Lelaki disyaratkan lindungi wanita, hindari kekerasan
DALAM institusi perkahwinan, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding wanita.
Tanggungjawab lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: "Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki selepas menafkahkan sebahagian daripada harta mereka" (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam mensyaratkan lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka.
Islam melarang sama sekali kekerasan dalam rumah tangga. Rasulullah SAW memberi ingatan dengan sabda bermaksud: "Mengapa ada lelaki di kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari lain." (Hadis riwayat Ahmad).
Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan sebaik-baiknya.
Pada suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah mengadu mengenai layanan buruk yang diterima daripada suami mereka.
Apabila Rasulullah mengetahuinya, Baginda pun bersabda maksudnya: "Sesungguhnya ramai wanita datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).
Rasulullah memberi contoh bagaimana menjadi seorang suami yang baik.
Rasulullah saw sering menolong isterinya melakukan kerja di rumah yang Baginda dapat melakukan sendiri seperti menjahit baju yang koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja lain.
Sifat ringan tangan suami membantu isteri melakukan kerja rumah bukan semata-mata meringankan tugas isteri, tetapi menimbulkan rasa hormat isteri.
Isteri berasakan dirinya lebih disayangi dan dihormati.
Amalan melakukan kerja rumah secara bersama dapat membentuk kerjasama, persefahaman, keceriaan dan menghargai apa yang dilakukan bersama-sama.
Suami yang sama-sama membersihkan rumah tentu tidak akan melakukan perbuatan yang menyebabkan keadaan menjadi kotor.
Bagaimanapun ramai suami yang secara sengaja mengotorkan kawasan rumah dengan habuk dan puntung rokok yang dibuang merata-rata dan kemudian menyuruh si isteri pula membersihkannya.
Melakukan kebaikan kepada isteri adalah sebahagian tanda Muslim sejati.
Suami baik sedar bahawa dirinya menanggung amanah besar dalam soal menjaga kepentingan isteri.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang baik antara kamu adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri daripada kamu." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Sikap baik Rasulullah terhadap isteri diakui oleh isteri Baginda Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Aisyah pernah berkata: "Rasulullah tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya."
Sikap baik sebenarnya bukan terhad kepada isteri. Semua orang berhak dilayan dengan baik, terutama ahli keluarga dan sesiapa yang diamanahkan kepada kita menjaganya. Orang gaji dan sesiapa yang tinggal bersama kita perlu dilayan dengan sebaik-baiknya.
Menjaga dan berbuat baik terhadap isteri juga dilakukan dengan cara menyediakan apa yang suami mampu untuk dirinya, maka itulah juga seharusnya untuk isteri. Adalah menjadi hak isteri mendapat pemberian yang mampu disediakan oleh suaminya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tanggungjawab suami terhadap isterinya adalah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makanan untuk isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk isterimu. Jangan kamu pukul isterimu pada bahagian muka. Jangan kamu keluarkan perkataan yang jahat di hadapannya iaitu perkataan yang menyakiti hati dan dibenci. Jangan kamu tinggalkan isterimu seorang diri kecuali dalam rumah." (Hadis riwayat Abu Daud)
Mengelak daripada mengatakan perkara buruk terhadap isteri juga sebahagian sikap baik yang perlu diamalkan oleh suami. Ada suami yang sering dan gemar mengeluarkan perkataan tidak enak terhadap isteri disebabkan sesuatu perkara tidak disenangi.
Perkataan buruk yang dikeluarkan terhadap isteri juga satu penderaan iaitu penderaan mental. Isteri yang selalu diherdik, dihina dan dimarahi akan menghadapi tekanan perasaan dan mudah timbul perasaan takut untuk berdamping dengan suami.
Sesiapa yang suka mengamalkan sikap bengis dan suka menakut-nakutkan isteri dengan perkataan kasar akan terlepas daripada rahmat Allah dan menanggung kerugian di dunia dan akhirat.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Thursday, February 1, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment