Saturday, November 29, 2008

Sertai Kempen Simpati dan Sehati umat Islam Gaza

Komuniti Mini Pavillion "From Palestine With Love" (MAP) sebuah unit di bawah Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan PMRAM sedang menganjurkan Kempen Simpati Dan Sehati Terhadap Gaza. Menurut pengarah MAP, Ustaz Abd Muin Abdul Manan berkata, kempen tersebut adalah bertujuan memberikan kesedaran kepada Ahli PMRAM khususnya mengenai penderitaan saudara seIslam kita di Gaza yang terancam akibat sekatan Israel tehadap mereka.

Menurut beliau, sehingga kini seramai 256 orang telah menjadi mangsa korban akibat kekurangan bekalan air,elektrik yang diputuskan ke seluruh semenanjung itu.

Komuniti MAP meminta kepada semua ahli PMRAM agar dapat memadamkan lampu rumah hanya selama 5 minit pada hari Selasa ini 2 Disember tepat jam 8.00 malam. Hal ini bertujuan bagi sama-sama kita merasai penderitaan yang dirasai oleh saudara seIslam kita di semenanjung tersebut. Kita hanya bergelap selama lima minit sahaja berbanding mereka yang telah lama mengalami penderitaan ini. Oleh itu Komuniti MAP mengharapkan agar ahli PMRAM dapat menjayakan kempen ini. -Dipetik daripada laman web PMRAM. Sahabat-sahabat bolehlah melayari laman ini- http://minipavilion.blogspot.com/

Sebagai respon positif daripada kempen yang hendak dijayakan oleh Komuniti MAP ini, saya secara peribadi mencadangkan dikesempatan kita dalam menjayakan program pada malam itu nanti, agar kita berkumpul bersama sebentar untuk mendengar sedikit pengisian tentang situasi sebenar yang berlaku terhadap saudara seIslam kita di Semenanjung Gaza selama 5 minit kepada sahabat-sahabat kita. Atau kita sama-sama bertafakur bersama-sebentar mengenangkan nasib saudara seIslam kita di sana.

Friday, November 21, 2008

Patung-patung atau lukisan-lukisan tercela di tempat kediaman.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Segala puji bagi Allah, Tuhan pencipta sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam (S.A.W) serta ahli keluarga Baginda dan para sahabat Baginda yang telah diredhai Allah ke atas sekalian mereka.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah..

Rumah yang didiami oleh orang Islam semestinya bagi penghuni itu melazimi ciri-ciri luaran mahupun dalaman rumahnya sebagai ciri-ciri yang dianjur dan diajar oleh Islam. Jika sebelum ini saya ada menerangkan kepada sahabat-sahabat salah satu daripada ciri-ciri rumah orang Islam atau dalam bahasa arabnya "Baitul Muslim" ialah dengan menyediakan satu ruang dalam rumahnya sebagai ruang untuk didirikan solat.

Pada siri ini saya akan menerangkan kepada sahabat-sahabat salah satu lagi ciri-ciri yang perlu ada ke atas sebuah kediaman orang Islam. Ciri yang dimaksudkan ialah "Rumah orang Islam mestilah terhindar daripada Patung-Patung atau Lukisan-lukisan yang tercela.." . Ermmm pernahkah sahabat-sahabta melihat atau terjumpa rumah saudara kita yang mana halaman rumahnya dikelilingi oleh patung-patung atau di dalam rumahnya?.

Sahabat-sahabat yang amat ku sayangi sekalian...

Patung-patung adalah satu benda yang diharamkan oleh Islam secara qath'ie (putus/tetap) tanpa ada perselisihan padanya. Adapun perselisihan berlaku di antara para ulama hanya pada masalah-masalah yang berkaitan dengan gambar-gambar,ukiran-ukiran atau lukisan yang ditampal, digantung atau dihiasi di dalam rumah. Ada dikalangan ulama yang turut mengaharamkan lukisan-lukisan,gambar-gambar atau apa jua gambar yang ditampal atau digantung didalam rumah. Ini kerana mereka berdasarkan daripada hadith-hadith yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. antaranya;

أنه صلى الله عليه وسلّم قال : ( إنّ أشدّ النّاس عذابا يوم القيامة المصوّرون ) أو كما قال رسول الله

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Sesungguhnya sepedih-pedih azab yang diterima oleh manusia pada hari kiamat adalah golongan pelukis-pelukis/pengukir-pengukir"

Hadith di atas dikeluarkan oleh Imam an-Nasai dalam fasal: "Perhiasan" ( الزينة ) , bab: "Pada menyebut sepedih-pedih golongan manusia yang diazab" ( ذكز أشدّ النّاس عذابا ) . Pada hadith lain yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam al-Muslim Rasulullah S.A.w bersabda;


إنّ الذين يصنعون هذه الصور يعذبون يوم القيامة , يقال لهم : أحيوا ما خلقتم ) أو كما قال رسول الله )

Maksudnya : " Sesungguhnya orang-orang yang membuat gambargambar/lukisan-lukisan ini, nescaya mereka akan diazab dihari kiamat, sambil dikatakan kepada mereka : Hidupkanlah apa yang telah engkau ciptakan/lukiskan".

Pada hadith-hadith lain juga ada menyebut berkenaan hali ini di antaranya:

عن ابن عبّاس قال : سمعت محمدا صلى الله عليه وسلّم يقول : من صوّر فى الدنيا ,كلّف يوم القيامة أن ينفخ فيها الروح , وليس بنافخ أو كما قال رسول الله . أخرجه البخاري

Maksudnya: Daripada Ibnu Abas telah berkata: Aku telah mendengar Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Sesiapa yang melukis/mengukir gambar di dunia, nescaya dipertanggungjawabkan mereka ini dihari kiamat untuk meniupkan ruh pada gambar/lukisan itu. Dan bukanlah ia peniup ruh".

Dalam hadith Qudsi juga Allah Subhanahu Wa Ta'ala ( S.W.T) ada berfirman:

ومن أظلم ممن ذهب يخلق خلقا كخلقي , فليخلقوا ذرّة, ليخلقوا حبّةو أو ليخلقوا شعيرة" أخرجه البخاري "

Maksudnya: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada siapa yang mengatakan dia mencipta kejadian seumpama ciptaan Ku. Maka kamu jadikanlah jagung, jadikanlah sebiji benih atau jadikanlah sebiji gandum".

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah...

Ulama telah menafsirkan maksud perkataan as-sour ( الصور ) dalam hadith-hadith di atas dengan patung-patung ( التماثيل ) dan mereka telah berpendapat bahawasanya patung-patung adalah benda yang haram tanpa ada pertikaian.

Maka jelaslah kepada kita bahawa tidak boleh bagi sesebuah rumah orang Islam itu di dalmya terdapat patung-patung. Tidak boleh juga bagi kita menjadikan atau meletakkan alatan perabut yang dihiasi atau dilengkapi dengan patung-patung.Contoh patung-patung yang dimaksudkan ialah patung Romeo dan Juliet atau patung-patung yang berbentuk haiwan mahupun burung-burung.

Rasulullah S.A.W juga ada bersabda dalam hadithnya;

لا تدخل الملائكة بيتا فيه كلب ولا صورة " أخرجه البجاري "

Maksudnya: "Tidak akan masuk Malaikat ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan patung". Hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari.

Para Ulama juga menafsirkan perkataan as-sour ( الصور ) itu sebagai at-tamasil ( التماثيل ) iaitu patung-patung sebagai mana pada hadith-hadith yang telah disebutkan di atas.

Dikecualikan daripada termasuk perkara-perkara haram yang dimaksudkan contohnya seperti alat permainan kanak-kanak. Maka ia satu-satunya benda yang diharuskan oleh para ulama. Ini kerana mereka telah bersandarkan kepada hadith Rasulullah.

Diriwayatkan bahawa telah datang kepadanya (Rasulullah) oleh Saidah Aisyah.Adalah ketika itu Aisyah sedang bermain dengan anak patung pengantin(perempuan) di sisinya. Dan bahawasanya Rasulullah mengakui yang demikian (membiarkan sahaja Aisyah bermain dengan anak patung itu) dan Baginda tidak melarang Aisyah daripada bermain dengan patung itu.

Sekali diingatkan sahabat-sahabatku bahawa sebarang jenis patung yang berbentuk tubuh manusia ataupun haiwan adalah diharamkan untuk jadikan perhiasan dalam mahupun luar rumah. Oleh yang demikian itu mana-mana rumah yang terdapat di dalamnya patung-patung maka sesungguhnya malaikat akan terhalang daripada memasuki rumah tersebut. Dan ingatlah rumah orang islam yang dimasuki malaikat akan menerima keberkatan dan rahmat Allah padanya.

Tuesday, November 18, 2008

Ruang solat di tempat kediaman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Semalam saya singgah di sebuah kedai buku.Nama kedai tu Maktabah Darul as-Salam. Sempat bertanya dengan mamat arab kat kedai tu berape harga kitab Tafsir al-Munir. Ermm nampaknyer kene simpan duit la daripada sekarang.

Nak beli kitab-kitab besar takder duit,so saya cuba la cari-cari buku-buku kecil untuk dibaca ketika nak tunggu bas ke,nak tunggu lecturer masuk dalam bilik kuliah,atau bahan untuk tazkirah jika perlu.

Lebih kurang dalam 7 minit mencari dan membelek,terjumpalah satu buku kecil yang disusun oleh al-Ustaz Wajdi Ghanim.Tajuk dia " سلوك المسلم في بيته " Sikap Seseorang Muslim Itu Terhadap Tempat Kediamannya.Harga buku kecil tu murah jer 1 Pound Mesir.Rupanyer buku kecil ni merupakan salah satu himpunan kuliah-kuliah sipenyusun yang diedarkan melalui buku-buku kecil seperti ini.

Ok lah, di antara perkara penting yang diceritakan dalam buku kecil ini ialah bagaimana dituntut ke atas seorang muslim itu untuk menyediakan satu sudut atau ruang solat di dalam rumahnya, kemudian dilarang menggantung gambar-gambar hidup atau patung-patung haiwan di dalam rumah,dan beberapa larangan lain contohnya seperti larangan memelihara anjing di dalam rumah.Banyak lagi sub-sub topik yang disentuh oleh penulis dalam buku kecil ni.

Untuk awalnya ana cuba untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang sub topik yang pertama dibahaskan dalam buku kecil ni iaitu, " تخصيص مكان للصلاة " mengkhususkan tempat atau ruang untuk solat.

Seorang muslim itu hendaklah menyediakan di rumahnya satu ruangan untuk dijadikan tempat solat. Ya! Memang benar setiap tempat atau sudut di dalam rumah selagi ia suci daripada sebarang najis maka dibolehkan untuk dijadikan tempat solat. Namun wajib ke atas seorang muslim itu menyelaras dengan baik alat-alat kelengkapan rumahnya seperti peralatan perabot dan sebagainya supaya dapat menghasilkan satu ruang untuk dijadikan tempat solat.

Orang Islam pada hari ini terlalu teliti dalam pembelian alatan perabot dan beberapa kelengkapan yang diperlukan di dalam kediaman mereka dan terlalu teliti dalam nak memilih tempat yang sesuai untuk menyelaraskan kedudukan perabot-perabot yang telah dibeli sehingga terlupa untuk menyediakan satu ruang yang sesuai untuk dijadikan tempat solat.

Lebih menakjubkan lagi ada sesetengah tu membeli alatan perabot yang terlalu banyak sehingga terlupa bahawa ruang yang ada di dalam rumahnya adalah terbatas. Membeli almari pakaian lima pintu, almari solek, katil kelamin, rak -rak buku yang besar sedangkan hanya untuk bilik tidur yang kecil. Ini akan menyukarkan seseorang itu untuk menyelaras kedudukan alataan perabot yang dibeli itu di posisi yang sesuai dan menyenangkan mata.

Dengan sebab itu kamu akan dapati bahawa seseorang itu akan menghadapi kesukaran untuk bergerak dengan timbunan dan lambakan alatan perabot di dalam rumahnya. Maka apabila kamu bertanya kepadanya : "Kalau dah macam ni keadaan rumah kamu yang sempit, bagaimana kamu nak mendirikan solat?"....Dengan segera dia akan menjawab : " aku akan solat dimana-mana tempat atau ruang yang ada di rumah ku.....". ataupun dia akan menjawab : " Aku akan solat di masjid, Insyaallah. Ok fine.....Kalau itulah jawapan kamu...maknanya kamu akan mengerjakan solat di masjid setiap waktu. Itu sudah pasti tak perlu kita nak cerite.Tapi.......

Sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam S.A.W bersabda,

Maksudnya: "Jangan sekali-kali kamu menjadikan rumahmu seperti kubur"....
atau sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda S.A.W.

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab hadithnya (Sunan Abi Daud) . Boleh didapati hadith tersebut dalam fasal Ibadah dalam bab menziarahi kubur.

Bagaimana kamu boleh menjadikan rumah kamu seperti kubur. Saya rasa kamu semua dapat gambarkan bagaimana susana persekitaran di tanah perkuburan? Maka jelaslah kepada kita bahawa tidak boleh tidak solat perlu ditunaikan dirumah.Persoalannya......

Solat apakah yang perlu ditunaikan di rumah? Bagaimana pula yang dikatakan solat fardhu berjemaah di masjid akan memperolehi sebanyak 27 darjat atau gandaan pahala ?

Solat yang dimaksudkan ialah solat-solat sunat contohnya seperti solat sunat qabliah n ba'diah, solat sunat tahajud, solat sunat dhuha dan sebagainya. Ini kerana sebaik-baik solat seseorang muslim itu, ia solat fardhu di masjid dan ia solat sunat di rumah. Mengerjakan solat sunat di rumah akan memastikan rumah tersebut tidak terhindar daripada menerima keberkatan dan kebaikan. Ini bertepatan dengan beberapa hadith atau riwayat para sahabat yang mengatakan bahawa Rasulullah kerap menunaikan solat sunat di rumahnya. Adakalnya baginda pernah mengimami tetamunya untuk solat sunat di rumah.

Maka rumah kita tidak boleh tidak didirikan solat padanya. Selagi mana kita menunaikan solat padanya selagi itu perlulah bagi kita untuk mengkhususkan satu tempat untuk ditunaikan solat padanya. Apabila kamu dapati tiada tempat untuk kemudahan itu, maka bolehlah kamu cuba untuk mengalihkan sedikit sebahagian daripada alatan perabot yang ada contohnya seperti perabot-perabot yang mudah alih atau mudah diatur untuk bertujuan untuk diadakan ruang solat.

Tatkala adanya ruangan di dalam rumah untuk solat, ini bermakna penghuninya seorang yang amat mementingkan solat. Ia juga sebenarnya menyukarkan peluang bagi syaitan untuk masuk ke ruang solat tersebut dan mengalih mengalih perhatian kamu terhadap solat yang dikerjakan. Apabila kamu solat pada waktu malam atau berqiamulail di ruang tersebut maka akan terhindar daripada gangguan syaitan seterusnya dapat menumpukan ibadah tersebut terhadap Allah Subhanahu Wa Taala S.W.T.

Ok lah setakat ini sahaja untuk kali ini, Jika izinkan akan saya sambung pada sub topik yang lain pula. Saya bukan yang terbaik, tetapi sekadar ingin dikongsi bersama apa yang saya ada. Jika ada sebarang tambahan boleh lah di kongsi bersama dan tak de masalah untuk saya masukkan pada perbahasan akan datang sebagai tambahan.