Saturday, July 21, 2007

Tiga hari sahaja lagi......

Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

hmmm.....tiga hari sahaja lagi untuk ana pulang ke Malaysia.Kepulangan ana ke Malaysia bukanlah kerana tamatnya pembelajaran ana di bumi anbia' ini,tetapi kerana kehendak keluarga yang memaksa diri ana untuk pulang

Pernah satu hari tu,ana hubungi ayah ana nak minta tangguh supaya dapat pulang tahun depan.Tapi ayah ana cakap harapan mak,abah dengan adik-adik supaya ana balik tahun ni.

Teringat plak ana kata-kata senior kat sini,dia kata kalau mak n ayah mendesak suruh balik Malaysia,baliklah.Sekiranya dia mendesak,Insyaallah itu menunjukkan dia mampu untuk support kita punya tambang.Belum tentu tahun depan yang kita lapang nak balik tu,kita dapat jumpa mak ayah kita.Mungkin dia dah pergi meninggalkan kita.

Ana pun kadang-kadang pening juga,jika ikutkan pandangan sebahagian ustaz n ustazah ana kat Malaysia diorang suruh ana tamamkan pembelajaran di sini dulu barulah pulang.Tapi bila memikirkan tuntutan keluarga itu perlu didahulukan ana buat keputusan untuk pulang juga.Alhamdulillah setakat ini urusan tiket n visa dah setle.Cuma sedikit buah tangan dari Mesir belum dibeli tapi itu tak menjadi masalah kalau tak beli.

Sebut pasal urusan visa ni,teringat ana masa nak sambungkan visa ana di jawaazat Madinatul Bu'uth.Pada hari tu ana datang awal pagi sebab takut beratur panjang.Kalau kat mesir di untuk pelajar waafidin cara nak urus visa mesti sediakan salinan fotostate pasport (muka hadapan n visa terakhir) lepas tu perlu di sertakan salinan tasdiq (surat akuan dari pihak fakulti terhadap pembelajaran kita di sini) lepas tu sekeping gambar dikepilkan dengan borang.Bila tiba jer giliran ana berurusan dengan muwazzif tu,dia minta dua salinan setiap satu (pasport dengan tasdiq).Pada mulanya ana terkejut juga,selalunya hanya satu salinan sahaja diperlukan.Tapi ana dah menjangkakan ini akan berlaku,sebab tulah ana fotostate dua salinan setiap satu pada malamnya sebelum ana pergi ke jawaazat pagi tu.Biler ana dah bagi salinan tu dia marah plak kat ana,dia kata;

Muwazzif:Aku tak nak tasdiq ni.Ini yang tahun 2006/2007.Aku nak tasdiq 2007/2008.

Ana :Kenapa plak perlu tahun 2007/2008 sedangkan natijah aku belum keluar untuk
sesi ini.Aku baru jer ambil tasdiq ni pada 4 hari yang lepas.Ini bukan salah
aku.Urusan syuun telah menunjukkan tasdiq ini masih digunakan untuk sesi
2006/2007.

Muwazzif:Tidak,aku tidak akan berurusan dengan kamu hari ni.(sambil dilaungkan pada

pelajar yang lain aku nak tasdiq 2007/2008)

*Kebetulan masa tu ada dua orang ustazah juga berurusan seperti ana,namun urusannya tiada masalah.Ana cuba meminjam tasdiq salah seorang daripada ustazah tu.Ana lihat dua orang ustazah tu masih berurusan dengan menggunakan tasdiq 2006/2007.Ana terus bawa tasdiq ustazah tadi untuk ana tunjukkan pada muwazzif tu.

Ana :Aku nak tanya,kenapa tidak menjadi masalah apabila ustazah ini masih
menggunakan tasdiq 2006/2007 ?
Muwazzif:Awak pergi jumpa amiin ad-daulah (boleh la ana katakan sebagai pegawai besar
dalam jawaazat tu)

*Bila ana jumpa amiin tu ana terangkan pada dia bahawa muwazzif tu nak tasdiq tahun 2007/2008 sedangkan natijah belum keluar lagi dan pembelajaran untuk sesi 2007/2008 belum bermula.Dengan mudah tanpa banyak bicara amiin tu terus sign pada borang ana lalu di tulis kebenaran untuk buat visa pada hari tu.Bila ana bagi jer borang tu pada muwazzif tadi dia dah macam bengang sikitla mungkin dia malu kut.Lepas tu dia tak puas hati lagi,dia plak yang jumpa amiin tu.Betul-betul arab ni menguji kesabaran ana.Bila dia pergi jumpa amiin tu ana ikut sekali masuk dalam bilik,lepas tu amin tu cakap kau bagi jer dia buat.Ana pun legalah rasa hati.Punyalah susah nak berurusan dengan arab ni kadang-kadang.

Pada mulanya ana tak bercadang pulang ni untuk bekerja.Tapi sebagai anak yang sulung merasakan perlu untuk ana bekerja bagi menampung perbelanjaan 2 atau 3 bulan ana di mesir nanti.Sekurang-kurangnya dalam tempoh itu mak dan ayah ana tak perlulah masukkan duit.Selain daripada bekerja ana teringin juga nak mengadakan kelas pengajian al-Quran dan tajwid untuk kanak-kanak di kawasan kediaman ana tu.Kemudian nak juga rasanya ana adakan kuliah agama untuk kawan-kawan mak ana.Sekadar apa yang mampu ana sampaikan akan ana sampaikan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pelajar Al-Azhar.

Tahun ni plak dengar cerita pilihanraya dah nak dekat ana diminta oleh ustaz ana untuk bantu dia dalam gerak kerja PAS kawasan dan cawangan.Bukanlah jadi orang atasan pun sekadar orang suruhan untuk bantu PAS.Insyaalah sekadar apa yang boleh ana bantu akan ana bantu.Namun doa daripada sahabat-sahabat di sini amat ana harapkan moga-moga berkesanggupan melaksanakan tugas-tugas tu.....

Friday, July 20, 2007

Puak Muktazilah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah ana merasakan sudah agak lama ana tidak menaip untuk di update kan blog ana ni.Agak kesibukan sedikit dengan berbagai program yang telah diadakan oleh Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Mesir(BKPJM).Walaupun ana bukanlah di antara yang menjadi orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan program namun suka untuk membantu sahabat-sahabat yang lain dalam melaksanakan tugas mereka.Itulah nilai ukhwah yang mesti di tadhbik kan.

Berbalik kepada sambungan mengenai kewujudan puak-puak iktikad yang pernah wujud mahupun yang masih wujud dalam kehidupan pada hari ini,ingin pula ana menyentuh pula berkenaan dengan Puak Muktazilah.

Disaat kemunculan berbagai jenis fahaman dan beberapa puak iktikad, timbullah banyak persoalan di kalangan umat Islam yang bertanya kepada ‘alim ulama’ bagi mencari penjelasan dan kebenaran.Fenomena yang ana sebutkan itu juga berlaku kepada Hassan Al-Basri.

Pada suatu hari datang seorang lelaki bertanya kepada Hassan Al-Basri tentang hukum orang-orang yang mengerjakan dosa besar dan ia mati sebelum sempat bertaubat. Persoalan lelaki itu ialah adakah orang itu kafir,sepertimana yang dikatakan oleh pengikut-pengikut Puak Khawarij ataupun orang itu tidak akan terkesan dengan maksiatnya sebagaimana yang dikatakan oleh Puak Murjiah?.

Mendengar persoalan itu Hassan Al-Basri terdiam sebentar.Namun belum sempat soalan itu dijawab oleh Hassan Al-Basri tampillah seorang muridnya yang bernama Wasil Bin Ata’ mencelah dengan menjawab,”saya tidak fikir orang yang mengerjakan dosa besar itu mukmin ataupun kafir semata-mata,tetapi ia adalah antara dua keadaan iaitu bukan mukmin dan bukan kafir”.

Sempat ana bertanya kepada sahabat ana Ustaz Rafi’ie tentang kenapa Hassan Al-Basri terdiam sebentar setelah mendengar persoalan yang diajukan orang lelaki tersebut.Sedangkan Hassan Al-Basri orang yang berilmu dan mampu menjawab secara terus menerus sebarang persoalan yang diajukan kepadanya.Lalu sahabat ana menjawab memang benar Hassan Al-Basri terdiam sebentar setelah mendengar soalan tersebut. Namun diamnya Hassan Al-Basri bukan kerana ia tidak mampu menjawab ,tetapi Hassan Al-Basri memikirkan jawapan yang berhikmah bagi memastikan yang bertanya itu dapat memahami jawapan yang diberikan dengan mudah secara tidak langsung mampu ia menolak segala pandangan-pandangan yang samar di sekelilingnya berdasarkan hujah yang diberikan olehnya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Jawapan yang diberikan oleh anak murid Hassan Al-Basri itu amat bertentangan dengan pendapatnya.Hassan Al-Basri berpendapat bahawa orang mukmin yang mengerjakan dosa besar itu hanya seorang mukmin yang berdosa,bukannya kafir kerana ia masih mengakui ketauhidan Allah Subhanahu Wa Ta’ala (S.W.T) dan Nabi Muhammad itu sebagai pesuruh-Nya.Tidak juga dikatakan orang mukmin yang berdosa itu terletak antara bukan kafir dan bukan mukmin sebagaimana pendapat yang dinyatakan oleh anak murid Hassan Al-Basri iaitu Wasil Bin Ata’.

Setelah berlakunya pertelingkahan pendapat dalam masalah itu Wasil telah berpaling daripada gurunya Hassan Al-Basri.Ketika itu berkatalah Hassan Al-Basri kepada murid-muridnya yang lain,” اعتزلنا واصل " ertinya “Wasil telah meninggalkan kita”.Maka dari perkataan اعتزل inilah diambil perkataan Muktazilah yang digelarkan kepada puak Wasil.

Puak mereka tidak bersetuju dengan dengan gelaran itu dan menamakan diri mereka Ahli Keadilan dan Tauhid.Sebab kepada mengapa mereka menamakan diri mereka Ahli Keadilan ialah kerana mereka mendakwa mereka sahajalah yang menafikan kezaliman dari Allah dengan mengatakan bahawa manusia sendirilah yang melakukan segala perbuatan yang dilakukan dengan pilihan (ikhtiar) mereka.Maka tidak timbullah bahawa Allah mengazab manusia di atas perkara yang ia tidak bertanggungjawab melakukannya.

Mereka juga menggelarkan diri mereka sebagai Ahli Tauhid kerana mereka amat keterlaluan dalam mengesakan Tuhan sehingga menafikan wujudnya sifat-sifat Tuhan seperti maha mendengar,melihat dan sebagainya yang boleh menimbulkan fahaman berlainan daripada zat-Nya.Ini kerana mereka berpendapat bahawa kalaulah ada sifat-sifat bagi Allah tentulah sifat-sifat itu mestilah sedia ada قديم seperti zat-Nya juga.Maka ini akan menjadikan berbilang-bilang Qadim itu dan bertentanganlah dengan dasar tauhid.

Walau bagaimanapun,Puak Muktazilah ini bukannya tidak mengaku yang Tuhan itu mendengar ,melihat,berkuasa dan sebagainya yang tersebut di dalam Al-Quran,tetapi dengan zat-Nya sendiri bukannya dengan sifat-sifat yang boleh diasingkan fahamannya dari zat.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Mazhab Muktazilah ini adalah berdasarkan kepada beberapa persoalan pokok di antaranya;

( i )Menafikan adanya sifat Tuhan yang berlainan dari zat-Nya supaya tidak bersekutu antara zat dan sifat tantang Qadim.Mereka hanya mengakui bahawa Tuhan itu mengetahui dengan zat-Nya,berkuasa dengan zat-Nya,berkehendak dengan zat-Nya dan begitulah seterusnya.

( ii )Perbuatan yang dilakukan oleh manusia itu adalah dengan ikhtiar sendiri dengan kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah.

( iii )Akallah yang menghukumkan baik atau buruknya sesuatu.

( iv )Tuhan hanya membuat perkara yang baik dari segi hikmah untuk kemaslahatan manusia,oleh itu dikatakan Puak Muktazilah mewajibkan Tuhan membuat perkara yang baik dan yang terbaik sahaja.

( v )Orang yang mengerjakan dosa besar yang mati tanpa bertaubat tidak mukmin dan tidak kafir.Mereka ini akan dimasukkan antara syurga dan neraka.(pening tak kalau kita lihat pemikiran mereka)

( vi )Al-Quran itu makhluk dan baharu

Pemimpin-pemimpin Puak Muktazilah ini adalah di kalangan mereka-mereka yang jaguh dalam ilmu pengetahuan disamping mereka mempelajari ilmu falsafah dan menggunakan cara berdebat untuk mematahkan hujah-hujah lawan.Tidak dinafikan juga kelebihan mereka dalam menolak kekeliruan yang timbulkan oleh musuh-musuh Islam.Tetapi dari sudut lain pula mereka merupakan satu puak yang fanatik dengan pendapat-pendapat mereka dan sanggup meminta pertolongan dari kerajaan ataupun pemerintah untuk memaksa orang ramai menganut mazhab mereka.Banyak di kalangan alim ulama’ fiqh dan pakar hadith mengalami penyeksaan akibat daripada sikap fanatik puak ini.

Oleh itu Puak Muktazilah dibenci dan dimarahi oleh orang ramai serta dituduh sebagai puak yang sesat dan menyeleweng daripada agama Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Sekadar itu sahaja penerangan ana berkenaan dengan Puak Muktazilah untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat.

Sekali lagi diingatkan ana tidak menolak jika sepanjang penerangan ana terdapat beberapa kesalahan yang tidak ana sedari,ana meyakini ada dikalangan pembaca yang lebih arif dan pakar dalam bab ini.Oleh itu ana mengalu-alukan sebarang tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat yang arif demi meningkatkan kefahaman ana.Wallahua a’lam bertemu kembali…….

Wednesday, July 11, 2007

Janji buruk terhadap mereka yang berpaling dari jalan Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah ana menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian juga kepada diri ana sendiri supaya tunduk dan patuhlah kepada perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala (S.W.T) juga kepada sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (S.A.W).Moga-moga diri kita menjadi di kalangan hamba-hamba Allah yang benar-benar bertakwa kepadanya.Sebaik-baik bekalan itu adalah bertakwa kepada Allah S.W.T.

Marilah kita merenung serta menghayati persoalan yang telah Allah keutarakan kepada kita semua di dalam surah Ali-Imran ayat yang ke 83;

أفغير دين الله يبغون وله أسلم من في السموت والأرض طوعا وكرها وإليه يرجعون

Maksudnya:”Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah,padahal kepada-Nya lah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi,baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah lah mereka akan dikembalikan”

Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah,ini kerana Allah S.W.T satu-satunya tuhan sekalian alam tiada sekutu bagi Nya.Allah sahajalah yang mencipta seluruh alam dan mentadbirnya dengan peraturan-peraturan Nya.Seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi samada yang nyata mahupun yang ghaib,sebesar-besar makhluk mahupun sekecil-kecil makhluk adalah di bawah naungan dan kekuasaan Nya.

Maka tidak hairanlah jika Islam itu dijadikan Nya sebagai panduan bagi umat manusia.Islam menjadi ad-din yang di bawa oleh para rasul yang diutus Allah berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W.Islam mengajak manusia supaya yakin kepada Allah serta menjadikannya sebagai ikutan dan panduan hidup. Hari ini kita melihat dunia berada dalam keadaan kehausan daripada petunjuk yang benar.Maka berlakulah kacau-bilau dan huru-hara dalam kehidupan manusia.Manusia diberi akal oleh Allah S.W.T supaya boleh berfikir,mencari ilmu yang memberi manfaat kepada mereka.Namun dengan syarat,akal itu mestilah berpandukan petunjuk daripada Allah S.W.T .

Manusia itu diciptakan oleh Allah di samping diberi undang-undang dan peraturan hidup supaya mereka selamat berada di dunia untuk tujuan akhirat.Tiba-tiba lahir pula golongan manusia yang lebih jahat daripada binatang,yang menggunakan undang-undang dan peraturan sendiri.Menjadikan yang lebih kuat di kalangan mereka adalah yang paling betul,yang lebih kaya dan mewah sebagai yang disanjung,siapa yang berada di atas sahaja yang perlu dituruti dengan menolak apa yang lebih hak untuk mereka patuhi.

Manusia yang tenggelam dalam hawa nafsu,mengerjakan,kesyirikan,kefasikan kemungkaran, dan cara hidup yang bebas seperti binatang.Akhirnya merebaklah segala kemaksiatan,kemungaran,kezaliman serta penindasan sesama manusia dengan menggunakan senjata,harta dan kedudukan secara terus menerus menyalahgunakan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T.Allah telah menunjukkan berbagai-bagai balasan dan bencana dunia.Firman Alah S.W.T dalam surah Ar-Rom ayat ke 41;

ظهر الفساد فى البر والبحر بما كسبت أيدى الناس ليذيقهم بعض الذى عملوا لعلهم يرجعون

Maksudnya:Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan kerana perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka,agar mereka kembali(ke jalan yang benar)

Allah telah merasakan kepada manusia berbagai-berbagai penyakit yang merebak dan meragut nyawa manusia sekali gus mengancam keselamatan hidup mereka .Walaupun di sana ada penyakit-penyakit yang boleh diubati dengan berbagai-bagai ubatan,tidak kurang juga dengan penyakit-penyakit yang tidak boleh diubati dengan kelemahan akal yang ada pada manusia.Dengan kajian dan projek-projek yang tidak bermanfaat dilakukan oleh manusia, berlakulah bencana alam,gempa bumi serta banjir di sana-sini,kemusnahan yang merebak ke seluruh dunia.

Sebenarnya kesemua masalah ini adalah berpunca daripada manusia itu sendiri yang lari dari petunjuk Allah.Mereka tidak menyerahkan diri mereka kepada Allah S.W.T dengan hukum-hukum dan paraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T di dalam Al-quran.Walaupun Allah S.W.T telah menghukum mereka ketika di dunia lagi dengan berbagai-bagai hukuman dan bencana bagi membalas kedegilan mereka untuk kembali kepada ajaran Islam,namun terus juga mereka mengerjakan kemaksiatan dan mereka lupa tentang hari akhirat yang mana di sana mereka akan dihidupkan semula selepas kematian untuk dibicarakan di hadapan Alah S.W.T.Segala kejahatan mereka di dunia akan didedahkan pada hari itu untuk dihukum dengan api neraka yang akan meleburkan tubuh badan mereka.

Orang yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah sahajalah yang akan diredhai oleh Allah S.W.T untuk mereka mengecapi nikmat syurga.Tetapi lain pula hal keadaannya bagi mereka yang kufur,degil,bernafsu dunia semata-mata lebih dari sifat kebinatangan.Mereka inilah dijanjikan Allah untuk disembamkan ke dalam api neraka.Kehidupan mereka amat payah sekali kerana di dunia lagi Allah S.W.T telah memberikan azab kepada mereka.Apatah lagi di akhirat kelak mereka kekal di dalam neraka.Firman Allah S.W.T.Firman Allah S.W.T dalam surah Fusilat ayat yang ke 27;

"فلنذيقنّ الذين كفروا عذابا شديدا ولنجزينّهم أسوى الذي كانوا يعملون"

Maksudnya:”Maka sesungguhnya kami akan merasakan azab yang keras kepada orang-orang yang kafir dan Kamai akan memberi balasan kepada mereka dengan seburuk-buruk pembalasan bagi apa yang telah mereka kerjakan”

Di abad ini,Ketidak fahaman mereka terhadap tuntutan Allah supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Nya,bukan sahaja dikalangan mereka yang jahil terhadap Islam,malahan ada juga dikalangan mereka yang berilmu agama,yang menguasai berbagai jenis cabang ilmu,faham tentang nas-nas Al-quran dan As-sunnah tetapi turut sama jahil dalam melaksanakannya.Bahkan mereka pula sanggup menjadi pak turut terhadap suruhan orang-orang yang jahil serta turut serta menentang gerakan Islam dan para pendakwah yang menyeru ke arah perlaksanaan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan manusia.Mereka yang tidak bertanggungjawab ini adalah dikalangan ustaz-ustaz dan para ustazah,penasihat agama pemerintah,mufti-mufti,pensyarah-pensyarah dan sebagainya. Meraka-mereka yang seperti inilah disifatkan sebagai "ulama' suk".

Marilah kita kembali kepada Allah dengan menyerahkan segala kehidupan kita berlandaskan tuntutan dan suruhannya.Berlaku adillah kita terhadap diri sendiri,jangan menunjukkan kesombongan kita seperti iblis yang tidak sedar dan insaf.

Marilah kita menjadi manusia yang berpandukan kepada hidayah dan petunjuk Allah S.W.T.Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Mulk ayat ke 22;

أفمن يمشى مكبّا على وجهه أهدى أمّن نمشى سويّا على صراط مستقيم ( )

قل هو الذى أنشأكم وجعل لكم السمع والأبصر والأفئدة قليلا ما تشكرون ( )

Maksudnya:”Adakah mereka yang berjalan dengan menyembamkan muka mereka ke tanah (tidak mengikut asal kejadiannya) lebih mendapat petunjuk,atau orang yang berjalan menggunakan kaki di atas jalan yang lurus? ( ) Katakanlah “Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran dan penglihatan dan hati” amat sedikit kamu bersyukur ( )

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah begitulah bandingan Allah terhadap orang yang menerima petunjuk Nya mahupun tidak.Moga-moga peringatan ini memberi manfaat kepada kita semua.Salam jihad dari ana buat pejuang-pejuang Islam.