Friday, July 20, 2007

Puak Muktazilah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah ana merasakan sudah agak lama ana tidak menaip untuk di update kan blog ana ni.Agak kesibukan sedikit dengan berbagai program yang telah diadakan oleh Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Mesir(BKPJM).Walaupun ana bukanlah di antara yang menjadi orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan program namun suka untuk membantu sahabat-sahabat yang lain dalam melaksanakan tugas mereka.Itulah nilai ukhwah yang mesti di tadhbik kan.

Berbalik kepada sambungan mengenai kewujudan puak-puak iktikad yang pernah wujud mahupun yang masih wujud dalam kehidupan pada hari ini,ingin pula ana menyentuh pula berkenaan dengan Puak Muktazilah.

Disaat kemunculan berbagai jenis fahaman dan beberapa puak iktikad, timbullah banyak persoalan di kalangan umat Islam yang bertanya kepada ‘alim ulama’ bagi mencari penjelasan dan kebenaran.Fenomena yang ana sebutkan itu juga berlaku kepada Hassan Al-Basri.

Pada suatu hari datang seorang lelaki bertanya kepada Hassan Al-Basri tentang hukum orang-orang yang mengerjakan dosa besar dan ia mati sebelum sempat bertaubat. Persoalan lelaki itu ialah adakah orang itu kafir,sepertimana yang dikatakan oleh pengikut-pengikut Puak Khawarij ataupun orang itu tidak akan terkesan dengan maksiatnya sebagaimana yang dikatakan oleh Puak Murjiah?.

Mendengar persoalan itu Hassan Al-Basri terdiam sebentar.Namun belum sempat soalan itu dijawab oleh Hassan Al-Basri tampillah seorang muridnya yang bernama Wasil Bin Ata’ mencelah dengan menjawab,”saya tidak fikir orang yang mengerjakan dosa besar itu mukmin ataupun kafir semata-mata,tetapi ia adalah antara dua keadaan iaitu bukan mukmin dan bukan kafir”.

Sempat ana bertanya kepada sahabat ana Ustaz Rafi’ie tentang kenapa Hassan Al-Basri terdiam sebentar setelah mendengar persoalan yang diajukan orang lelaki tersebut.Sedangkan Hassan Al-Basri orang yang berilmu dan mampu menjawab secara terus menerus sebarang persoalan yang diajukan kepadanya.Lalu sahabat ana menjawab memang benar Hassan Al-Basri terdiam sebentar setelah mendengar soalan tersebut. Namun diamnya Hassan Al-Basri bukan kerana ia tidak mampu menjawab ,tetapi Hassan Al-Basri memikirkan jawapan yang berhikmah bagi memastikan yang bertanya itu dapat memahami jawapan yang diberikan dengan mudah secara tidak langsung mampu ia menolak segala pandangan-pandangan yang samar di sekelilingnya berdasarkan hujah yang diberikan olehnya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Jawapan yang diberikan oleh anak murid Hassan Al-Basri itu amat bertentangan dengan pendapatnya.Hassan Al-Basri berpendapat bahawa orang mukmin yang mengerjakan dosa besar itu hanya seorang mukmin yang berdosa,bukannya kafir kerana ia masih mengakui ketauhidan Allah Subhanahu Wa Ta’ala (S.W.T) dan Nabi Muhammad itu sebagai pesuruh-Nya.Tidak juga dikatakan orang mukmin yang berdosa itu terletak antara bukan kafir dan bukan mukmin sebagaimana pendapat yang dinyatakan oleh anak murid Hassan Al-Basri iaitu Wasil Bin Ata’.

Setelah berlakunya pertelingkahan pendapat dalam masalah itu Wasil telah berpaling daripada gurunya Hassan Al-Basri.Ketika itu berkatalah Hassan Al-Basri kepada murid-muridnya yang lain,” اعتزلنا واصل " ertinya “Wasil telah meninggalkan kita”.Maka dari perkataan اعتزل inilah diambil perkataan Muktazilah yang digelarkan kepada puak Wasil.

Puak mereka tidak bersetuju dengan dengan gelaran itu dan menamakan diri mereka Ahli Keadilan dan Tauhid.Sebab kepada mengapa mereka menamakan diri mereka Ahli Keadilan ialah kerana mereka mendakwa mereka sahajalah yang menafikan kezaliman dari Allah dengan mengatakan bahawa manusia sendirilah yang melakukan segala perbuatan yang dilakukan dengan pilihan (ikhtiar) mereka.Maka tidak timbullah bahawa Allah mengazab manusia di atas perkara yang ia tidak bertanggungjawab melakukannya.

Mereka juga menggelarkan diri mereka sebagai Ahli Tauhid kerana mereka amat keterlaluan dalam mengesakan Tuhan sehingga menafikan wujudnya sifat-sifat Tuhan seperti maha mendengar,melihat dan sebagainya yang boleh menimbulkan fahaman berlainan daripada zat-Nya.Ini kerana mereka berpendapat bahawa kalaulah ada sifat-sifat bagi Allah tentulah sifat-sifat itu mestilah sedia ada قديم seperti zat-Nya juga.Maka ini akan menjadikan berbilang-bilang Qadim itu dan bertentanganlah dengan dasar tauhid.

Walau bagaimanapun,Puak Muktazilah ini bukannya tidak mengaku yang Tuhan itu mendengar ,melihat,berkuasa dan sebagainya yang tersebut di dalam Al-Quran,tetapi dengan zat-Nya sendiri bukannya dengan sifat-sifat yang boleh diasingkan fahamannya dari zat.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Mazhab Muktazilah ini adalah berdasarkan kepada beberapa persoalan pokok di antaranya;

( i )Menafikan adanya sifat Tuhan yang berlainan dari zat-Nya supaya tidak bersekutu antara zat dan sifat tantang Qadim.Mereka hanya mengakui bahawa Tuhan itu mengetahui dengan zat-Nya,berkuasa dengan zat-Nya,berkehendak dengan zat-Nya dan begitulah seterusnya.

( ii )Perbuatan yang dilakukan oleh manusia itu adalah dengan ikhtiar sendiri dengan kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah.

( iii )Akallah yang menghukumkan baik atau buruknya sesuatu.

( iv )Tuhan hanya membuat perkara yang baik dari segi hikmah untuk kemaslahatan manusia,oleh itu dikatakan Puak Muktazilah mewajibkan Tuhan membuat perkara yang baik dan yang terbaik sahaja.

( v )Orang yang mengerjakan dosa besar yang mati tanpa bertaubat tidak mukmin dan tidak kafir.Mereka ini akan dimasukkan antara syurga dan neraka.(pening tak kalau kita lihat pemikiran mereka)

( vi )Al-Quran itu makhluk dan baharu

Pemimpin-pemimpin Puak Muktazilah ini adalah di kalangan mereka-mereka yang jaguh dalam ilmu pengetahuan disamping mereka mempelajari ilmu falsafah dan menggunakan cara berdebat untuk mematahkan hujah-hujah lawan.Tidak dinafikan juga kelebihan mereka dalam menolak kekeliruan yang timbulkan oleh musuh-musuh Islam.Tetapi dari sudut lain pula mereka merupakan satu puak yang fanatik dengan pendapat-pendapat mereka dan sanggup meminta pertolongan dari kerajaan ataupun pemerintah untuk memaksa orang ramai menganut mazhab mereka.Banyak di kalangan alim ulama’ fiqh dan pakar hadith mengalami penyeksaan akibat daripada sikap fanatik puak ini.

Oleh itu Puak Muktazilah dibenci dan dimarahi oleh orang ramai serta dituduh sebagai puak yang sesat dan menyeleweng daripada agama Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Sekadar itu sahaja penerangan ana berkenaan dengan Puak Muktazilah untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat.

Sekali lagi diingatkan ana tidak menolak jika sepanjang penerangan ana terdapat beberapa kesalahan yang tidak ana sedari,ana meyakini ada dikalangan pembaca yang lebih arif dan pakar dalam bab ini.Oleh itu ana mengalu-alukan sebarang tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat yang arif demi meningkatkan kefahaman ana.Wallahua a’lam bertemu kembali…….

1 comment:

Mohd Al-Amin Daud Al-Azhari said...

Assalamualaikum,,

Satu penulisan yang baik..teruskan memberi penjelasan kepada pembaca akidah yg sebenar..