Friday, July 17, 2009

Rumah Muslim itu tiada percampuran tidak syar'ie. (Vol. 1)

Tuk....Tuk....Tuk....Tuk....Tuk.....Assalamualaikum. ( Bunyi pintu rumah diketuk oleh seseorang sambil lafaz salam mengiringi ke atas tuan rumah)

Setelah dua kali pintu diketuk beserta salam, lalu si tuan rumah membuka pintunya sambil menjawab salam yang diberikan kepadanya.

Tuan Rumah (Din) : Waalaikum Salam. OOOO kau Emii. Baru jer aku ngan zaujah sebut pasal kau, sebab lame kau tak datang rumah aku.

Emii : Yer ke. Sorry la Din. Aku semenjak dua menjak ni sibuk skit kat JB tu. Kuliah aku sentiasa penuh, tu tak termasuk program pemuda yang banyak kene susun ni. Kebetulan aku balik ke Endau ni bercuti. Tu yang aku datang singgah ke rumah kau ni, sebab rase lame sangat aku tak jenguk ko.

Din : Oooo kau bercuti. Yerlah orang duduk di bandar. Ehh ko datang sorang je ke? Mane zaujah ko?

Emii : Ehh tak lah aku datang ngan zaujah aku, dia ade dalam kerete.

Din : Laaa ko ni pun satu, biarkan zaujah duk dalam kerete, kan panas ni. Ajaklah dia
masuk skali. Kau tunggu jap ye aku bagitau zaujah aku.

( Lalu Din mendapatkan isterinya di dapur untuk memaklumkan bahawa Emii sahabat karibnya bersama isteri datang untuk menziarahi mereka sekeluarga)

Din : Zie, kite baru jer sebut nama Emii tadi mase makan tengahari. Tu haaa kat luar, dia datang ngan zaujah dia. Katenye dia bercuti, datang nak ziarah kite berdua. Jom kite gi sambut dia ngan zaujah.

Isteri Din : Oooo ye ker. Baik, tunggu jap, zie nak bertudung dulu. Bang pegi la ajak Emii
ngan zaujah dia masuk dulu, nanti zie datang kemudian.

(Din mengangguk tanda mengiyakan kalam isterinya sambil bergegas menuju ke pintu hadapan untuk menjemput masuk rakan karibnya itu bersama isteri).

Din : Emii, kesian ko tunggu lame kat luar. Jemputlah masuk, ajak isteri kau masuk
skali. Anak kau si Azmi ngan Nadia tu mane? Tak bawak diorang skali ke?

Emii : Time kasih Din. Sori la menyusahkan kau jer waktu petang-petang ni, Oooh, anak aku tu, dua-dua sibuk nak ikut atuk dia gi kebun amik durian katenye. Maklumlah sebulan skali balik ke kampung. Im! Jom kite masuk.

( Sambil menjawab pertanyaan Din tentang anak-anaknya, Emii dan zaujahnya terus menuju ke ruang tamu untuk duduk di sofa empuk di ruang tamu rumah si Din).

Din : Ko cuti bape lame?

Emii : Aku cuti dalam 3 hari jer, pagi luse aku baliklah JB smule. Aku sampai dalam kul 8.30 pagi tadi. Bertolak dari JB lepas subuh tadi. Haa! pe macam program pemuda kawasan ko?

Din : Errmmm. Aku pun lebih kurang macam ko juge. Baru-baru ni, baru lepas habis mesyuarat pemuda PAS kawasan. Aku diminta rangka beberapa program khas untuk tarbiyah pemuda kawasan. Ehh,Ustazah Fatimah pun bercuti ke? Tak mengajar ke?

Isteri Emii : Ermmm, ana terpaksa bercuti ikut si abangnya (Emii) bercuti. Lagipun rase rindu
plak kat kampung.

(Sedang rancak Din, Emii dan isterinya berbual lalu datanglah isteri Din sambil salam mengiringi menuju ke tetamu istimewa mereka).

Isteri Din : Pe kaba Ustaz Suhaimi ngan zah Fatimah? Sehat ke? Lama tak datang rumah,
sibuk sangat ke?

Isteri Emii : Alhamdulillah, sehat-sehat je kak zie. Tak lah sibuk mane. Sibuk-sibuk ngan keje
mengajar je kat sekolah tu. Ustaz Suhaimi je yang agak sibuk skit kebelakangan ni.

Isteri Din : Oooo macam tu. Mana Azmi ngan Nadia, diorang tak ikut skali ke?

Isteri Emii : Tak lah kak Zie, diorang tak ikut skali sebab ikut atuk dia gi kebun amik durian. Anak kak Zie si Hanzalah tu mane plak?

Isteri Din : Ye ke, patutlah tak nampak diorang. Ermm..... anak Kak Zie dia gi main hoki kat sekolah. Baru jer dia keluar lepas solat asar tadi. Jom zah Fatimah kita berbual di meja dapur.
Dah agak lama kita tak berpeluang untuk berbual ni.

Isteri Emii : Yer lah dah lama kita tak jumpa ni. Jom.


