Friday, October 17, 2008

Sejauh manakah nilai keimanan itu....

Alhamdulillah segala puji bagi Tuhan semesta alam di atas ketentuannya,menentukan kita untuk masih berada di landasan yang diredhai Nya.Marilah kita sama-sama bersungguh-sungguh mengharap dan bermohon kepada Allah supaya kita sentiasa mendapat petunjuk daripada Nya dalam apa jua tindak tanduk kita dalam menyelusuri ranjau kehidupan yang penuh dengan mehnah & tribulasi.

Ambillah kesempatan yang masih diberikan kepada kita sebelum tibanya hari kiamat untuk bermohon ampun kepada Allah di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan.Dosa-dosa yang kita sedari mahupun tidak kita sedari.Sebanyak mana pun dosa kita,selautan duniapun,seluas liputan langit bumipun, selagi hati kita masih mengakui bahawa "Tiada Tuhan yang seAgungnya layak disembah melainkan Allah",maka sebenarnya kita masih berpeluang untuk diterima taubat.

Marilah sama-sama kita mengambil faedah daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (S.A.W)dalam haditnya yang mulia:

Daripada Abu Musa Abdullah Bin Qais al-Asya'ari Radhiallahu 'Anhu,Daripada Nabi S.A.W sabdanya: "Sesungguhnya Allah melebarkan tangan Nya (kerahmatan Nya) diwaktu malam,untuk menerima taubat oarang yang melakukan kesalahan pada diwaktu siang, dan melebarkan tangan Nya diwaktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan kesalahan pada waktu malam. Demikian terus menerus sampai terbitnya matahari dari arah barat (disaat hampir tibanya hari kiamat), kerana setelah ini terjadi,tidak akan diterima taubat seseorang". Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah.

Bergitulah kehidupan kita sebagai seorang manusia biasa yang memiliki nafsu lauwamah.Iman yang sentiasa turun dan naik.Namun pernahkah kita teringin untuk menikmati nikmat keimanan dan ketakwaan sebagaimana yang dinikmati oleh para sahabat,tabi',tabi' tabi'ien serta para ulama' n para syuhada' yang mati kerana mendaulatkan agama Alllah Subhanahu Wa Ta'ala (S.W.T).Adakah nilai keimanan dan ketakwaan kita pada hari ini mampu untuk dijadikan sandaran dan pertahanan yang kukuh untuk menghadapi dugaan hidup yang semakin mencabar ini.

Kita tidak pernah diuji sebagaimana ujian yang diterima oleh umat terdahulu,bagaimana kesungguhan mereka untuk memperthankan keimanan kepada Allah semata-mata ingin memastikan zuriat mereka yang akan datang turut berpegang kepada akidah yang sama. Namun salah bagi kita sebagai orang yang mewarisi zuriat mereka ,turut menganggap iman itu juga sebagai warisan. Iman dimiliki melalui petunjuk daripada Allah S.W.T.Namun ia perlu diperkukuh dengan ilmu supaya ia mampu memberikan kefahaman yang jelas terutama dalam persoalan kenapa ia memilih Islam sebagai cara hidup.

Kita tahu bahawa hanya Islam agama yang diredhai oleh Allah dan kematian yang diredhai oleh Allah ke atas seseorang apabila ia mati sebagai orang Islam yang mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhannya,sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat ke 132:

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam memeluk agama Islam".Benarlah firman Allah yang Maha Agung.

Dalam kitab tafsir "al-Jalalain" Imam as-Suyuthi menafsirkan ayat di atas,bahawa sebagaimana Nabi Ibrahim 'Alaihi as-Salam mewasiatkan kepada anak-anaknya begitu jualah apa yang diwasiatkan Nabi Ya'qub kepada anaknya.Wasiat itu ialah sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah di atas.Imam as-Suyuthi menjelaskan lagi bahawa maksud agama yang telah dipilih oleh Allah ke atas keturunan Nabi Ibrahim adalah Agama Islam.Ditafsirkan ayat berikutnya (Janganlah kamu mati melainkan...) itu sebagai larangan keras kepada anak-anak mereka supaya tidak meninggalkan Islam dan memerintahkan supaya sentiasa tetap kukuh dan komited terhadap Islam sebagai cara hidup sehinggalah kita bertemu dengan kematian.

Muhasabahlah kembali sejauh manakah nilai keimanan kita terhadap Allah S.W.T.Adakah Islam yang kita genggam pada hari ini atas dasar kefahaman atau atas dasar warisan.Akan celakalah kehidupan mereka disaat keimanan mereka ketika itu diuji dengan keadaan iman yang rapuh dan iman yang diambil atas dasar warisan datuk nenek moyang mereka semata-mata.








No comments: