بسم الله الرحمن الرحيم
إنما يخشى الله من غباده العلمؤا""
صدق الله العظيم
Maksudnya:Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
“Sebenarnya yang menaruh kebimbangan dan rasa takut kepada Allah dikalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu”.
Benarlah kata-kata Allah yang Maha Agung.
عن ابي الدرداء رضى الله عنه قال:سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:"وإن فضل العالم على العابد كفضل القمر ليلة البدر على سائر الكواكب.وإن العلماء ورثة الأنبياء.وإن الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهاما.
ولكن ورثوا العلم فمن أخذه أخذ بحظ وافر".
صدق رسوله
(أخرجه ابو داؤد والترمذي وابن ماجه)
Maksudnya:Daripada Abu Dardak Radhiallahu ‘anhu berkata:Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:”Dan sesungguhnya kelebihan orang yang berilmu ke atas orang yang ahli ibadah seumpama kelebihan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang.dan sesungguhnya Ulama’ itu pewaris nabi-nabi.dan sesungguhnya nabi-nabi itu tidak mewariskan dinar (wang emas) dan dirham (wang perak),tetapi yang diwariskan oleh mereka adalah ilmu.Maka barangsiapa yang mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna”.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian;
Sesungguhnya kelaziman masyarakat kita pada hari ini apabila disebut perkataan ulama’ maka terbayanglah di pemikiran mereka akan penampilan atau ciri-ciri zahir individu tersebut tetapi amat jarang sekali dilihat dari sudut dalaman.Antaranya jika disebut ulama’ mestilah berserban,berjubah,berjanggut panjang,memegang tasbih dan memenuhi kehidupan hariannya di masjid semata-semata.Tahukah sahabat-sahabatku sekalian, gambaran-gambaran yang dinyatakan itu jauh meleset sama sekali daripada maksud sebenar perkataan tersebut.
Perkataan Ulama’( علماء ) jika dirujuk di dalam kamus arab iaitu “المعجم العربي الأساسي “ antara kamus yang menjadi rujukan penting bagi pelajar-pelajar Al-Azhar diambil daripada perkataan ( عالم ).Mengikut kaedah nahwiah perkataan tersebut diambil daripada wazan ( فاعل )orang yang bersifat dengan sesuatu pebuatan.Maka عالم ) ) membawa maksud orang yang berilmu.Disebut Ulama’ kerana perkataan tersebut dijama’kan atau lebih difahami satu kelompok atau golongan individu-individu yang berilmu.
Di dalam Islam Ulama’ dinilai menurut penguasaan mereka memahami dengan sahih isi kandungan Al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah S.A.W dan sangat menguasai cabang-cabang tertentu iaitu pengklasifikasi ilmu yang diperolehi oleh ulama’-ulama’ terdahulu bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah.Contohnya Ilmu nahu dan saraf,ilmu fiqh dan usul fiqh,ilmu hadith dan mustholahul hadith.ilmu mantiq.ilmu tauhid atau ilmu akidah dan sebagainya. Walaupun bentuk gambaran personaliti ulama’ yang dinyatakan di atas antara yang perlu dihiasi sebagai amalan sunnah Rasulullah contohnya berjubah,menyimpan janggut dan berserban. Namun begitu ia bukanlah menjadi pra syarat utama untuk dinilai sebagai ulama’,tetapi sejauh mana penguasaan mereka terhadap ilmu Allah S.W.T .
Sahabat-sahabatku yang dimuliakan
Tidak mudah untuk seseorang itu digelar sebagai ulama’ kerana hanya mereka yang dipilih oleh Allah S.W.T sahajalah yang layak diberi gelaran tersebut.Maka amat beruntunglah bagi mereka-mereka yang diizinkan Allah S.W.T untuk mendalami ilmu agama.Sebagaimana yang telah difirmankan Allah S.W.T di dalam Al-Quran;
وما كان المؤمنون لينفروا كافة فلو لا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم اذا رجعوا إليهم لعلهم يحذرون (سورة التوبة:122
Maksudnya:”Dan tidaklah orang-orang beriman itu kesemuanya turun ke medan peperangan oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka supaya orang-orang itu memepelajari secara mendalam ilmu yang dituntut did alam agama,agar mereka dapat memberi peringatan kepada kaum mereka sebaik sahaja mereka kembali,mudah-mudahan mereka itu dapat berjaga-jaga daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.
Bertepatan dengan ayat tersebut,juga dikukuhkan lagi dengan sabda nabi kita Muhammad S.A.W daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu;
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :" من يرد الله به خيرا يفقه فى الدين" (أخرجه إبن ماجه)
Maksudnya:”Barangsiapa yang dikehendaki Allah ke atasnya kebaikan,maka sudah tentu Allah menjadikannya orang yang berpengatahuan dalam ilmu agama”
Tanggungjawab sebagai seorang ulama’ amat berat sekali ini kerana tugas yang dibawa oleh mereka sebagaimana yang dibawa oleh para nabi Allah S.W.T.Prinsip utama yang perlu dipateri ke dalam diri mereka ialah menyuruh kepada melakukan kebaikan dan menegah daripada melakukan segala jenis kemungkaran.Mereka hendaklah bersungguh-sungguh menyeru masyarakat mereka supaya menyembah Allah S.W.T serta tunduk dengan segala titah perintah Allah sebagai melaksanakan segala tuntutan yang telah terkandung di dalam Al-Quran dan mengikuti saranan Rasulullah sebagaimana tercatat di dalam hadith baginda.Di samping itu juga mereka bukan sahaja menyeru kearah pengabdian diri kepada Allah semata-mata, malahan merekalah jua orang yang paling lantang dalam mencegah dan menentang segala kesyirikan,kefasikan,kemaksiatan dan segala kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat mereka.Amat malang sekalilah bagi yang mengkhianati tugas mereka sebagai ulama’.
Teman-temanku yang dirahmati Allah:
Ketahuilah sesungguhnya di akhir zaman ini kebanyakan mereka yang bergelar ulama’ sudah mula melupakan tanggungjawab yang diamanahkan Allah kepada mereka atau mengambil ringan terhadap kesyirikan dan kefasikan yang berlaku dalam masyarakat.Akhirnya mereka membisu seribu bahasa beralasankan ilmu yang tidak mantap dan tiada pengalaman dalam kaedah berdakwah.Alasan yang sangat mengaibkan diri individu tersebut apatah lagi bagi mereka yang berlatar belakangkan pengajian di timur tengah.Jika dilihat dizaman ini ada dikalangan mereka yang hanya berjurusan akademik namun mereka berusaha untuk mendalami agama disamping itu mereka juga mampu menguasai masyarakat dalam usaha dakwah mereka.
Timbul juga alasan lain bagi mereka yang digelar ulama’ bisu,khususnya bagi mereka yang bekerja dibawah kerajaan.Apabila pemimpin mereka berpaling daripada apa sahaja tuntutan yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah mereka tidak mampu sedikitpun bersuara apatah lagi lantang untuk menyatakan kebenaran.Ini kerana semata-semata takut jawatan atau pangkatnya sebagai penasihat agama,mufti,pegawai tadbir agama,ustaz-ustaz dan imam masjid terlucut.Juga takut akan diri,bini dan anak-anak mereka tidak makan nasi berlaukkan ayam dan daging setiap hari setelah jawatan mereka dilucutkan.Sesungguhnya mereka-mereka yang khianat ini dijanjikan Allah S.W.T ke dalam neraka Allah S.W.T sebagaimana yang di sebutkan di dalam sabda baginda S.A.W daripada Abu Hurairah,sesungguhnya rasulullah S.A.W telah bersabda:
"العالم والعلم والعمل في الجنة,فإذا لم يعمل العالم بما يعلم كان العلم والعمل في الجنة,وكان العالم في النار"(أخرجه الديلمي في مسند الفردوس)
Maksudnya:”Orang yang ‘alim,berilmu dan beramal itu di dalam syurga.Dan apabila orang yang alim tidak mengamalkan ilmunya,maka ilmu dan amal itu tetap di dalam syurga,sedang si alim itu dimasukkan ke dalam api neraka”.
"من سئل عن علم فكتمه ألجم بلجلم من النار" (أخرجه أبو داود والترمذي)
Maksudnya:”Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu lalu ia menyembunyikannya,maka ia akan di kekang pada hari kiamat dengan kekangan daripada api neraka”
Sahabat-sahabatku sekalian;
Tidak dinafikan walaupun ada ulama’ yang berbakti di bawah pemimpin mereka namun mereka tidak lupa menjalankan amanah ilmu yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka tetepi golongan seperti inilah yang diperlekeh dan dipulaukan oleh pemimpin-pemimpin mereka kerana tidak bertepatan dengan pendapat dan aliran mereka sehingga ada dikalangan mereka yang di penjarakan mahupun dilucutkan jawatan atau di hadapkan dengan berbagai sekatan akhirnya ada dikalangan mereka yang gugur sebagai syuhada’
Bersabarlah wahai ulama’-ulama’ sejati yang ku muliakan,inilah sunnah perjuangan warisan para nabi…………..alzinki……..
No comments:
Post a Comment