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Itu adalah sedikit sedutan perbualan yang cuba saya lakonkan kepada sahabat-sahabat sekalian. Apa yang ingin saya tonjolkan daripada perbualan itu adalah satu suasana yang harmoni menepati syara' tanpa sedikit pun ada unsur-unsur ke arah berlakunya satu percampuran lelaki dan perempuan secara tidak syar'ie, iaitu dilarang dalam Islam. Percampuran ini di dalam bahasa arab disebut sebagai Ikhtilat ( إختلاط ).

Adapun Ikhtilat ini terbahagi kepada dua, yang pertama disebut sebagai Ikhtilat Syar'ie
( إختلاط الشرعى ) iaitu percampuran yang dibenarkan di dalam Islam. Contohnya himpunan lelaki dan perempuan dalam satu majlis ilmu atau di dalam dewan kuliah universiti. Namun kedudukan mereka berasingan, lelaki di sebelah kanan dan perempuan di sebelah kiri, ataupun kedudukan lelaki di hadapan manakala kedudukan perempuan pula di sebelah belakang. Suasana ini jika dilihat, ia bersifat harmoni dan tidak berisiko tinggi berlakunya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Ikhtilat yang kedua disebut sebagai ikhtilat yang tidak syar'ie ( إجتلاط غير الشرعي ) iatu satu percampuran yang tidak dibenarkan di dalam Islam. Contohnya disatu-satu majlis atau tempat yang mana terhimpunnya lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, serta berlakunya pergaulan bebas, bertepuk tampar, bergelak ketawa yang melampau sehingga ia tidak dilihat satu suasana yang harmoni. Tempat-tempat seperti ini menjadi himpunan juga bagi iblis dan syaitan untuk menggalak dan menggoda manusia untuk melakukan kemaksiatan. Firman Allah Subhanahu Wa Taala ( S.W.T ) dalam surah al-Baqarah ayat ke 169:

إنّما يأمركم بالسّوء والفحشاء وأن تقولوا على الله ما لا تعلمون

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Sebagai sebuah rumah muslim, maka tidak berlakulah percampuran yang haram dalam hal-hal penziarahan. Dengan maksud tidak berlaku bersekedudukan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Tidak menjadi satu kesalahan di sisi syara' jika hal penziarahan ini berlaku menepati kaedahnya. Contohnya seperti keadaan yang ditunjukkan melalui perbualan di atas. Ia jelas menunjukkan satu keadaan yang disenangi dan harmoni samada dari pihak tuan rumah mahupun tetamu yang bertandang.

Oleh yang demikian itu secara kaedah yang diajar oleh Islam, apabila seseorang itu ingin menziarahi saudaranya, maka perlulah dimaklumkan terlebih dahulu kepada tuan rumah jika kehadirannya itu bersama isteri atau ahli keluarga ataupun sebaliknya. Jika sekiranya tuan rumah dimaklumi bahawa kehadiran saudaranya itu bersama isteri, maka perlulah bagi tuan rumah itu memaklumkan kepada isterinya supaya ia juga turut serta menyambut isteri kepada tetamu suaminya. Kemudian dibawa isteri tetamu itu oleh isteri tuan rumah ke tempat lain samada di bilik tamu atau ke tempat yang agak berasingan sedikit daripada tempat perbualan suami mereka.

Sahabat-sahabat boleh lihat contoh sebagaimana adegan yang ditunjukkan dalam filem Ali Baba yang dilakonkan oleh S.Samsudin dan Ajis Satar. Ketika mana Kasim Baba menjemput Ali Baba bersama isterinya bertandang ke rumah. Lihatlah kedudukan Kasim Baba dan Ali Baba yang berasingan dengan kedudukan isteri-isteri mereka.

Ok...Selesai masalah tu. Kemudian apabila tetamu itu telah selesai penziarahan mereka dan menyatakan hasrat ingin beredar dan pulang. Maka ketika itu si tuan rumah hendaklah memaklumkan kepada isterinya bahawa tetamu ingin beredar dan pulang. Setelah itu dibawalah keluar bersama isteri tetamu tadi dari bilik tamu.

Demikianlah tidak berlakunya di sana percampuran antara lelaki dan perempuan dalam hal-hal penziarahan. Inilah dia keindahan Islam. Namun begitu, masih ramai lagi kita lihat, orang Islam pada hari ini yang membiarkan rumahnya terdedah kepada percampuran yang tidak syar'ie. Budaya barat sudah mula melazimi kehidupan mereka. Ada sebahagian wanita islam pada hari ini mengizinkan lelaki asing masuk ke dalam rumahnya sesuka hati, sehingga berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti rogol dan zina.

Beberapa peringatan daripada Allah S.W.T kepada kita supaya berhati-hati agar tidak terjerumaus ke lembah kemaksiatan dan kemungkaran. Insyaallah dikesempatan yang ada dilain waktu akan asaya sempurnakan tajuk ini pada siri penerangan kali ke dua. Doakan agar saya diberi kelapangan.










No comments: