Monday, June 18, 2007

Perbandingan Allah Antara Peperangan Badar & Uhud (siri kedua)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…..

Jangan bicara soal ketaatan

Jika diri sering dibelenggu dosa

Jangan bicara soal perjuangan

Jika dirimu sering terleka

Salam perjuangan ana lafazkan kepada sahabat-sahabat yang senantiasa komited dalam perjuangan,samaada perjuangan dalam menuntut ilmu mahupun di medan fi sabilillah.Salam khusus juga ana lafazkan kepada Ustaz Arif bin Abd Kadir dan Ustaz Azam bin Abd Razak di atas kesungguhan mereka mendidikku mengenal hakikat sebenar islam di sisi umatnya serta ketekunan mereka mentarbiyahku mengenal erti perjuangan islam.

Alhamdulillah diizinkan Allah untuk ana menyambung kembali penerangan ana berkenaan dengan tafsiran Surah Ali-Imran di bawah tajuk "Perbandingan Allah antara Peperangan Badar dan Uhud".Jika sebelum ini kita telah melihat bagaimana Rasulullah merancang strategi mengatur kedudukan tentera dalam posisi yang amat strategic.Manakala pada kali ini kita menyusuri pula,apakah situasi yang berlaku antara kedua-dua pihak samaada di pihak tentera muslimin mahupun di pihak tentera musyrikin Mekah setelah peperangan bermula.

Kegoyahan tentera musyrikin di awal pertempuran


Di awal pertempuran,tentera islam sudah menunjukkan kemenangan mereka.Melihat kekalahan itu,tentera-tentera musyrikin Mekah melarikan diri daripada tentera islam.Kebiasaannya tentera-tentera kafir akan membawa bersama mereka barang-barang yang banyak seperti makanan,alat kelengkapan perang serta barang-barang berharga,samaada barang-barang tersebut,dijadikan keperluan ketika peperangan mahupun dijadikan taruhan kepada tentera-tentera mereka(tentera musyrikin) apabila mereka menang.

Kekalutan tentera musuh dalam usaha melarikan diri daripada tentera islam menyebabkan mereka tidak berkesempatan melarikan diri bersama-sama barang-barang keperluan mereka.Akhirnya barang-barang tersebut ditinggalkan begitu sahaja di tengah padang demi menyelamatkan diri mereka dari dibunuh oleh tentera-tentera islam.

Tentera islam yang berada di barisan hadapan terus mengejar tentera musuh bagi memastikan mereka terus dihapuskan.Manakala tentera islam yang berada di bahagian belakang terus meluru ke arah barang-barang yang ditinggalkan itu untuk mendapatkannya supaya dijadikan harta rampasan perang.

Tentera pemanah mengingkari arahan Rasulullah

Barang-barangan yang ditinggalkan oleh tentera musuh terlalu banyak, sehingga menarik perhatian tentera pemanah islam untuk turut serta mengambil harta rampasan perang itu.Apabila nafsu kebendaan telah merasuk jiwa segala arahan telah diabaikan.Begitulah keadaannya yang berlaku kepada hampir semua tentera pemanah islam ketika itu,kerana gilakan kebendaan arahan Rasulullah agar mereka tetap berada di bukit kecil itu samaada menang ataupun kalah telah diabaikan.

Melihat kepada kesibukan tentera islam yang berada di bawah bukit mengutip harta rampasan dengan mudah,tentera pemanah yang melihat keaadaan itu menyangka tentera islam memang benar-benar telah memenangi peperangan tersebut.Tanpa memperdulikan perintah Abdullah,yang merupakan ketua bagi pasukan pemanah yang telah dilantik oleh Rasulullah supaya mereka tetap berada di posisi masing-masing, diabaikan sejumlah besar dikalangan mereka.

Akhirnya mereka turun dengan perasaan gembira kerana ingin mengambil harta rampasan yang ditinggalkan oleh tentera musuh itu.Maka tinggallah beberapa orang yang masih setia kepada arahan,untuk tetap berada di bukit kecil yang terletak bersebelahan dengan bukit Uhud itu.

Tentera musyrikin kembali mengatur serangan

Strategi peperangan merupakan agenda yang paling utama yang perlu dilaksanakan oleh mana-mana tentera sebelum mereka terjun ke medan pertempuran.Mengatur kedudukan tentera mengikut posisi tertentu juga termasuk dalam strategi peperangan.

Sebagaimana tentera islam di bawah pimpinan Rasulullah membuat perancangan dan mengatur strategi,begitulah jua yang berlaku pada tentera musyrikin.Kehadiran tentera musyrikin di medan Uhud itu dipimpin oleh Abu Sufyan.Percaturan Abu Sufyan dengan meletakkan Khalid Al-Walid sebagai ketua di bahagian sayap kanan secara tidak langsung memegang pasukan tentera berkuda mereka.Manakala Ikrimah bin Abu Jahal ketua di bahagian sayap kiri.

Tanpa disedari gelagat tentera pemanah islam yang bergegas turun ke bahagian bawah bukit,untuk mengutip harta rampasan diperhatikan oleh Khalid Al-Walid.Tugas tentera pemanah di bukit kecil itu bukan semata-mata untuk menjaga Rasulullah yang berada di markaz.Malahan sebagai pelindung kepada tentera islam yang berada di bahagian belakang.Sebagaimana yang telah ana jelaskan pada siri yang pertama,posisi tentera pemanah amat penting bagi Rasulullah kerana ia banyak memberi kelebihan dari sudut kekuatan tentera islam.Ia memberi kawalan yang sepenuhnya kepada mana-mana posisi tentera islam samaada tentera yang berada di bahagian bawah mahupun di bahagian atas bukit Uhud.

Khalid Al-Walid mengambil kesempatan dengan terus meluru bersama pasukan kudanya menuju ke posisi tentera pemanah islam.Ketibaan Khalid Al-Walid di bukit kecil itu bersama pasukan kudanya betul-betul memeranjatkan tentera pemanah islam.Lalu Khalid bersama tenteranya terus menyerang Abdullah dan baki pengikut-pengikutnya sehingga mereka dapat menawan bukit kecil itu.Penguasaan tentera Khalid di bukit kecil itu menyebabkan pasukan tentera islam yang berada di bahagian bawah hilang kawalan keselamatan di bahagian belakang.Tanpa disedari serangan daripada pasukan berkuda Khalid disusuli oleh Ikrimah bersama tentera-tenteranya.

Tentera islam di ambang kecelaruan

Apabila tentera-tentera Islam yang sedang mara ke hadapan mengetahui bahawa posisi tentera pemanah mereka telah dikuasai oleh musuh,lalu mereka terus berpatah balik menuju ke bukit Uhud untuk sama-sama berperang bersama Nabi di sana.Keadaan pasukan tentera Islam pada ketika itu sangat kucar-kacir setelah bukit kecil itu dikuasai oleh tentera musuh.

Tentera Islam pada ketika itu berperang sambil menuju ke bukit kecil itu bagi menguasai semula kedudukan tersebut.Usaha tentera islam hampir menemui kegagalan apabila kekuatan tentera mereka semakin lumpuh.Kegawatan situasi tersebut,akhirnya menyebabkan seramai 70 orang tentera Islam telah syahid selebihnya cedera parah.

Namun yang paling menyayat hati,Rasulullah pun turut tercedera dalam pertempuran itu.Gigi Baginda patah dan hampir kesemua tubuh badannya dalam keadaan berdarah sehingga kelihatan pipi Nabi dilinangi titisan darah.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berkuasa untuk melindungi nabi dari serangan itu sebagaimana Dia mampu memberikan kemenangan kepada tentera islam di medan Badar,namun ia sebagai pengajaran kepada mereka yang ingkar terhadap perintah Nabi khususnya kepada tentera pemanah yang turun ke bawah bukit semata-mata berebut untuk mengambil harta rampasan yang ditinggalkan musuh.

Ini menunjukkan bahawa sesuatu bahaya atau malapetaka akan menimpa ke atas sesuatu umat itu,jika mereka ingkar terhadap suruhan atau perintah Nabi samaada orang-orang Islam itu sendiri apatah lagi bagi orang-orang yang kafir.Berdasarkan kepada apa yang telah menimpa ke atas Nabi di dalam pertempuran tersebut sehingga ahli sejarah ada yang mengatakan bahawa;

“Tidak baik ke atas sesuatu kaum itu apabila nabi mereka dihina sedemikian rupa,sedangkan nabi itu menyelamatkan mereka dan mengajak mereka untuk kembali ke jalan Allah”

Dalam peristiwa itu juga ada riwayat yang menyatakan bahawa ketika seorang sahabat melihat darah Nabi meleleh lalu sahabat itu menjilat darah tersebut kerana tidak mahu melihat darah Nabi jatuh ke tanah.Lalu Nabi bersabda;

“Orang yang darahnya berkumpul dengan darahku,tidak akan terkena api neraka”

Rasulullah mengarahkan tentera-tenteranya berundur menuju ke teluk yang berhampiran dengan bukit Uhud itu.Akhirnya tentera-tentera Islam berjaya mengambil posisi yang agak selesa dan kembali stabil dari sudut pertahanan mereka.Tentera musyrikin kembali sukar untuk menyerang tentera islam yang bersama Nabi dari bahagian belakang,setelah mereka menuju ke teluk.

Natijah daripada kekalutan tentera Islam ketika diserang tentera musyrikin, menyebabkan Saiyidina Hamzah adalah di antara mereka yang turut syahid.Saiyidina Hamzah syahid dalam keadaan yang amat menyedihkan,apabila tubuhnya ditembusi oleh tombak yang dilontarkan oleh Wahsyi,orang upahan Hendon.Mus’ab bin ‘umair juga turut mengalami nasib yang sama,beliau juga syahid dalam keadaan yang amat mengerikan.Mus’ab bin ‘Umair ditugaskan oleh Rasulullah untuk memegang panji Islam.Badannya hancur dicincang oleh tentera musuh.Kisah yang berikutnya akan diceritakan dalam tafsiran ayat yang berikutnya.

Dakyah tentera musyrikin tentang kewafatan Rasulullah

إذ همّت طائفتان منكم أن تفشلا والله وليهما وعلى الله فليتوكل المؤمنون ( )

Ketika dua golongan daripadamu ingin mundur kerana takut padahal Allah adalah penolong bagi kedua golongan itu.Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang beriman bertawakal (122)

Dalam pertempuran tersebut tentera Islam ada yang terdiri daripada dua kabilah.Iaitu Bani Harithah dan Bani Salamah.Ketika tentera Islam berada dalam keadaan yang huru-hara Abdullah bin Ubai bersama pengikutnya seramai 300 orang,melarikan diri daripada peperangan tersebut.Melihat kepada keadaan itu tentera Islam dihantui ketakutan dalam masa yang sama kehadiran tentera musuh yang semakin ramai.Jumlah tentera berkuda musuh yang terlalu ramai menambahkan kerisauan mereka,sedangkan tentera Islam hanya memiliki tentera berkuda yang terlalu sedikit.

Ketakutan mereka ini sehingga ada yang lemah semangat menyebabkan tidak mampu untuk berperang lagi.Mereka inilah di kalangan dua kabilah yang telah ana sebutkan tadi.Ketakutan mereka ini ditambahkan lagi dengan tersebarnya tentang kewafatan Rasulullah yang dibawa oleh tentera-tentera musyrikin Mekah.Mendengar berita tentang kewafatan Rasulullah ada dikalangan mereka yang lembik dan hampir pengsan.

Namun ada seorang sahabat yang kuat imannya melaungkan kata-kata semangat kepada tentera-tentera Islam sambil berkata;”Jika Rasulullah telah syahid,marilah kita bangkit untuk syahid bersama-sama Rasulullah”.Setelah mendengar laungan tersebut,tentera-tentera Islam ketika itu ada yang bersemangat kembali namun ada juga di kalangan mereka yang lari pulang menuju ke Madinah.

Bagi tentera-tentera Islam yang melarikan diri menuju ke Madinah,ketibaan mereka dinantikan oleh para muslimat.Namun bukanlah bertujuan untuk meyambut mereka yang pulang,tetapi semata-mata ingin bertanyakan keadaan Rasulullah.Setelah ditanyakan kepada mereka tentang keadaan Rasulullah.Lalu dijawab oleh tentera-tentera Islam yang melarikan diri itu tadi bahawa Rasulullah telah wafat di medan pertempuran.

Mendengar sahaja berita tentang kewafatan Rasulullah di Medan Uhud ,tidak semena-mena para muslimat mengambil batu lalu merejam kesemua tentera-tentera Islam yang melarikan diri itu.Ini kerana para muslimat terlalu sedih dan marah disebabkan tentera-tentera tersebut tidak bersama Rasulullah di medan pertempuran dan syahid bersama Baginda.Akhirnya kesemua tentera itu tadi bergegas kembali menuju ke medan Uhud.

Pengorbanan para sahabat terhadap Rasulullah

Ketika Rasulullah diserang dan dipukul secara bertubi-tubi oleh tentera-tentera musyrikin,para sahabat pantas mengelingingi Rasulullah demi melindungi baginda dari terus diserang dan dipukul.Menurut riwayat yang soheh ada di kalangan para sahabat yang sanggup menjadikan dirinya seperti pagar dengan memalingkan tubuh mereka mengelingingi baginda,akhirnya ada di kalangan para sahabat yang menjadi mangsa serangan panah.

Itulah bukti pengorbanan dan kasih sayang para sahabat terhadap Rasulullah,dalam memastikan Islam yang diperjuangkan terus berdaulat.Para sahabat tidak berjuang kerana bangsa mereka,tetapi kerana Allah dan Islam yang tercinta.Tetapi apa yang berlaku kepada masyarakat kita pada hari ini ialah ketaksuban terhadap bangsa yang semakin menular,sehingga mereka lupa bahawa bukan itu yang patut diperjuangkan semata-mata.

Para sahabat mengelingingi Rasulullah sambil membawa Baginda menuju ke puncak bukit Uhud.Setelah kesemua tentera Islam berjaya menaiki ke puncak bukit Uhud itu, maka tentera musyrikin pun berpatah balik secara tidak langsung menghentikan serangan ke atas tentera-tentera Islam.

Sebelum Abu Sufyan bersama bala tenteranya beredar dari medan Uhud itu,sempat dia bertanya kepada tentera Islam,adakah Rasulullah masih hidup.Lalu Rasulullah menyuruh para sahabat supaya mendiamkan diri.Sekali lagi para sahabat diminta untuk mendiamkan diri apabila ditanyakan pula perihal Saidina Abu Bakar.Belum sempat Rasulullah menyuruh para sahabat diam, terus Saidina Omar menjawab, “aku masih hidup”,apabila Abu Sufyan bertanyakan tentang beliau pula.

Lalu Abu Sufyan melaungkan kepada mereka dengan berkata;

الحرب سجّال يوم لّنا ويوم علينا

"Peperangan itu silih berganti,ada hari kami menang dan ada hari kami tewas”

Lalu dijawab oleh Sayidina Omar;

لسنا سوى قتلانا فى الجنة وقتلاكم فى النار

“Tidaklah kita ini serupa,terbunuhnya kami akan ke syurga,terbunuhnya kamu akan ke neraka”

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Ayat yang seterusnya menerangkan kepada kita bahawa Allahu Subhanahu Wa Ta’ala (S.W.T) memerintahkan umat Islam supaya jangan bersedih.Ini kerana Allah telah memberikan kemenangan besar kepada mereka di medan Badar,dan sepatutnya mereka mensyukuri nikmat kemenangan yang telah diberikan itu diberikan itu.

Sekadar ini sahaja dahulu penerangan ana untuk kali ini.Insyaallah jika diizinkan Allah ana akan menyambung kembali kisah selanjutnya berdasarkan ayat yang seterusnya. Maha suci Allah tidaklah aku mengetahui melainkan apa yang telah diajarkan kepada ku.

No comments: