Tuesday, April 10, 2007

Air Yang Harus Disucikan Dengannya


Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.Pada 2 minggu yang lepas ana(saya) telah menerangkan kepada sahabat-sahabat berkenaan mukadimah dalam bab bersuci.Insyaallah kita terus kepada tajuk yang seterusnya "Air yang harus disucikan dengannya".

Mengikut syara’ air yang benar-benar suci lagi diharuskan untuk kita bersuci dengannya dinamakan sebagai Air Mutlak sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran Surah Al-Anfal ayat ke 11;

"وينزل عليكم من السماء ماء ليطهركم به ويذهب عنكم رجز الشيطان"

Maksudnya:”Dan Allah menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dari air hujan itu dan menghilangkan kamu daripada gangguan-gangguan syaitan”

Contoh air mutlak ialah air hujan,air laut,air perigi,air sungai,air mata air dan air salji.Kesemua air ini boleh diklasifikasikan kepada 2 kategori iaitu air yang turun dari langit dan air yang terpancut dari perut bumi.Berdasarkan daripada dalil-dalil berikut;

"وأنزل من السماء ماء طهورا"

Maksudnya:”Dan Kami telah turunkan dari langit air yang suci”(Surah Al-Furqan:48)

Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu berkata:Seorang lelaki berkata:”Wahai Rasulullah!Bahawa kami ini menyeberang laut dan bersama kami sedikit air.Kalau kami berwudhu’ dengan air yang sedikit itu,nescaya kami akan kehausan”.Lalu kami berwudhu’ dengan air laut.Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab:”

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:"في البحر هو الطهور ماءه والحل ميتته"

(أخرجه البخاري ومسلم وأبو داود وابن ماجه وابن أبي شيبة)

Maksudnya:”Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkai didalamnya(ikan yang mati di dalam laut itu)”

Hadith lain juga ada menyatakan berkenaan dengan air sumur;

Mereka bertanya kepada Rasulullah:”Wahai Rasulullah sesungguhnya engkau berwudhu’ dari air sumur Bani Khudzaah,sedangkan air yang mengalir tersebut telah digunakan oleh manusia dan orang haid dan orang berjunub?Lalu Rasulullah menjawab:

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:"إن الماء طهور لا ينجسه شيء"

(أخرجه الترمذي و أحمد)

Maksudnya:”Sesungguhnya air itu suci dan tidaklah air itu menajiskan sesuatu”

Juga disebut dalam hadith Rasulullah daripada Abu Hurairah mengenai kesucian air sungai,air salji dan air embun;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا كبر في الصلاة سكت هنية قبل أن يقرأ فقلت:يا رسول الله ما تقول؟

قال:"أقول اللهم باعد بيني وبين خطاياي كما باعدت بين المشرق والمغرب اللهم نقني من خطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس اللهم اغسلني من جطايا بالماء والثلج والبرد"

(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya:”Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam apabila bertakbir dalam solatnya beliau diam sejenak sebelum itu dengan membaca sesuatu.Maka aku bertanya:Apa yang kau baca wahai Rasulullah?Telah bersabda Rasulullah:Aku membaca “Wahai Tuhanku! Jauhhkanlah antara ku dan kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau telah menjauhkan antara timur dan barat.Wahai Tuhanku!Bersihkanlah aku daripada segala kesalahan-kesalahanku sebagaimana orang membersihkan kain putih dari kotoran.Wahai Tuhanku!Sucilah aku daripada segala kesalahan-kesalahanku dengan air,air salji dan air batu”

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian

Allah Subhanahu Wa Ta’ala (S.W.T) tidak memerintahkan kepada hamba-hambanya untuk melaksanakan sesuatu melainkan sekadar apa yang mampu dilaksanakannya.Allah mengetahui sejauhmana kemampuan kita dalam melaksanakan tuntutannya.Apalah faedahnya di sisi Allah dengan amalan seseorang hamba itu yang tidak terkira banyaknya namun tiada ketulusan dan keikhlasan dalam hatinya.Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 286;

"لا يكلف الله نفسا إلا وسعها لها م كسبت وعليها ما اكتسبت"

Maksudnya:”Allah S.W.T tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.Ia mendapat pahala daripada amal kebajikan yang telah diusahakanya dan ia mendapat siksa daripda kejahatan yang diusahakannya”

Jika kita terhalang daripada menggunakan air untuk mengangkat hadas(kecil dan besar) atas sebab-sebab tertentu contohnya kehabisan sumber air disemua tempat atau sakit. Maka gugur kewajipan menggunakan air pada ketika itu bagi seseorang muslim.Namun Allah S.W.T menjadikan tanah sebagai ganti kepada penggunaan air.Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Maidah ayat yang ke 6;

وإن كنتم مرضى أو على سفر أو جاء أحد منكم من الغائط أو لمستم النساء فلم تجدوا ماء فتيمموا صعيدا طيبا"

Maksudnya:”Dan jika kamu sakit (anggota badan yang sakit tidak boleh terkena air) atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat membuang air(tandas) atau menyentuh perempuan,lalu kamu tidak memperolehi air,maka bertayamumlah dengan tanah yang baik(bersih)”

Bagaimanakah cara untuk kita bertayamum?Insyaallah akan ana terangkan pada hari yang akan datang beserta gambarnya sekali,jika di izinkan Allah.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Pembahagian Air Mengikut Hukum Fiqh

Ulama’ Fiqh mengklasifikasikan air kepada empat bahagian iaitu;

a)Air yang suci lagi menyucikan

b)Air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh dimanfaatkan

c)Air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan

d)Air yang bernajis

Pada minggu ini ana akan menerangkan kepada sahabat-sahabat 2 bahagian sahaja terlebih dahulu daripada 4 bahagian air yang telah ana sebutkan tadi.Ini kerana penerangan untuk bahagian air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan(c) dan air yang bernajis (d) ulama’ Fiqh telah membahagikan kepada 2 bahagian perbahasan lagi bagi setiap satu (c dan d).

a)Air yang suci lagi menyucikan

Air yang dimaksudkan itu ialah Air Mutlak sebagaimana yang disifatkan kejadiannya oleh Allah S.W.T.Air mutlak ialah air yang suci zatnya dan dapat dimanfaatkan air tersebut untuk mengambil wudhu’ atau mandi junub apatah lagi digunakan untuk kegunaan lain seperti membasuh,memasak dan menghilangkan najis.Apakah yang dimaksudkan dengan Zat Air?

Zat air bermaksud bau,rasa dan warna air.Jika ketiga-tiga sifat ini terhindar dari sesuatu yang boleh merubah keaadan asalnya maka sucilah air tersebut.Sebagaimana yang telah disebut dalam sabda Rasulullah;

عن أبي أمامة الباهلى رضى الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:"إن الماء لا ينجسه شيء إلا ما غلب على ريحه أو طعمه أو لونه" (أخرجه ابن ماجه)

Maksudnya:”Sesungguhnya air itu tidak menajiskan sesuatu melainkan berubah ke atas air tersebut dari sudut baunya,rasanya dan warnanya”

وللبيهقي "الماء طهور إلا إن تغير ريحه أو طعمه أو لونه بنجاسة تحدث فيه"

Manakala bagi hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda “Air itu suci melainkan jika berubah baunya,rasanya atau warnanya dengan najis yang berlaku pada air itu”

b)Air yang suci lagi menyucikan tetapi Makruh dimanfaatkan

Air ini suci zatnya dan boleh digunakan untuk bersuci namun Imam Syafi’ie memakruhkan penggunaan air tersebut.Imam Syafi’ie berpendapat makruh digunakan air tersebut kerana berpandukan kepada dua riwayat;

Dikhabarkan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhammad ,daripada Zaid bin Aslam daripada ayahnya,bahawa telah dipanaskan air untuk Umar bin Khatab.Lalu Umar mandi dan berwudhu’ dengan air itu.Setelah digunakan air tersebut lalu Umar berkata:”Saya tidak memandang makruh kepada air yang dipanaskan dengan matahari,melainkan dari sudut kesihatan”.

Dikhabarkan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhammad daripada Sodaqah bin Abdullah daripada Abi Az-Zubair daripda Jabir Bin Abdullah bahawa Umar memandang makruh mandi dengan menggunakan air yang dipanaskan dengan matahari.Ia mengatakan bahawa air itu mendatangkan penyakit Sopak.

(Rujukan daripada Kitab Al-Umm)

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah

Penyakit sopak menurut penjelasan dalam kitab-kitab Fiqh yang lain menjelaskan bahawa air yang dipanaskan dengan matahari yang terletak dalam bejana besi dimakruhkan penggunaannya kerana ditakuti karat besi itu terhakis oleh air tersebut.Apabila digunakan air tersebut ketika mandi dan sebagainya,maka karat besi itu melekat pada kulit.Jika ini berlaku karat besi yang melekat pada kulit mampu menyekat pengaliran darah.Lalu akan mendatangkan penyakit sopak.Namun tidak pula makruh hukumnya jika air tersebut terletak dalam bejana kulit atau tanah(pasu atau tempayan) yang disinari cahaya matahari.

Imam As-Syafi’ie menggariskan tiga syarat.Jika ketiga-tiga syarat ini dipenuhi maka makruhlah penggunaan air tersebut.Syarat-syaratnya ialah;

1.Ia berlaku di negeri yang panas

2.Air tersebut diletakkan ke dalam bekas yang boleh ditempa seperti besi,tembaga dan semua galian yang boleh ditempa kecuali emas dan perak.

3.Apabila air tersebut digunakan pada badan manusia walaupun mayat atau pada haiwan yang berisiko untuk berpenyakit sopak seperti kuda

Antara syarat-syarat tersebut juga terdapat dalam hadith yang diriwayatkan oleh Daruquthni dengan sanad yang sahih.

Sekali lagi diingatkan ana tidak menolak jika sepanjang penerangan ana terdapat beberapa kesalahan dari sudut penerangan,ana meyakini ada dikalangan pembaca yang lebih arif dan pakar dalam bab ini.oleh itu ana mengalu-alukan sebarang tunjuk ajar daripada sahabat-asahabat yang arif demi meningkatkan kefahaman ana.Wallahua a’lam bertemu kembali………….

No comments: