Friday, July 17, 2009

Rumah Muslim itu tiada percampuran tidak syar'ie. (Vol. 2)

Allah Subhanahu Wa Taala (S.W.T) berfirman dalam surah an-Nur ayat ke 30 dan 31 sebagai satu wasiat atau peringatan kepada kaum lelaki dan perempuan yang beriman.

قل للمؤمنين يغضّوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم ذلك أزكى لهم إنّ الله خبير بما يصنعون

Maksudnya: Katakanlah kepada kaum lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannnya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهنّ ويحفظن فروجهنّ

Maksudnya: Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.

Jika kita meneliti dengan sebaiknya terhadap ajaran Islam, kita akan dapati Islam dari awal lagi telah menutup segala pintu-pintu yang boleh membawa kepada fitnah terhadap penganutnya. Kebiasaannya permulaan kepada pintu-pintu fitnah itu adalah bermula dari pandangan mata seseorang. Demikianlah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda :

لا تتبع النّظرة النّظرة فإنّ لك الأولى وليست لك الآخرة ...أو كما قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم

Maksudnya : "Jangan dituruti pandangan itu demi pandangan. Maka sesungguhnya bagi kamu itu adalah pandangan yang pertama dan tidak pada pandangan berikutnya".

Hadith di atas diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi pada hadith yang ke 2777 pada fasal "Adab", bab pada menyatakan hal pandangan secara tidak langsung ( ما جاء في نظرة المفاخأة ). Boleh didapati hadith tersebut dalam kitab Sunan at-Tirmizi cetakan Darul Kutub al-Ilmiah Beirut.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Disebabkan itulah dalam hal ziarah menziarahi ini juga Islam menggariskan panduan yang terbaik supaya perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku. Contohnya perbuatan zina atau sumbang mahram, pergaulan bebas serta perkara-perkara yang boleh membawa kepada fitnah terhadap seseorang individu itu. Ini dikaitkan pula Islam itu memelihara maruah insani.

Demikian juga peringatan yang diberikan Nabi kita kepada Saidina Ali Karamallahu Wajhahu tatkala Baginda ditanya berkenaan dengan pandangan secara tidak langsung atau tidak disengajakan. Rasulullah S.A.W bersabda :

اصرف بصرك

Maksudnya : Abaikanlah / Palingkanlah pandanganmu!

Hadith di atas diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dalam kitab sunannya pada hadith yang ke 2148. Dirujuk pada fasal "Pernikahan", bab "Apa yang diperintahkah dengannya menundukkan pandangan" ( ما يؤمر به من غضّ البصر ). Sahabat-sahabat boleh temui hadith ini dalam kitab Sunan Abi Daud cetakan Daaru Ahyaa at-Turaasi.

Bagi kaum lelaki beberapa peringatan telah diberikan supaya berhati-hati dengan wanita. Wanita adalah perhiasan dunia dan kita bagi kaum lelaki perlu mengakui bahawa seindah perhiasan itu adalah wanita solehah. Satu kebahagian dan kemuliaan bagi seorang lelaki jika dunia ini di hiasi oleh wanita-wanita solehah. Lihatlah bagaimana kebahagian dan kemuliaan yang dimiliki oleh Nabi apabila hadir Siti Khadijah Radhiallahu 'Anha dalam hidup Baginda.

Berpasakkan keimanan yang mendalam serta akhlak yang terpuji menjadikan Siti Khadijah ini sebagai Serikandi yang sungguh berjasa terhadap suaminya dan perjuangan Islam itu sendiri. Lihatlah bagaimana pula Isteri kepada Yasir bernama Sumayyah, yang mana kekuatan ruh Islamnya menjadikan ia tidak gentar dan tidak takut dengan ugutan serta ujian yang dikenakan oleh orang musyrik supaya ia murtad dari agama Islam. Tragedi hitam yang berlaku terhadap Sumayyah ini menjadi sanjungan umat Islam ketika itu dan sehinggalah hari ini.

Namun begitu, jika perhiasan dunia ini tidak dipelihara dan dibiarkan suasana jahilyah membentuknya, maka satu kecelakaanlah bagi seisi dunia khususnya bagi kaum lelaki. Fitnah yang besar mampu menggugat kemuliaan seorang lelaki itu antaranya ialah fitnah wanita. Allah S.W.T juga menjadikan wanita ini sebagai ujian kepada lelaki bagi melihat kemampunnya dalam meletakkan kurniaan itu di atas kehendak dan keredaan Allah. Antaranya disebutkan di dalam ayat-ayat suci al-Quran dalam surah Ali Imran ayat yang ke 14 :

زيّن للنّاس حبّ الشهوات من النّساء والبنين والقناطير المقنطرة من الذهب والفضّة والخيل من الصسوّمة والأنعام والحرث ذلك متاع الحيوة الدنيا والله عنده حسن المئاب

Maksudnya : "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaaan terhadap apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik"

Perkataan " زيّن " pada ayat di atas membawa maksud dihiasi atau dijadikan indah. Persoalannya siapakah yang menghiasi dunia tersebut? Ada pendapat mengatakan perbuatan tersebut ialah syaitan. Namun Imam an-Nasafi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Jumhur Ulama menganggap perbuatan menghiasi dunia itu ialah Allah. Ini kerana ia bertujuan untuk menguji hamba-hamba Nya sebagaimana yang mereka sandarkan pada surah al-Kahfi ayat yang ke 7 :

إنّا جعلنا ما على الأرض زينة لّها لنبلوهم

Maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya".


Sahabat-sahabat ku sekalian.

Bila bicara soal fitnah wanita ini Rasulullah pernah bersabda:

ما تركت بعدي فتنة أضرّ على الرجال من النساء

Maksudnya : "Tidak Aku tinggalkan selepas pemergian Ku ini satu fitnah yang lebih memudaratkan ke atas seorang lelaki melainkan terhadap wanita-wanita". (atau sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda S.A.W).

Hadith di atas diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari pada hadith yang ke 5096 pada fasa (Pernikahan), bab ( Perkara-perkara yang ditakuti daripada kesialan wanita). Hadith tersebut boleh didapati pada kitab Fathul Bari Bi Syarhi Sohihil Bukhari jilid ke 9 cetakan Daru at-Takwa. Ini satu peringatan yang perlu diambil berat oleh semua pihak bukan sahaja kaum lelaki malahan kepada kaum wanita.

Jelas kepada kita beberapa suasana yang mula menular di kalangan umat Islam pada hari ini tanpa segan silu melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Contohnya seorang lelaki muslim yang tinggal bersendirian membenarkan wanita bukan muhrim masuk ke rumahnya sesuka hati. Kadang-kadang sengaja dibawa balik ke rumah untuk tidur dan sebagainya, sedangkan itu adalah perkara yang diharamkan di sisi Islam.

Sebagai sebuah rumah muslim sepatutnya perkara-perkara seperti ini tidak berlaku. Jika berlaku ia boleh membawa fitnah kepada si penghuninya. Adakah kita terlalu yakin dengan iman kita dalam keadaan berdua-duan sedemikian, manakala di tengah-tengahnya ialah iblis yang berusaha mengajak ke arah kemaksiatan dan kemungkaran.

Percampuran yang tidak syar'ie atau pergaulan bebas sebenarnya membuka ruang kepada syaitan untuk membuat fitnah terhadap manusia. Syaitan yang cuba mengelirukan pandangan manusia itu dengan keindahan dan kenikmatan pada perkara-perkara yang haram, dan sedaya mampu yang mungkin membuka pintu-pintu maksiat.

Ditekankan juga dalam hal ziarah menziarahi ini masalah bersalaman atau berjabat tangan dalam bahasa arabnya ialah musofahah. Bagi lelaki, selain daripada ibu, datuk perempuan, adik-beradik perempuan, isteri, dan adik-beradik perempuan (emak saudara) di sebelah ayah dan ibunya adalah haram untuk ia berjabat tangan. Bergitu juga hal keadaannya bagi seorang wanita itu, selain daripada ayahnya, datuk lelaki, adik-beradik lelaki, suami, dan adik beradik lelaki di sebelah ayah dan ibunya adalah haram untuk ia berjabat tangan. Beberapa masalah yang sering kita lihat ialah apabila si adik ipar yang perempuan bersalaman dengan abang iparnya sedangkan perbuatan itu adalah haram sekalipun ia beralasankan sekadar menghormati abang iparnya. Banyak lagi masalah-masalah yang kurang di fahami oleh sebahagian daripada umat Islam kita pada hari ini. Keadaan ini selalunya berlaku dalam hal pengziarahan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Islam memandang berat atas masalah berjabat tangan ini. Dalam masalah wudhu yang digariskan oleh Imam asy-Syafie pun jika tersentuh seorang lelaki itu dengan wanita yang bukan muhrimnya tanpa berlapik sudah batal apatah lagi perkara yang disengajakan dalam hal berjabat tangan. Pasti hukumnya lebih besar. Lihat pengakuan yang dibuat oleh Aisyah Radhaiallahu 'Anha selaku isteri Rasulullah bahawasanya dia telah berkata :

وما مسّت يد رسول الله صلّى الله عليه وسلّم يد امرأة إلا امرأة يملكها

Maksudnya : "Dan tidak sekali-kali tangan Rasulullah S.A.W bersentuhan dengan tangan wanita melainkan perempuan yang Baginda miliki akan perempuan itu".

Telah diriwayatkan juga dalam kitab at-Targhib Wa at-Tarhib bagi Imam al-Hafiz al-Munziri, bahawa Rasulullah telah bersabda :

لأن يطعن فى رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له .....أو كما قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم

Maksudnya : "Nescaya akan ditusuk di kepala salah seorang daripada kamu (Akhirat) dengan jahitan daripada besi, selayak baginya terhadap sesiapa yang menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya". (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam at-Thobrani)

Bagi seorang isteri dilarang membenarkan orang yang halal dinikahinya untuk masuk ke dalam rumah tanpa keizinan dan ketiadaan suaminya. Sebaik-baiknya inilah antara perkara yang perlu dijaga oleh seorang muslim itu terhadap kediamannya. Hal ini bagi mencerminkan nilai-nilai dan contoh yang terpuji terhadap sesebuah rumah muslim itu sendiri.

No comments: