Saturday, May 12, 2007

Pembahagian Air Menurut Hukum Fiqh (sambungan)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Insyaallah pada minggu ini ana akan menyambung kembali penerangan mengenai pembahagian air menurut hukum fiqh.Pada penerangan beberapa minggu yang lepas ana telah menerangkan 2 bahagian daripada empat bahagian air.Bagi pembahagian air yang seterusnya iaitu yang ketiga dan keempat masing-masing dibahagikan ulama’ fiqh kepada dua perbincangan.

c)air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan

Dibahagikan kepada dua bahagian;

Pertama:Air yang sedikit yang telah digunakan pada penyucian yang wajib seperti mandi junub dan berwudhu’.Hukumnya air tersebut tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas,tidak boleh juga digunakan untuk menghilangkan kotoran dan tidak boleh digunakan untuk penyucian yang sunat.Dinamakan air tersebut sebagai air musta’mal

Dalil yang menunjukkan air musta’mal itu suci berdasarkan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (191) dan Muslim (1616)

عن جابر بن عبد الله – رضى الله عنهما – قال:جاء رسول الله صلى الله عليه وسلم يعودني و أنا مريض لا أعقل فتوضأ وصب من وضوئه علىّ (ومعنى لا يعقل أي أنه كان في حالة غيبوبة من شدة المريض ومعنى من وضوئه أي الماء الذي توضأ به.ولو كان غير طاهر لم يصب عليه)

Daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhuma telah berkata bahawa telah datang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menziarahiku.Ketika itu aku dalam keadaan sakit dan tidak sedarkan diri.Lalu Baginda berwudhu’ dan mencurahkan air wudhu’nya ke atasku.(makna tidak sedarkan diri dalam hadith tersebut bermaksud pengsan kerana kesakitan yang teramat sangat dan maksud daripada wudhu’nya ialah air yang telah digunakannya (air musta’mal).Dan sekiranya air tersebut tidak suci semestinya Rasulullah tidak mencurahkan air wudhu’nya ke atas Jabir)

Kedua:Air mutlak yang telah bercampur dengan sesuatu yang suci dan tidak boleh untuk memisahkannya (air mutlak bersama bahan suci yang dicampur) setelah ia bercampur seperti air teh,milo,kopi dan sebagainya.Maka air tersebut adalah suci namun tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana ia bukan lagi air mutlak.

d)Air yang bernajis (mutanajjis)

Ia bermaksud air yang terkandung di dalamnya benda yang bernajis.Juga terbahagi kepada dua bahagian;

Pertama:Air yang kurang daripada dua kolah.Air tersebut menjadi najis apabila terkandung di dalamnya najis walaupun najis itu sedikit dan tidak menjejaskan zat air(bau,rasa dan warna air) namun ia tetap bernajis.

Ukuran dua kolah itu dikira sebagai 500 kati Baghdadi air atau bersamaan 192.857 kilogram air atau menyamai 1 ¼ hasta empat persegi panjang,lebar dan tinggi atau sebagaimana yang dikatakan oleh Sheikh Sayyid Syaltut dalam kuliah fiqh Matan Abi Syujja’ yang pernah ana ikuti ia juga bersamaan dengan 195 liter air.

Syarat dua kolah yang diwajibkan berdasarkan daripada hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam;

عن عبد الله بن عمر – رضي الله عنهما قال:سمعت رسول الله عليه وسلم وهو يسأل عن الماء يكون في الفلاة وهي الصحراء عن الأرض وما ينوبه من السباع والدواب -فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم:(إذا كان الماء قلّتين لم يحمل الخبث وفي لفظ لم ينجس)

Maksudnya:Daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma telah berkata aku telah mendengar Rasulullah Sallallhu ‘alaihi Wasallam ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir dan didatangi kawasan tersebut oleh binatang buas dan haiwan melata.Lalu baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam menjawab apabila air itu mengandungi dua kolah maka tidak membawa kepada kekotoran adapun menurut lafaz hadith di sisi Abu Daud maka air itu tidak menjadi najis.

Mafhum hadith menyatakan sekiranya air yang suci itu kurang daripada dua kolah apabila dimasuki najis maka ia akan menjadi najis sekalipun tidak merubah zat air tersebut.

Kenyataan yang menunjukkan najis yang tidak langsung membawa perubahan zat air, apabila masuk ke dalam air yang kuarang daripada dua kolah dikatakan tetap menjadi najis.Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim(278) daripada Abu Hurairah;

عن أبي هريرة رصي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:(إذا استيقظ أحدكم من نومه فلا يغمس يده في الإناء حتى يغسلها ثلاثا فإنه لا يدري أين باتت يده)

Maksudnya:Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda:Apabila salah seorang daripada kamu telah bangun dari tidurnya,maka janganlah dia menyelamkan atau menyelup tangannya sehingga ia basuh tangannya terlebih dahulu sebanyak tiga kali.Sesungguhnya dia tidak mengetahui dimana tangannya diletakkan ketika ia tidur.

Relevanya hadith ini menunjukkan bahawa jika sekiranya tangan seseorang itu menyentuh kemaluannya ketika ia tidur,maka tanpa disedari tangannya telah bernajis atau kotor.Apabila kita melihat bahawa kotoran atau najis yang terdapat pada tangannya itu tidak dapat dilihat secara zahir walaupun tanganya itu dimasukkan ke dalam sesuatu bekas air.Jelas ia tidak menujukkan apa-apa kesan terhadap zat air.

Sudah kita maklumi bahawa najis yang tidak kelihatan tidak akan merubah keadaan air.Oleh itu sekiranya tindakan itu tidak menajiskan air,nescaya Rasulullah tidak menghalang daripada berbuat demikian.

Kedua:Air mutlak yang berisi padu sebanyak dua kolah atau lebih tidak akan menjadi najis dengan hanya terjatuh atau tersentuh najis keatasnya namun air tersebut akan menjadi najis apabila berubah sahaja salah satu dari pada zat airnya(iatu berubah rasa,bau dan warnanya).

Alhamdulillah telah selesai penerangan ana berkenaan dengan pembahagian air.Insyaallah jika diizinkan Nya ana akan menerangkan kepada sahabat-sahabat sekalian berkenaan dengan perbuatan beristinja’ dan adab-adabnya.

Sekali lagi diingatkan ana tidak menolak jika sepanjang penerangan ana terdapat beberapa kesalahan dari sudut penerangan,ana meyakini ada dikalangan pembaca yang lebih arif dan pakar dalam bab ini.oleh itu ana mengalu-alukan sebarang tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat yang arif demi meningkatkan kefahaman ana.Wallahua a’lam bertemu kembali………….

No comments: