam masa yang sama kau tikam kami dari belakang”. Kalaulah benar 90 peratus ahli Johor adalah pembangkang nescaya sudah tentu ahli BKPJM berani untuk menggagalkan kelancaran perasmian rumah Johor tersebut.

Namun apa yang berlaku kesemua adhoc dan Ahli Jawatankuasa Adhoc perasmian bertungkus lumus dalam memastikan kelancaran perasmian tersebut. Ada dikalangan mereka sudah hampir seminggu tidak cukup tidur bagi mengatur persiapan menjelang hari perasmian tersebut. Bukan untuk mengungkit tetapi kecewa dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab membuat tuduhan melulu.

Bagi saya secara peribadi, berkemungkinan katat ini juga tidak bersalah. Boleh jadi ia dipaksa oleh Encik Jamil Dan KJ untuk turut bersama dalam pertemuan itu. Encik Jamil dan KJ perlu bertanggungjawab dalam hal ini terhadap ahli BKPJM khususnya. Apakah Katat yang semestinya turut hadir dalam pertemuan tersebut, kenapa tidak pegawai kami sendiri?

KJ ini sudah berapa kali diajak untuk berdebat berkait dengan Isu pelajar di Mesir,namun ia sering menolak. Baru-baru ini pihak Gerakan Suara Rakyat (SUARA) telah menawarkan KJ untuk menjadi panel kepada sebuah Wacana Ilmiah,namun ditolaknya mentah-mentah kerana takut. Jangan sampai kamu dibaratkan seperti anjing jalanan yang menyalak-menyalak dihadapan manusia yang lalu lalang, bila melihat manusia ingin mengambil batu, lantas bertempiaran lari. Kemudian kembali menyalak dari jauh.

Berhati-hati KJ dengan permainan anda,bolah jadi anda tersadung dan tersungkur ketika hendak melarikan diri.

PMRAM Meniti Usia-Nya.

Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.
Nampaknya situasi sekarang memperlihatkan Mesir antara medan yang cukup meriah dengan isu-isu yang berkait dengan pelajar-pelajar Malaysia. Secara umumnya, isu yang berkait dengan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir ini sudahpun bermula sekitar tahun 1980 dengan sekatan kewangan daripada pihak Jabatan Penuntut Malaysia terhadap PMRAM.

Kemudian dituruti pula pada tahun 1992, dengan isu penubuhan Persatuan Pelajar-Pelajar Mesir (PMMM) oleh Kedutaan Besar Malaysia dengan alasan bahawa PMRAM telah gagal menyatukan para Mahasiswa. Tahun yang sama menyaksikan satu isu yang menggemparkan seluruh ahli PMRAM berkait dengan kepentingan Asrama Rumah Melayu (ARMA). PMRAM dipaksa keluar daripada pejabatnya di ARMA dalam tempoh 48 jam melalui notis oleh Pengarah JPM. Ketidak adilan ini memaksa ahli PMRAM seramai 2000 orang berdemonstrasi membantah tindakan JPM itu. Hak pemilikan tanah ARMA itu adalah sebagai hadiah penghargaan Kerajaan Mesir terhadap sumbangan dan pengorbanan ahli PMRAM.Tahun lepas kita dikejutkan pula dengan isu Kutub Sittah. Isu ini bolehlah merujuk kepada posting saya yang lepas.

Keberadaan saya di Mesir bermula pada tahun 2005 memberi pengertian yang cukup besar dalam memahami apakah tuntutan-tuntutan dan hak-hak pelajar yang perlu diberikan keadilan yang sewajarnya. Sesiapapun yang berkuasa, maka menjadi kewajipan dan tuntutan terhadap orang Islam yang diberi kuasa untuk memberikan keadilan kepada mereka yang dibawah naungannya.

Saya melihat apabila PMRAM gagal untuk diganggu gugat dengan kestabilan sokongan ahli terhadapnya, maka strategi lain pula digunakan. Strategi tersebut ialah dengan memberi tekanan pula ke atas Badan Kebajikan Anak Negeri-Negeri (BKAN). Bermula dengan tekanan ke atas Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKSAM) sekitar tahun 2004/05, dituruti pula oleh Badan Kebajikan Anak Negeri Sembilan (BKANS) dan Keluarga Pelajar Terengganu (KPT) dan beberapa BKAN lain.

Tidak cukup dengan tekanan yang diberikan terhadap BKAN-BKAN, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah meneruskan aksinya dengan memberi tekanan pula terhadap Dewan Perwakilan Muhafazah (DPM)yang berada di luar Kaherah. Terdapat 8 buah DPM yang berada di bawah naungan PMRAM yang menjadi wakil rasmi PMRAM di cawangan-cawangan luar Kaherah. DPM-DPM ini sahaja yang telah diiktiraf oleh pihak keselamatan Mesir bagi sebarang urusan yang berkait dengan pelajar-pelajar Malaysia di cawangan luar Kaherah. Hatta jika pihak JPMK sendiri yang mahu berurusan dengan pelajar-pelajar di cawangan perlu terlebih dahulu memaklumkan kepada PMRAM. Kemudian PMRAM akan memaklumkan kepada pihak keselamatan tentang kehadiran JPMK ke mana-mana cawangan. Prosedur ini perlu kerana sejak awal lagi dari urusan kemasukan pelajar-pelajar baru ke cawangan, PMRAM bertanggungjawab memaklumkan kepada pihak keselamatan Mesir. Apa yang lebih penting sebarang masalah atau kesulitan yang berkait atau berpunca dari pelajar-pelajar Malaysia di cawangan, pihak keselamatan akan terus merujuk atau memaklumkan kepada PMRAM melalui Presiden-nya terlebih dahulu.

Baru-baru ini, seluruh ahli PMRAM di kejutkan dengan dengan dakwaan daripada Khairi Jalaluddin atau nama manjanya (KJ) terhadap pengerusi kita di Tanta. Beliau merupakan salah seorang Pegawai JPMK yang boleh dianggap sebagai budak mentah dalam JPMK. Kehadirannya dilihat bukanlah untuk membantu urusan pelajar, malahan dilihat sebagai agen atau Duta UMNO di Mesir. Sebagai seorang mahasiswa, saya berpendapat tidak menjadi masalah jika pegawai JPMK ini ingin berpolitik. Itu adalah hak peribadi yang kita tidak boleh halang justeru merupakan sebatian dalam amalan demokrasi Negara. Tetapi apa yang menjadi masalah, apabila pelajar-pelajar ini menjadi mangsa kepada agenda politik mereka. Isu-isu pelajar mula dipolitikkan sedangkan ia tidak ada kaitan langsung dengan pencerobohan dasar-dasar kerajaan mahupun apatah lagi dasar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Satu penilaian yang matang perlu dibuat oleh pengkritik-pengkritik seumur hidup mahupun bagi golongan-golongan yang sememangnya tidak suka kepada PMRAM. Tidak timbul isu “siapa yang berkuasa dan siapa yang tidak berkuasa”. Semua pihak perlu mengakui bahawa PMRAM telah wujud sejak 1930 lagi. Manakala Kedutaan Malaysia di Mesir hanya wujud pada tahun 1960, iaitu 30 tahun selepas kewujudan PMRAM yang dahulunya dipanggil Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS). Jika kita meneliti sejarah, kewujudan Kedutaan Malaysia di Mesir, ia merupakan rentetan daripada tuntutan PMRAM terhadap kerajaan Malaysia. Ini kerana PMRAM mengakui bidang kuasa PMRAM adalah terbatas. Kita tidak sombong dan kita mengakui sejauh mana bidang kuasa kita di Mesir ini.

Bahkan kewujudan PMRAM mendahului sejarah kemerdekaan Tanah Melayu. Dengan kestabilan yang tidak menentu terhadap suasana politik tanah melayu, maka rakyat benar-benar mengalami masalah tekanan dan kepayahan hidup. Apatah lagi bagi anak-anak melayu yang bermusafir ke Mesir atau ke timur tengah bagi menimba ilmu agama ketika itu. Maka kewujudan PPS ini antaranya adalah ingin memberi sokongan moral dan beraneka kebajikan kepada pelajar-pelajarnya ketika itu. Semua ini dilaksanakan bagi menjamin keberterusan semangat mereka untuk menimba ilmu di sini.

Merujuk kepada isu PMRAM melahirkan generasi pembangkang kepada kerajaan. Masalah ini pun sepatutnya tidak timbul. Ini kerana menjadi dasar dan pra syarat kepada PMRAM bagi menjamin kelangsungan pergerakannya di Mesir untuk tidak terlibat dengan mana-mana pembawakan parti-parti politik samada di Mesir mahupun di Tanah Air. Ingatkah kita dengan pertuduhan yang dibuat oleh Pengarah JPMK Encik Jamil terhadap PMRAM bagi menyekat penggunaan Al-azhar Conference Center (ACC) untuk tujuan Kutub Sittah. Beliau telah menuduh PMRAM sebagai agen kepada parti-parti pembangkang. Tuduhan itu langsung tidak berasas dan satu pertuduhan yang cukup jahil dalam usaha memperbodohkan mahasiswa.

Soal ahli PMRAM yang pulang ke Malaysia menyokong pembangkang itu juga adalah merupakan sunnah amalan demokrasi berparlimen. Adakah PMRAM berhak untuk menyekat mereka daripada memilih fahaman politik masing-masing. Jangan kita lupa,berapa ramai juga ahli PMRAM yang menjadi Pro Kerajaan setelah mereka pulang ke Tanah Air. Berapa ramai juga ahli PMRAM yang telah dan kini berkhidmat di Jabatan-jabatan kerajaan dan majlis-majlis agama negeri. Adakah mereka-mereka yang berkhidmat di sector-sektor tersebut dilabelkan juga sebagai pembangkang?

Sebab itulah, jika kita memahami secara matang dan bijak terhadap pengamalan demokrasi yang sedia ada, ia akan mengeluarkan kita dari bebanan masalah ini. Hasil dari pengamalan demokrasi yang bijak,kita akan melihat JPMK dan PMRAM berseiringan dalam membantu kebajikan ahli. Banyak sebenarnya faedah yang kita akan perolehi selain daripada isu kebajikan mahasiswa apabila JPMK telus dengan dasar kewujudan mereka yang sedia ada.

Malahan Kementerian Pengajian Tinggi sendiri bakal menerima sokongan dan penghargaan yang besar oleh pelajar dengan kerjasama ini, terutamanya dengan isu kecemerlangan,keselamatan dan hak keistimewaan pelajar. Kita PMRAM sanggup untuk memberikan idea yang terbaik serta berganding bahu dalam memperkemaskan lagi sistem dasar pendididikan negara khususnya.

Namun kesemua impian ini hanya dapat dicapai dengan syarat JPMK melaksanakan dasar penubuhannya dengan telus serta menyuburkan amalan demokrasi yang sihat. Lihat contoh sebagaimana cantik dan harmoninya hubungan kedutaan Indonesia dengan pelajar-pelajarnya mahupun dengan persatuan-persatuan pelajar yang ada. Bahkan dikatakan bahawa pihak kedutaan tidak mencampuri langsung urusan persatuan-persatuan pelajar mereka selagi tidak memberi ancaman kepada hubungan dua hala Indonesia Mesir. Apa yang menarik mereka hanya bersatu dalam urusan kecemerlangan anak-anak Indonesia.