Saturday, August 20, 2011

Menunaikan amanah dan berlaku adil. (Vol.1)

Firman Allah S.W.T :

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين النّاس أن تحكموا بالعدل إنّ الله نعمّ يعظكم به

إن الله كان سميعا بصيرا58}

Maksudnya:Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. (An-Nisaa :58)

a) Pengertian Amanah menurut bahasa (arab):

Amanah merupakan suatu kepercayaan oleh seseorang terhadap dirinya. Kebiasaan manusia memahami amanah itu adalah segala sesuatu yang diambil seseorang dengan kebenaran pemiliknya. Secara umum amanah itu meliputi segala jenis kewajipan terhadap jaminan,kebenaran,Allah (selaku Tuhan dan Pencipta),sesama manusia dan terhadap diri manusia itu sendiri. Orang yang memelihara amanah disebut di dalam bahasa arab sebagai أَمِيناً atau حَفِيظاً atau وَفيّاً (penyempurna tanggungjawab dan janji). Manakala bagi mereka yang tidak memelihara amanah disebut sebagai pengkhianat.

b) Sebab penurunan ayat :

Firman Allah S.W.T :Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya”.

Daripada Ibnu ‘Abbas telah berkata : Tatkala Rasulullah S.A.W berjaya menawan Kota Mekah, Baginda telah memanggil ‘Uthman bin Tholhah.Apabila beliau datang kepada Rasulullah lalu Rasulullah bersabda : “Berikan kepadaKu wahai ‘Uthman kunci pintu Ka’bah” (amanah yang diberikan kepada keturunan Syaibah oleh pemuka Quraisy untuk menjaga kunci Ka’bah). Maka diberikan kunci itu kepada Baginda.

Ketika Rasulullah menadah tangan untuk menerima kunci tersebut, muncullah Al-‘Abbas (tugasnya di Mekah adalah memberi minum kepada tetamu-tetamu luar yang datang ke kota tersebut) menghulurkan tangan sambil berkata : “Demi bapaku,engkau dan ibuku berikan kepadaku kunci Ka’bah itu agar dapat aku menjaganya di samping tugasku memberi minum”. Melihat keadaan itu, lalu ‘Uthman terus menepis tangan Al-‘Abbas daripada mengambil kunci itu.

Lantaran itu Rasulullah pun bersabda : “Datangkan kepadaku kunci tersebut wahai ‘Uthman!”. Lalu beliau berkata : “Ambillah oleh Mu kunci ini sebagai amanah Allah”. Maka Rasulullah pun mengambilnya lalu membuka pintu Ka’bah dan masuk ke dalam seketika.Kemudian Baginda pun keluar dari pintu Ka’bah tersebut dan terus menuanikan tawaf di sekelilingnya.

Setelah itu, turunlah Jibril menemui Rasulullah membawa wahyu sebagai reaksi kepada situasi yang berlaku sebentar tadi berkait dengan kunci tersebut. Selesai menerima wahyu lalu Rasulullah memanggil ‘Uthman bin Tholhah, lalu diberikan kepadanya kunci tersebut. Kemudian Rasulullah pun bersabda dengan membaca ayat ini :

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين النّاس أن تحكموا بالعدل إنّ الله نعمّ يعظكم به

إن الله كان سميعا بصيرا {58}

c) Penafsiran ayat (An-Nisaa ayat ke 58) :

Ayat ini diturunkan secara khusus dan tidak secara umum kerana ia berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku menerusi sebab penurunan ayat (asbabu an-nuzul). Namun menjadi kebiasaan bagi mana-mana ayat Al-Quran untuk dijadikan sebagai pengajaran umum walupun ia diturunkan secara khusus dengan peristiwa-peristiwa tertentu. Maka dengan sebab itu ayat ini berupa perintah umum bagi sekalian orang Islam terhadap kewajipan menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya. Kewajipan tersebut meliputi keseleruhan amanah yang terpundak di bawah jagaan,jaminan dan kepercayaan manusia terhadapnya. Samada amanah yang ditunaikan itu sebagai kewajipan terhadap dirinya atau mterhadap manusia ataupun terhadap Tuhannya.

Adapun amanah yang mesti ditunaikan oleh seseorang muslim itu terhadap Allah adalah dengan menuruti segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya serta memanfaatkan segala anggota dan pancainderanya bagi mendekatkan diri kepada Allah. Abu Na’im menyebutkan tentang sifat amanah menerusi hadith daripada Ibnu Mas’ud bahawa Nabi S.A.W telah bersabda :

القتل في سبيل الله يكفِّر الذنوب كلها

Maksudnya : “(Melaksanakan amanah) Berperang di jalan Allah akan dihapuskan segala dosa”.

Rasulullah S.A.W juga bersabda :

كل شيء إلّا الأمانة ...

Maksudnya : “Setiap sesuatu itu melainkan padanya amanah”.

Berdasarkan daripada hadith di atas beliau menghuraikan tentang kewajipan beramanah itu dalam mengerjakan sembahyang,puasa, dan ketika berbicara.

Sekumpulan para sahabat yang terdiri daripada Ibnu Mas’ud, Al-Baraa,Ibnu ‘Abbas dan Ubai bin Ka’ab menghuraikan tentang kewajipan-kewajipan manusia itu terhadap Allah yang mesti dilaksanakannya dengan amanah.

الأمانة في كل شيء في الوضوء والصلاة والزكاة والجنابة والصوم والكيل والوزن والودائع

Maksudnya : Amanah itu pada setiap perkara, ketika berwudhu,mengerjakan sembahyang,menunaikan zakat,mandi junub,berpuasa,amanah pada ukuran dan timbangan serta barang-barang yang dipertaruhkan kepadanya untuk dijaga.

Berkata Ibnu ‘Abbas :

لم يرخص الله لمعسر ولا موسر أن يمسك ألأمانة

Maksudnya : Allah S.W.T tidak akan menurunkan nilai ganjaran terhadap tuntutan-Nya yang sukar dan mudah yang di sertakan padanya amanah(dalam mengerjakan tuntutan antara kedua tersebut).

Selain daripada melaksnakan kewajipan kita terhadap Allah,kewajipan terhadap diri sendiri juga merupakan amanah yang perlu diutamakan. Doktor Wahbah Az-Zuhaily mendefinasikan kewajipan terhadap diri itu adalah dengan melakukan sesuatu perkara yang memberi manfaat kepada agama,dunia dan akhirat. Tidak sekali-kali manusia itu melakukan perbuatan yang akan memudaratkan dirinya di dunia mahupun di akhirat kelak. Bersifat amanah terhadap diri dengan memeliharanya daripada sebarang factor yang membawa kepada penyakit serta mematuhi kaedah-kaedah penjagaan kesihatan diri.

Tuntutan ini bertepatan dengan sabda Baginda S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Imam Bukahri,Imam Muslim,Imam Abu Daud dan Imam Tirmizi daripada Imbu ‘Umar :

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته

Maksudnya : Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin dan setiap di kalangan kamu akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang dipimpinnya”.

Pada hadith yang lain Rasulullah juga turut bersabda :

إن لنفسك عليك حقا

Maksudnya : “Sesungguhnya bagi dirimu sendiri kewajipan melaksanakan tuntutan (diri)”.

Kewajipan yang terakhir juga menjadi suatu amanah yang perlu ditunaikan. Kewajipan tersebut adalah melunasi tuntutan sesama manusia seperti mengembalikan barang kepercayaan yang telah diamanahkan kepadanya dengan timbangan dan kadar yang asal tanpa di khianati. Tidak melakukan sebarang penipuan dalam urusan berjual beli mahupun selain daripada itu,berjihad demi melindungi negara dan rakyatnya,saling menasihati antara satu sama lain, dan tidak menyebarkan rahsia dan keaiban sesama manusia (tidak termasuk dalam hal yang berkait dengan kezaliman manusia terhadap manusia yang lain).

Di samping itu bersifat amanah dalam melaksanakan urusan pemerintahan juga sebagai salah satu tuntutan yang perlu diberi perhatian. Tugas memerintah ini tidak akan diberikan kepada seseorang itu melainkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya. Pemimpin yang dipilih seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah pemerintahan itu sebagai satu amanah untuk diterajuinya supaya mencapai ke tahap yang paling cemerlang.

Justeru itu pemimpin harus memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan proses kepimpinannya. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin dengan amanah tersebut adalah asas penting. Pemimpin yang jujur akan mengorbankan tenaganya untuk memperbaiki prestasi kepimpinannya secara berterusan.

Kegagalan sesebuah pemerintahan berprestasi dengan cemerlang, kebanyakan disebabkan oleh pemimpin yang tidak jujur, yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyatnya. Sikap negatif yang demikian banyak menimbulkan gejala kepada prestasi kepimpinan.Masyarakat tidak boleh berkompromi pemimpin yang bermasalah. Bahkan usaha mempertahankan pemimpin yang tidak beramanah adalah kesilapan yang besar menurut Islam.Di dalam surah Al-Mukminun Allah menggariskan beberapa sifat yang mencerminkan keperibadian bagi seseorang yang beriman kepada Allah di antaranya ialah :

والذين هم لأماناتهم وعهدهم راعون

Maksudnya : Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya”.

Firman Allah lagi di dalam surah Al-Anfal ayat ke 27 :

يأيها الذين ءامنوا لا تخونوا الله والرسول وتخونوا أماناتكم

Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui”.

Rasulullah S.A.W bersabda menerusi apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Hibban daripada Anas :

لا إيمان لمن لا أمانة له ولا دين لمن لا عهد له

Maksudnya : “Tiada iman bagi sesiapa yang tiada amanah terhadap imannya dan tiada agama bagi sesiapa yang tiada ikatan terhadap agamanya”.

Sabda Rasulullah S.A.W lagi berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Tirmizi dan Imam Nasai daripada Abu Hurairah :

آية المنافق ثلاث : إذا حدث كذب , وإذا وعد أخلف , وإذا اؤتمن خان

Maksudnya : “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga : Apabila ia berbicara ia dusta, apabila ia berjanji ia mungkiri dan apabila ia diberi amanah ia khianat”.

Secara kesimpulannya menunaikan amanah itu adalah wajib,lebih-lebih lagi ketika amanah itu dituntut oleh tuannya. Maka barangsiapa yang tidak menyempurnakan amanah di dunia, nescaya akan dituntut amanah itu di akhirat kelak.

No comments: