Friday, November 20, 2009

DESAK tuntut "KEADILAN BERMAHASISWA"

Walaupun sudah hampir sebulan berlalunya program Kutub Sittah yang telah dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM), namun kehangatan suara mahasiswa yang menuntut keadilan terhadap Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) yang cuba menggagalkan program tersebut masih kedengaran.
Alhamdulillah, baru-baru ini pihak DESAK telah berjaya mengadakan road show selama tiga hari berturut-turut mengikut beberapa zon yang telah ditetapkan bagi membuat sesi penerangan terhadap perkembangan isu Kutub Sittah. Seharusnya bagi mahasiswa-mahaisiswa di Mesir khususnya, mengambil berat terhadap isu ini. Isu ini melibatkan kebebasan hak hidup bermahasiswa di luar negara apatah lagi kita tidak terikat langsung dengan akta AUKU di Malaysia.
Perjalanan program pembacaan Hadith susunan oleh Imam al-Bukhari daripada para masysaikh al-Azhar cuba digagalkan dengan menafikan hak penggunaan mahasiswa terhadap Al-Azhar Conference Center (ACC). Tindakan jahat tersebut telah dilakukan oleh Pengarah JPMK iaitu Prof. Dr. Jamil Bin Hashim dengan tanpa ada sebarang rundingan terlebih dahulu bersama pihak penganjur. Pembatalan penggunaan ACC ini diketahui oleh pihak penganjur setelah dimaklumi oleh pegawai ACC yang betugas. Hal ini memaksa pengarah program Kutub Sittah bersama beberapa orang wakil Badan Pengurus PMRAM serta beberapa orang pelajar untuk segera bertemu dengan pegawai ACC tersebut.
Apabila ditanya kepada pegawai berkenaan apakah sebab yang menghalang pihak penganjur (PMRAM) untuk mengadakan program tersebut di situ? Beliau menjawab pihak JPMK yang menghantar surat supaya mengarahkan penggunaan ACC ini dibatalkan terhadap pihak penganjur. Pihak penganjur mendesak pegawai tersebut untuk menunjukkan surat berkenaan jika benar ia adalah arahan daripada JPMK. Ternyata surat yang ditunjukkan oleh pegawai ACC tersebut adalah daripada JPMK dengan bertandatangankan oleh Pengarah JPMK.
Sempat juga beberapa orang Badan Pengurus PMRAM meneliti isi kandungan surat tersebut. Antaranya kandungan surat menyatakan alasan kenapa penggunaan ACC itu perlu dibatalkan. Alasan jahilnya ialah, pertama pihak penganjur cuba mengadakan Majlis Konvokesyen sebagaimana yang telah diadakan pada tahun-tahun sebelum ini. Kedua PMRAM adalah sebuah persatuan pelajar yang menyerupai parti-parti pembangkang (seolah-olah PMRAM membawa agenda parti-parti pembangkang).
Saya secara peribadi ingin menjawab 2 alasan tersebut. Alasan pertama yang menyatakan bahawa PMRAM mengadakan majlis konvokesyen pelajar. Tuduhan ini cukup tidak berasas kerana PMRAM melalui mesyuarat bersama ahli lembaga penasihat telah memutuskan untuk tidak mengadakan majlis konvokesyen pada tahun ini. Walaupun mendapat desakan dan permintaan yang tinggi di kalangan ahli PMRAM supaya majlis konvokesyen ini mesti diadakan sekali lagi pada tahun ini.
Namun atas inisiatif Badan Pengurus & Ahli Jawatankuasa Tadbir Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI) PMRAM melalui permesyuaratannya telah mendapat satu idea bernas bagi menggantikan majlis konvokesyen yang tidak dapat diadakan pada tahun ini. Idea tersebut ialah Majlis Pembacaan Kutub Sittah. Idea ini diyakini oleh kepimpinan PMRAM bakal mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada keseluruhan ahli. Natijahnya program tersebut telah disertai seramai 700 orang di kalangan mahaisiswa kita di Mesir. Saya juga telah dimaklumkan oleh rakan-rakan kepimpinan PMRAM bahawa jika penyertaan untuk program ini tidak berkuota, kita bakal menerima penyertaan hampir seribu orang peserta.

Isu konvo ini sepatutnya tidak timbul walaupun pada iklan yang diedarkan dikatakan ada menyebut tentang tempahan baju konvo bagi peserta yang telah tamat pengajian B.A mereka di sini. Sepatutnya kita memahami bahawa makluman utama yang difokuskan pada iklan itu adalah program Kutub Sittah bukannya Majlis Konvo. Dalam pertimbangan kita, walaupun PMRAM mampu untuk melaksanakan 2 program mega dalam satu masa namun ia pula akan melibatkan kos perbelanjaan yang cukup besar. Alangkah baiknya PMRAM mengadakan atau mengutamakan program Kutub Sittah lebih-lebih lagi manfaatnya dimiliki oleh semua peserta berbanding dengan majlis konvo.

Baju konvo itu sekadar hendak meraikan para peserta Kutub Sittah yang sudah menamatkan pelajaran mereka disini dengan bergambar bersama para masyaikh (Tuk Guru) al-Azhar. Sijil yang disampaikan oleh para masyaikh itupun bukannya sijil tamat pengajian tetapi sijil penyertaan mengikuti program Kutub Sittah. Apalah salahnya pihak penganjur hendak mengambil inisiatif sedemikian, memberi peluang bergambar bersama para masyaikh bagi mereka yang bakal pulang ke tanah air. Itulah saat, peluang dan ketikanya untuk mereka jadikan ia sebagai satu kenangan yang cukup bersejarah dalam hidup mereka. Jika dilihat ada dua orang peserta wanita yang mengambil kesempatan membawa bayi kecil mereka untuk turut bergambar bersama para masyaikh.

Sepatutnya secara profesional Prof. terlebih dahulu menghubungi pihak penganjur atau kepimpinan PMRAM bagi memohon penjelasan pasal konvokesyen ini. Benarkah PMRAM ingin mengadakan majlis konvokesyen? Jika benar PMRAM tidak mengadakan majlis konvo mengapa tertulis pada iklan Kutub Sittah itu tempahan baju konvo? Saya nak mengajar cara profesional JPMK bermuamalah dengan pelajar. Itu tak timbul lagi isu pihak DESAK menunggu hampir sejam di luar pejabat kedutaaan kerana hendak bertemu dengan Prof. pada waktu yang telah dia tetapkan. Sengaja pula dilengahkannya dengan bantuan orang bawahan untuk menyukarkan Pihak DESAK masuk ke pejabat kedutaan.

Kalaulah pihak JPMK ini memang cukup sensitif bila disebut perkataan konvokesyen. Saya yakin dan percaya melalui perbincangan yang baik, pihak penganjur bisa mengubah perkataan baju konvo tersebut kepada istilah lain yang dirasakan sesuai.

Manakala bagi isu PMRAM terlibat dengan parti pembangkang adalah satu isu yang tidak matang dan tidak berasas untuk dibangkitkan. Kewujudan PMRAM itu mendahului kewujudan parti-parti pembangkang yang berada di Malaysia hatta UMNO sekali pun sebagai parti yang memerintah. Kalaulah JPMK menuduh PMRAM terlibat dengan Ikhwanul Muslimin, itupun satu tuduhan yang jauh menyempang dan tidak berasas. PMRAM sudah menjadi sebutan sejak dari tahun 1930 lagi pada ketika itu dinamakan sebagai Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS), jauh lebih terdahulu dari kewujudan Ikhwanul Muslimin sekitar tahun 1941.

Tapi kewujudan Nadi UMNO di Mesir tidak pula menjadi bahan bualan orang-orang di dalam JPMK. Sikap double standard yang diperlakukan pihak JPMK sejak dari dulu lagi memang menjadi kecaman daripada mahasiswa-mahasiswa al-Azhar. Seolah-olah JPMK ini menjadi salah satu komponen daripada Barisan Nasional yang membantai pelajar-pelajar dan PMRAM itu sendiri. Itu tak cerita ugutan-ugutan, kes-kes pengurusan yang tidak efisyen dan profesional.

Pihak DESAK menuntut Malaysia Students Department Cairo ( JPMK ) melunaskan 3 perkara kepada pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) ;

1. Membersihkan nama PMRAM secara rasmi di peringkat Al-Azhar.
2.Memohon maaf secara rasmi dan terbuka kepada seluruh peserta Kuttub Sittah.
3.Mengadakan dialog terbuka bersama seluruh mahasiswa di Mesir.

Isu ini perlu terus diperjuangkan oleh DESAK walaupun memakan masa bertahun-tahun selagi pihak yang mengkhianati mahasiswa itu tidak melunasi 3 tuntutan tersebut. Alhamdulillah isu Kutub Sittah ini telah bergema di Dewan Parlimen. Jika saya turutkan perasaan hati ini, mahu sahaja isu Pejabat PMRAM di ARMA itu juga dibawa ke Dewan Parlimen.

No comments: