Sunday, June 17, 2007

Puak Jabariah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Salam kasih dan sayang ana lafazkan kepada sahabat-sahabat yang masih setia bertandang ke blog ana.Bukan pujian yang ana harapkan tetapi manfaat bersama yang sahabat-sahabat perolehi.Moga-moga ianya dapat menjadi nilai tambah,pengajaran dan renungan kita bersama.

Pada mulanya ana bercadang untuk menyambung penerangan ana,bagi siri kedua di bawah tajuk “Perbandingan Allah Antara Peperangan Badar dan Uhud” berdasarkan tafsiran Surah Ali-Imran ayat yang ke 121 hingga 129 pada minggu ini.Oleh kerana keterbatasan masa,ana hanya sempat untuk menyambung penerangan ana berkenaan dengan puak-puak I’tikad yang pernah dan masih wujud di dalam Islam pada ketika ini.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Pada kali ini ana akan menerangkan kepada sahabat-sahabat berkenaan dengan Puak Jabariah ( ( جبارية .Perkataan Jabariah di dalam bahasa arab bermakna memaksa.Bagi istilah Ulama’ Mutakallimin perkataan Jabariah bermaksud menafikan sesuatu perbuatan itu dilakukan dengan sebenarnya oleh manusia.Bahkan kesemua perbuatan itu dilakukan oleh Allah.

Orang yang mula-mula mengatakan bahawa manusia melakukan sesuatu perbuatan kerana terpaksa ialah Jahmu bin Safuan.Beliau dilahirkan di Tirmiz dalam negeri Bukhara,kemudian berpindah ke Meru di negeri Parsi dan menetap di sana sehingga beliau terbunuh di akhir pemerintahan Bani Umayyah.Puak jabariah ini boleh dikatakan telah lenyap dari muka bumi ini segali gus menghapuskan kesemua pengikut-pengikut aliran ini.

Dasar-dasar Mazhab Jabariah yang termasyhur ialah;

Mereka mengumpamakan manusia melakukan sesuatu perbuatan dengan terpaksa seperti sehelai bulu yang terbang di udara.Anginlah yang akan menentukan ke arah mana bulu itu akan terbang.Manusia tidak mempunyai sebarang kuasa,kehendak dan pilihan sendiri.Hanya Allah sahajalah yang melakukan sesuatu kepada manusia sebagaimana dilakukan-Nya kepada sesuatu benda yang tidak bernyawa.

Menyandarkan sesuatu perbuatan kepada manusia seperti Mahmud menunaikan sembahyang.Ali berpuasa dan Jamal mencuri adalah sama sahaja seperti menyandarkan perbuatan kepada benda yang tidak hidup seperti batu telah bergerak,,air telah mengalir dan sebagainya.Mereka berpendapat bahawa kedua-dua jenis sandaran ini bukanlah hakikat yang sebenarnya,kerana yang sebenar-benar melakukannya ialah Allah Subhanahu Wa Ta’ala (S.W.T).

Mereka juga mengatakan,tidak ada perbezaannya antara perbuatan yang dilakukan oleh manusia atas pilihan sendiri dengan perbuatan yang berlaku secara terpaksa.,seperti sakit,mati dan sebagainya.Walupun kedua-dua jenis perbuatan disandarkan kepada manusia,namun ia berlaku secara majaz(hanya sandaran sahaja perbuatan itu berlaku pada manusia) bukan secara kenyataan atau hakikat.

Menolak dasar-dasar Mazhab Jabariah

Pendapat mereka ini ditolak sama sekali kerana dengan sendirinya menimbulkan bahawa seolah-olah Allah S.W.T melakukan perkara yang sia-sia,seperti mengutuskan Rasul dan menurunkan syariat.Pada hal Allah S.W.T maha suci dari segala perkara yang sia-sia sebagaimana firmannya;

وما خلقنا السماوات والأرض وما بينهما لاعبين ما خلقنا هما إلا بالحق ( الدخان : 38-39)

Maksudnya:”Aku tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang di antara keduanya dengan main-main sahaja,Aku tidak menjadikan keduanya melainkan dengan seenarnya”.

Beberapa penyelewengan lain juga telah dilakukan oleh Jahmu bin Safuan serta pengikut-pengikutnya disamping dasar-dasar yang telah ana sebutkan di atas yang boleh mengeluarkan mereka dari I’tikad ‘Akidatul Islamiah yang sebenar.Di antara penyelewengan yang telah di buat seperti berikut;

Dakwaan (Mazhab Jabariah):

Allah S.W.T tidak harus mempunyai sifat yang ada pada makhluk supaya tidak menyerupai mereka.Maka mereka menafikan Allah mempunyai sifat hidup dan berilmu.Tetapi dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa Allah S.W.T memiliki sifat kuasa dalam menentu dan mencipta.

Menolak hujah mereka:

Perkara ini merupakan sesuatu hal yang amat ganjil,Ini kerana sifat kuasa.menentu dan mencipta initentu tidak dapat diakui tanpa ada sifat hidup.

Dakwaan:

Mereka mendakwa bahawa ilmu Allah itu bersifat baru tanpa berhubung dengan zat-Nya dan berbilang ilmu Allah mengikut bilangan maklumat yang ada.Oleh kerana ilmu Allah itu baru maka tidak haruslah berhubung dengan zat-Nya yang bersifat Qadim,kerana sesuatu yang baru itu sentiasa berubah-berubah sedangkan zat Allah tidak layak menjadi tempat yang baru,tempat bergantung.

Menolak hujah mereka:

Ini adalah suatu pendapat yang amat bertentangan kerana ilmu Allah itu adalah sifat,yang mana dengannya Allah Maha Mengetahui segala-segalanya.Andainya Allah tidak mengetahui tentulah Dia jahil,sedangkan jahil itu sifat kekurangan yang mustahil bagi Allah.

Dakwaan:

Bahawa syurga dan neraka itu bersifat fana’ iaitu akan binasa setelah dimasuki ahli-ahlinya dan setelah ahli syurga telah menerima kenikmatannya begitu juga dengan ahli neraka setelah mereka menerima azabnya.Puak ini tidak dapat menerima adanya sesuatu yang kekal abadi selain dari Allah.Segala ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan syurga dan neraka itu kekal dinafikan pengekalannya dengan menafsirkan bahawa kedua-dua itu (syurga dan neraka) hanya kekal untuk beberapa zaman sahaja.

Menolak hujah mereka:

Pendapat ini sangatlah menyeleweng kerana menyalahi nas-nas Al-Quran dan Hadith yang terang dan jelas,tidak ada sebabnya hendak diputarbelitkan.Wujudnya sesuatu yang kekal abadi selain Allah seperti syurga dan neraka tertakluk kepada kehendak dan kekuasaan Allah yang Maha Kuasa dan Maha menentukan segala-segalanya.Namun apa yang mustahil ialah sesuatu benda yang kekal abadi berdiri dengan sendirinya kerana tidak ada yang sedemikian selain daripada Allah Ta’ala sahaja.Sebab yang menunjukkan syurga dan neraka itu kekal adalah disebabkan pengurniaan syurga dan nikmatnya oleh Allah kepada hambanya yang beramal soleh di atas muka bumi,dan mereka kekal mengecapi nikmat tersebut buat selama-lamanya.Begitulah jua keaadanya balasan dan azab yang dikurniakan Allah kepada mereka-mereka yang syirik,kufur dan ingkar kepada Allah S.W.T di atas muka bumi dahulu.

"بلى من كسب سيّئة وأحطت به خطيئته فأولئك أصحاب النار هم فيها خالدون ( )

والذين ءامنوا وعملوا الصالحات أولئك أصحاب الجنة هم فيها خالدون ( )

Maksudnya:Bukan demikian,yang benar,sesiapa yang melakukan dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya,maka mereka itulah penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya ( )

Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,mereka itu penghuni syurga,mereka kekal di dalamnya.(Surah al-Baqarah:81-82)

Dakwaan:

Bahawa iman tidak boleh dibelah bahagi tidak pula berlebih kurang di antara seseorang dengan yang lain.Iman yang ada pada para nabi adalah sama banyaknya dengan iman yang ada pada tiap-tiap manusia biasa.

Menolak hujah mereka:

Dakwaan ini tentulah terang-terang menyalahi dengan sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (S.A.W);

ما فضّلكم أبو بكر بصوم ولا صلاة ولكن بشىء وقر فى نفسه

Maksudnya:”Abu Bakar tidak melebihi kamu dengan sebab puasanya dan sembahyangnya tetapi dengan sebab iman yang ada dalam dirinya”

Alhamdulillah sekadar ini sahaja dahulu penerangan untuk kali.ini.Jika diizinkan Allah ana akan meneruskan lagi penerangan ana berkenaan dengan tajuk yang berikutnya pada masa akan datang.Ada beberapa perkara yang bermain difikiran ana berkenaan dengan dasar-dasar Puak Jabariah ini.Insyaallah akan ana rujuk kepada yang lebih arif.

Sekali lagi diingatkan ana tidak menolak jika sepanjang penerangan ana terdapat beberapa kesalahan dari sudut penerangan,ana meyakini ada dikalangan pembaca yang lebih arif dan pakar dalam bab ini.oleh itu ana mengalu-alukan sebarang tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat yang arif demi meningkatkan kefahaman ana.Wallahua a’lam bertemu kembali…….

5 comments:

ruzaimi said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

ana nk copy ttg mazhab jabariah sbg rujukan utk bt assignment..blh knn

dino said...

xperlu jadi pengikut jabariah utk jadi jabariah. cukup dgn berkata "nasibbaik aku kuar meniaga harini boleh jugak rezeki masuk"

kan ustaz?

Unknown said...

mohon share..

Unknown said...

mohon share..